Dicabul pengarah teater – Harian Metro


Dicabul pengarah teater

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
E-mel ArtikelCetak ArtikelTanda ArtikelBesarkan Saiz TeksKecilkan Saiz TeksKomen Artikel

KUALA LUMPUR: Dua pelakon remaja yang terbabit dalam sebuah pementasan teater di Seremban, Negeri Sembilan, membuat laporan polis mendakwa dicabul pengarah teater itu ketika mengikuti sesi latihan.

Difahamkan, pengarah teater terkenal berusia 60-an itu dipercayai mencabul ramai lagi pelakon remaja yang mengikuti sesi latihan teater berkenaan, namun setakat ini polis menerima hanya dua laporan berhubung kejadian.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan meraba mangsa di sebuah rumah di Seremban yang dijadikan tempat latihan pementasan bakal diadakan bulan depan.

Sumber berkata, latihan teater itu berjalan sejak tiga bulan lalu dan kejadian itu dipercayai berlaku beberapa minggu lalu.

“Setakat ini dua mangsa membuat laporan polis awal minggu ini dan akibat pendedahan itu, projek pementasan dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 April ini dibatalkan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, polis menerima laporan mangsa masing-masing berusia 14 dan 17 tahun.

Menurutnya, mangsa bersama 24 lagi pelajar sekolah menengah mengikuti sesi latihan itu setiap Sabtu dan Ahad dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Mangsa yang belajar di sekolah menengah di luar Seremban mendakwa pengarah produksi persembahan itu mengambil kesempatan mencabul mereka ketika latihan.

“Siasatan terperinci dijalankan kerana kita belum dapat pastikan berapa kali mangsa dicabul serta sama ada pelajar lain turut menjadi mangsa,” katanya yang dihubungi semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan.

Pengerusi Karyawan Negeri Sembilan, Siti Salbiah Zahari berkata, pihaknya terpaksa menghentikan teater itu dan akan menggantikannya dengan pementasan lain.

“Kita tunda projek ini sehingga Jun selain mengadakan persembahan dengan tajuk berbeza dan mengambil pengarah lain untuk menjayakannya.

“Saya tidak boleh membuat sebarang ulasan disebabkan perkara ini masih dalam siasatan polis, tetapi kami akan berusaha menjayakan pementasan teater membabitkan golongan remaja kerana matlamat kami ialah menarik minat pelajar terhadap persembahan seni ini,” katanya.

 

2 pelajar masih dikuarantin – Harian Metro


2 pelajar masih dikuarantin

E-mel ArtikelCetak ArtikelTanda ArtikelBesarkan Saiz TeksKecilkan Saiz TeksKomen Artikel

IPOH: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini, masih dikuarantin selepas mempunyai simptom penyakit seakan influenza (ILI) yang mirip jangkitan Influenza A (H1N1).

Sementara 24 lagi pelajar sekolah berkenaan yang turut menunjukkan simptom sama selepas dikejarkan ke sebuah klinik petang kelmarin, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, dua pelajar dikuarantin di asrama lelaki sekolah terbabit masih menerima rawatan.

 

“Dua puluh empat pelajar dikuarantin semalam (kelmarin) dibenarkan pulang pagi tadi (semalam). Hanya ada dua pelajar lagi yang masih dikuarantin dan keadaan kesihatan mereka dipantau dari masa ke semasa sebelum dibenarkan berehat di rumah masing-masing apabila tiada lagi  menunjukkan simptom ILI,” katanya.    Kejadian 26 pelajar SMK Anderson dikejarkan ke Klinik Kesihatan Greentown selepas mengadu demam, batuk dan sakit tekak mirip jangkitan Influenza A (H1N1) kelmarin menggemparkan masyarakat di sini sebelum pemeriksaan mengesahkan semua pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun itu dijangkiti penyakit seakan ILI.

 

Tuan anjing sudah lesap – Harian Metro


Tuan anjing sudah lesap

E-mel ArtikelCetak ArtikelTanda ArtikelBesarkan Saiz TeksKecilkan Saiz TeksKomen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa gigitan anjing Rottweiler enam tahun lalu kini masih trauma dan perlu sentiasa diawasi ahli keluarga kerana kejadian itu menyebabkannya kerap hilang ingatan.

Malah, lebih malang jiran yang memelihara anjing berkenaan pula kini sudah menghilangkan diri dan langsung tidak mahu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku termasuk menanggung kos perubatan mangsa.
Muhammad Hazman Khan Seh Zahidi, 15, sebelum ini terpaksa menerima 172 jahitan di kepala dan badan apabila diserang empat anjing Rottweiler milik jirannya itu.

 

Bapa mangsa, Seh Zahidi Seh Hashim, 41, berkata, dia terpaksa menanggung kos perubatan dan rawatan anaknya yang masih belum sembuh sepenuhnya.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 18 Mac 2005 apabila mangsa bersama dua lagi sepupu berusia tujuh dan 11 tahun dalam perjalanan ke masjid untuk bersolat Jumaat, kira-kira jam 1 tengah hari di Taman Putra Perdana, Puchong.
“Tiba-tiba empat anjing yang dilepaskan jiran mereka itu menyerang mangsa manakala dua sepupunya sempat melarikan diri.

“Isteri saya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian segera berlari ke luar rumah jiran dan dalam keadaan panik bertindak membaling batu ke arah empat anjing berkenaan yang sedang menyerang anak saya dalam usaha menyelamatkannya,” katanya ketika mengimbau kembali kejadian berkenaan.
Berikutan serangan itu, Hazman yang  cedera di kepala, muka, tengkuk dan badan dibawa ke Hospital Putrajaya oleh seorang jiran lain dan menerima 140 jahitan di muka dan kepala serta 32 jahitan di badan.

Seh Zahidi berkata, walaupun kejadian itu sudah berlalu, namun anaknya masih trauma dan lemah semangat menyebabkan dia terpaksa berada dalam perhatian keluarga pada setiap masa.
“Anak saya itu mengalami kecacatan kekal di kepala dan badan iaitu parut kesan gigitan. Malah, anak saya sering hilang ingatan dan sukar mengingati apa yang berlaku selepas itu.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya bersama isteri turut mencuba rawatan tradisional,” katanya.
Beliau mahu pemilik anjing itu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beranggapan anaknya yang sihat sebelum ini terpaksa melalui detik mengerikan dan terpaksa menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.
“Enam tahun kes ini berlalu begitu saja. Pelbagai usaha saya lakukan untuk mencari pemilik anjing itu namun menemui jalan buntu.
“Saya sangat terkilan dengan sikapnya yang tidak bertanggungjawab. Saya mahu menuntut pampasan terhadap apa yang berlaku ke atas anak saya,” katanya.
Pemilik anjing yang juga seorang ahli perniagaan itu berpindah dan menjual rumahnya beberapa bulan selepas kejadian.
“Sejak dia berpindah, saya dan peguam ada menghubunginya kerana kes ini akan dibawa ke mahkamah. Namun dia sering memberi alasan sehingga kes ini terpaksa ditangguh.
“Beberapa bulan kemudian, dia sudah gagal dihubungi dan usaha peguam saya mengesan alamat tempat tinggal terakhirnya juga gagal,” katanya.
Beliau turut membuat laporan polis bagi menuntut pampasan dan tanggungjawab terhadap lelaki itu di Balai Polis Puchong, kelmarin.