Guru, ibu bapa perlu peka anak autisme – Utusan Malaysia


Guru, ibu bapa perlu peka anak autisme – Rosmah

ROSMAH  Mansor (tengah) beramah mesra dengan Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang menyertai Kursus Kemahiran Kejurulatihan  di Kuantan, semalam.


 

KUANTAN 8 Mac – Sikap ibu bapa dan guru yang tidak peka terhadap kecenderungan kanak-kanak autisme menyebabkan golongan itu membesar di bawah tahap kemampuan sebenar.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kekurangan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan guru menyebabkan mereka terasing dalam kelompok kecil sehingga kemampuan sebenar hilang.

“Sekiranya diberi pendidikan khas sewajarnya, mereka mampu menjalani kehidupan normal. Malah, mungkin lebih berjaya daripada individu normal.

“Bagaimanapun, apa yang diperhatikan adalah masyarakat sering menganggap kanak-kanak itu tidak mampu berkomunikasi atau bergaul manakala ibu bapa pula sering bertelagah kerana tekanan situasi,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kursus Kemahiran Kejurulatihan untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti seluruh negara, di sini hari ini.

Seramai 125 peserta terlibat dalam kursus selama seminggu itu yang merupakan salah satu daripada Program Semai Bakti (PSB).

Hadir sama, Yang Dipertua Badan Amal Pahang (Teratai), Datin Seri Junaini Kassim; Yang Dipertua Badan Amal Terengganu (Serikandi), Toh Puan Norliza Mahmood dan Yang Dipertua Badan Amal Negeri Sembilan (Pekerti), Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), menyarankan ibu bapa dan guru memberi kepercayaan dan galakan kepada golongan tersebut untuk menceburi bidang yang mereka minati.

Berdasarkan statistik, katanya, kadar autisme meningkat daripada empat orang bagi setiap 10,000 kanak-kanak pada 1990 kepada seorang bagi setiap 150 kanak-kanak pada 2008.

“Di Malaysia, dianggarkan seorang daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah autisme dengan perangkaan menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk mengalami autisme pada tahun lalu,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Rosmah, PSB menganjurkan kursus yang memberi penekanan kepada subjek autisme kerana pendedahan awal mengenainya dilihat mampu memberi sinar baru kepada golongan itu.

“Kursus itu akan memberikan penekanan kepada kemahiran dan kaunseling berguna ketika berhadapan dengan kanak-kanak autisme,” jelasnya.