Anak guru dijangkiti H1N1 belum disahkan – Utusan Malaysia


Anak guru dijangkiti H1N1 belum disahkan

KUALA LUMPUR 4 Mac – Tiada makluman diterima berhubung laporan mengenai seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga anak kepada seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long yang disahkan positif virus Influenza A (H1N1).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan laporan tersebut kerana sehingga kini tiada makluman kes terbaru diterima selain daripada kematian seorang pelajar perempuan di sekolah itu pada 24 Februari lalu akibat H1N1.

“Kementerian tidak dapat mengesahkan laporan tentang seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga anak kepada seorang guru di SMK Bandar Baru Sungai Long yang disahkan positif H1N1.

“Sehingga kini, tiada sebarang makluman diterima dan kita akan maklumkan kemudian sekiranya makluman mengenai laporan tersebut diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rabu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan empat SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang 24 Februari lalu adalah disebabkan jangkitan wabak H1N1.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang juga anak kepada seorang guru SMK Bandar Baru Sungai Long yang datang menziarahi keluarga mangsa pelajar perempuan korban virus H1N1 di sekolah itu disahkan positif wabak tersebut.

Sementara itu, Rosnah berkata, untuk hari ini, sebanyak 263 kes baru kluster penyakit serupa Influenza (ILI) dilaporkan dan daripada jumlah tersebut 21 peratus positif H1N1.

Jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula katanya, kekal sebanyak tiga orang dan dua daripada mereka mempunyai faktor risiko untuk dijangkiti wabak tersebut.

Beliau berkata, pemantauan berterusan mendapati bahawa trend penularan jangkitan H1N1 di Malaysia adalah seperti lain-lain virus influenza bermusim.

“Trend itu menyaksikan jangkitan, komplikasi dan kes kematian dikesan lebih di kalangan mereka yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua dan mereka yang mempunyai penyakit kronik,” katanya.