Remaja hidap sakit misteri
IPOH 12 Mac – Air mata sepasang suami isteri yang mulanya bergenang di kelopak mata, akhirnya tumpah jua di saat akhir temu bual mengenai penyakit misteri yang dihadapi anak lelakinya, Mohd. Nur Hakim Hasram, 15, sehingga terpaksa melupakan saat gembira menikmati alam persekolahan.
Rasa dukacita pasangan Nor Hamizah Ali, 43, dan Hasram Mohd. Jamal, 53, itu ditanggung hampir lapan bulan apabila melihat anaknya menghidapi bengkak yang besar di bahagian rusuk kanan seakan-akan ketumbuhan dengan urat-urat besar berwarna hitam turut kelihatan.
Nor Hamizah berkata, perasaannya bertambah sayu mengenang nasib anaknya yang terpaksa melupakan hasrat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, yang bercita-cita ingin menjadi perajurit negara.
“Pada Ogos lepas, dalam satu kejadian di sekolah, seorang rakan yang hendak bergurau tertolak anak saya dan rusuknya terkena bucu papan kenyataan. Selepas kejadian, ia lebam sahaja, kemudian ia semakin membengkak seperti mengalami ketumbuhan di bahagian rusuk kanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Klebang Jaya di Chemor di sini hari ini.
Pada 25 Februari lepas, pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini membuat imbasan sinaran X dan sebagainya dan beliau dimaklumkan kesemua maklumat itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dikenal pasti penyakit yang dihadapi serta akan dimaklumkan selepas dua minggu, katanya.
Perasaan dukacita atas penderitaan anak keempatnya itu semakin mendalam apabila, penyakit misteri itu kini telah menjejaskan pertuturan dan pergerakan Mohd. Nur Hakim sehingga menyebabkan emosi anaknya itu sentiasa berubah-ubah.
“Dia mudah sakit terutama pada waktu malam, keadaan tidak boleh sejuk atau panas. Dia sentiasa pakai stoking untuk keselesaan, kadang-kadang dia marah, selepas itu emosi dia seperti biasa. Dia juga kini cepat penat. Dia sekarang ini berbeza sangat, dulu dia anak yang ceria, sangat aktif main bola, suka aktif Kadet Remaja Sekolah (KRS),” kata Nor Hamizah.
Sementara itu, Hasram yang menyara hidup sebagai seorang tukang kebun di Balai Polis Kampung Tawas di sini berkata, setakat ini pihak HRPB tidak memaklumkan apa-apa kepada mereka mengenai penyakit yang dihidapi anaknya itu.
“Kami masih menunggu laporan perubatan seterusnya. Kita tengok nanti macam mana,” katanya dengan nada suara yang sangat sebak.
Penderitaan Mohd. Nur Hakim itu telah mendapat perhatian Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang hari ini meluangkan masa hampir sejam melawatnya.
Selain memberikan kata-kata semangat, Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM1,000.
Beliau juga menghubungi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya HRPB dapat memberi keutamaan kepada kes yang dihadapi oleh Mohd. Nur Hakim yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Muhammad Taib di Chemor. – BERNAMA
5.347493
115.727312
Like this:
Like Loading...