Pengakuan bersalah bekas pengetua sekolah ditolak – Utusan Malaysia


Pengakuan bersalah bekas pengetua sekolah ditolak

PULAU PINANG 9 Mac – Pengakuan bersalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar II, Bayan Lepas yang didakwa atas lima pertuduhan melakukan pecah amanah RM15,550 ditolak oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mendakwa tidak mengambil walaupun satu sen wang tersebut.

Sebaliknya, menurut tertuduh, Dr. P. Iskandar Abdullah, 55, wang yang dimasukkan dalam akuannya itu akan dikeluarkan serta-merta untuk pembayaran biasiswa pelajar, kos pembaikan sekolah dan urusan lain.

Berikutan itu, Hakim Zanol Rashid Hussin hari ini menetapkan 23 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk tertuduh berkenaan melantik peguam.

Iskandar yang kini bertugas sebagai Pegawai Nazir Kementerian Pelajaran di Putrajaya memberitahu perkara tersebut ketika membuat rayuan bagi meringankan hukumannya setelah mengaku melakukan kesalahan itu ketika kes disebut pada prosiding sebelah pagi.

‘‘Saya mengaku salah, tetapi wang itu satu sen pun saya tidak ambil. Sebagai pengetua pertama di sekolah tersebut yang pada masa itu belum mendapat sijil kelayakan menduduki bangunan (OC), sudah menjadi amalan biasa wang itu dimasukkan dalam akaun saya sebagai ketua jabatan di sekolah itu.

‘‘Namun, saya akan mengeluarkan wang itu serta-merta untuk pembayaran biasiswa pelajar dan kegunaan lain seperti membaiki bangunan sekolah yang bocor dan tandas yang tersumbat. Demi Allah, saya tidak ambil apa-apa. Ia cuma kesilapan teknikal,’’ kata Iskandar.

Berikutan itu, Zanol Rashid menolak pengakuan bersalah tertuduh dan mengarahkan supaya kes itu dibicarakan.

‘‘Wang dimasukkan dalam akaun dan kemudiannya dikeluarkan untuk perbelanjaan sekolah. Jadi, mana ada kesalahan pecah amanah. Lagipun kita tidak boleh terima pengakuan bersalah secara bersyarat,’’ jelas Zanol Rashid.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib pula menjelaskan bahawa sebarang cek mesti melalui akuan sekolah dan bukannya akaun persendirian.

Menurut beliau, hasil temuduga yang dibuat oleh pihaknya terhadap beberapa saksi di sekolah itu juga menunjukkan tertuduh tidak pernah memberi sebarang wang kepada mereka.

Mengikut pertuduhan, Iskandar atas kapasitinya sebagai pengetua sekolah tersebut ketika itu didakwa telah melakukan pecah amanah lima keping cek Maybank International Airport bernilai RM7,750; RM1,800; RM3,200; RM1,800 dan RM1,000 yang merupakan peruntukan bagi kegunaan hal ehwal kewangan sekolah tersebut.

Dia didakwa telah mendepositkan kesemua cek tersebut ke dalam akaun simpanan miliknya di antara 26 Februari dan 19 Disember 2007, di sekolah tersebut, di Jalan Kampung Masjid, Bayan Lepas di sini.

Kereta masuk longkang, guru maut – Utusan Malaysia


Oleh ADNAN MOHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my
SETIU 9 Mac – Seorang guru di Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Kuala Terengganu maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di Kampung Saujana, dekat sini hari ini.
Noor Rosniah Sudin, 30, yang tinggal di Taman Perumahan Gong Badak 4, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan tengkuk.
Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari sekolahnya ke SMA Maarif, Kampung Raja, Besut ketika nahas itu berlaku kira-kira pukul 8.40 pagi dalam keadaan hujan lebat.
Ibu kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu pergi ke SMA Maarif untuk menyaksikan lebih 60 pelajarnya menyertai Kejohanan Sukan Sekolah Agama Terengganu.
Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Razali, 40, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta Perodua MyVi yang dipandu guru itu dilihat hilang kawalan selepas cuba mengelak daripada terlanggar tiang elektrik lalu terbabas ke dalam longkang.
“Kereta mangsa terbalik ke dalam longkang menyebabkan kepalanya terkeluar sedikit menerusi pintu cermin kereta itu yang pecah.
“Saya lihat kepala mangsa berada di dalam longkang itu semasa kenderaan itu terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Mayat Noor Rosniah dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.
Sementara itu, rakan mangsa, Siti Safinah Awang, 29, ketika ditemui di hospital berkata, sepatutnya Noor Rosniah tidak pergi menyaksikan kejohanan sukan itu pada hari ini kerana semalam dia sudah pergi.
“Namun, entah macam mana pagi ini dia beria-ria sangat untuk melihat para pelajar di sekolah itu menyertai kejohanan yang berlangsung pada hari ini.
“Saya hairan juga kenapa Noor Rosniah bersikap demikian dan ini mungkin kerana dia begitu semangat untuk memberi sokongan kepada pelajar sekolah ini untuk mencapai kejayaan yang cemerlang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.