SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu – Utusan Malaysia


SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu

Pengawal  keselamatan  SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang menutup pintu pagar sekolah berkenaan yang diarah tutup seminggu setelah seorang daripada pelajarnya menjadi korban H1N1 baru-baru ini.


 

KUALA LUMPUR 3 Mac – Pelajar perempuan yang menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1) di negara ini dipercayai baru pulang dari bercuti di Shanghai, China, sebelum meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang itu dikatakan mengunjungi negara tersebut bersama keluarganya semasa cuti persekolahan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Jeff Tung Kok tidak menolak kemungkinan pelajar tersebut dijangkiti wabak berkenaan ketika berada di luar negara.

“Jadi, saya menasihatkan agar pelajar sekolah ini supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya terdapat tanda wabak tersebut kerana kita tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan hari ini menghantar sepasukan pemantau ke sekolah tersebut dan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman bagi membendung wabak berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekolah berkenaan diarahkan tutup selama seminggu bermula hari ini setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran.

“Sebelum ini pihak sekolah hanya diarahkan tutup selama dua hari sahaja.

”Namun tempoh itu dilanjutkan sehingga 9 Mac ini sebagai langkah membendung penularan wabak itu kerana 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar terbabit turut mengalami gejala batuk atau selesema,” katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran khuatir wabak itu merebak dalam kalangan pelajar dan guru.

”Oleh itu, lanjutan penutupan itu akan dimaklumkan esok kepada pengetua sekolah berkenaan,” katanya

Ka Siong berkata, penutupan berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan bagi mengekang wabak H1N1.

“Kementerian dari semasa ke semasa akan mendapatkan khidmat serta kerjasama Jabatan Kesihatan bagi memastikan sekolah bebas daripada virus itu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekolah berkenaan lengang dan pihak sekolah turut menggantung notis tutup pada pintu pagar utama selama dua hari.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada guru-guru serta pelajarnya pada sesi petang persekolahan semalam kira-kira pukul 5 petang.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s