KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai peminta sedekah dan mengutip derma.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, kerjasama itu bertujuan membolehkan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan operasi bersama mengenal pasti sindiket yang menjadi dalang dalam kegiatan terbabit.
“Isu kanak-kanak meminta derma dan sumbangan tidak dapat dibanteras semata-mata dengan penguatkuasaan undang-undang dan operasi yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebaliknya kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuk PDRM, Jabatan Imigresen serta syarikat pengendali lebuh raya seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Apabila bekerjasama dengan KDN kelak, kita akan pantau sindiket, datang ke tempat dikenal pasti dan melakukan rampasan. “Buat masa ini kita masih tidak lakukan kerana ia boleh menjejaskan imej kita sebagai negara penyayang.
“Kepada sindiket terbabit, berhati-hati apabila kita bergabung dengan KDN, tidak ada belas kasihan untuk anda, sebab tanggungjawab kita melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang ingin tahu bilangan sindiket menggunakan kanak-kanak meminta derma yang sudah dikenalpasti dan dikenakan hukuman.
Katanya, Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah membenarkan kanak-kanak mengemis, menerima sedekah atau menjalankan penjajaan menyalahi undang-undang loteri haram, perjudian atau aktiviti menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu.
Sebelum itu, dalam soalan asalnya, Idris inginkan penjelasan berikutan masih ramai kanak-kanak sekolah dilihat meminta derma dan sumbangan di kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya.
Shahrizat berkata, kementerian memandang serius kes anak-anak sekolah meminta derma dan sumbangan di kawasan rehat dan rawat di sepanjang lebuh raya di negara ini menyebabkan pihaknya menjalankan operasi penguat kuasaan bagi memberi perlindungan kepada kanak-kanak terbabit.