KULIM: Aksi mereka bagaikan ‘MacGyver’ apabila mencuri motosikal hanya menggunakan pemutar skru tetapi tindakan itu membawa padah apabila ditahan polis tidak lama selepas melakukan jenayah terbabit.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Rabu lalu, dua remaja berusia 16 tahun ditahan kerana mencuri motosikal jenis Honda EX5 di Landmark Giant, dekat sini.
Kedua-duanya yang masih bersekolah, mengambil masa beberapa minit untuk membuka lampu depan motosikal berkenaan dan menyambungkan beberapa wayar sebelum menghidupkan enjin.
Difahamkan, mereka menolak motosikal berkenaan sejauh satu kilometer sebelum menghidupkan enjin.
Begitupun, tidak lama selepas itu, sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir bersama tiga anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) berjaya menahan mereka.
Sebelum itu, pasukan berkenaan menerima maklumat daripada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim yang melaporkan kehilangan sebuah motosikal.
Jurucakap polis berkata, dalam rondaan dilakukan, mereka menemui dua remaja dalam keadaan mencurigakan di Jalan Chamar sebelum polis mengejar suspek.
“Kedua-dua remaja itu berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati motosikal itu adalah kenderaan yang dilaporkan hilang.
“Remaja itu dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut,” katanya.