20 pelajar dibuang sekolah tanpa amaran – Berita Harian


20 pelajar dibuang sekolah tanpa amaran

2011/03/16

BUKIT KAYU HITAM: Ibu bapa kepada 20 pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini kesal dengan tindakan pengetuanya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang mereka dakwa membuang sekolah pelajar itu pada 10 Mac lepas tanpa memberi notis amaran dan peluang membuat rayuan.

Pelajar terbabit dikenakan tindakan itu dipercayai sebagai hukuman kerana mengasari seorang pelajar tingkatan empat pada 25 Februari lalu di surau sekolah itu.

Jasmi Mohd Noor, 44, bapa seorang daripada pelajar itu, berkata beliau sedar perbuatan kumpulan pelajar terbabit adalah salah dan pihak sekolah berhak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka, namun hukuman buang sekolah adalah keterlaluan.

“Saya kesal dengan tindakan pengetua dan PIBG yang mengambil tindakan buang sekolah, sepatutnya mereka dikenakan hukuman rotan dahulu sebelum mengambil tindakan yang lebih berat,” katanya kepada pemberita di sekolah itu di sini hari ini.

Ibu bapa kepada 20 pelajar terbabit telah bersemuka dengan pengetua di sekolah itu pada 8 pagi tadi bagi berbincang mengenai tindakan terhadap anak mereka namun kecewa kerana pengetua berkenaan berkeras tidak mahu mengubah pendiriannya.

Jasmi, seorang bekas guru, berkata ibu bapa pelajar terkejut mendapat tahu mengenai tindakan terhadap anak masing-masing menerusi surat bertarikh 10 Mac yang mereka terima pada 13 Mac.

“Sebelum ini, selepas tiga hari dari tarikh kejadian anak-anak kami diminta keluar dari asrama sekolah itu serta merta tanpa diberi peluang untuk membela diri.
“Ada pelajar yang tinggal di luar Kedah iaitu Terengganu dan Selangor tidak tahu arah tuju setelah diarah keluar sebelum 6.45 petang. Mujurlah mereka tinggal di rumah rakan terdekat sebelum pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Seorang lagi bapa, Shukri Ali, 42, berkata beliau bimbang kerana pelajar-pelajar itu akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Ada tujuh bulan lagi mereka nak duduki SPM. Perkara yang berlaku kepada anak saya itu membuatkan anak saya murung dan tidak semangat,” katanya.

Jabatan Pelajaran Kedah tidak dapat dihubungi untuk ulasan. – BERNAMA

 

Guru perlu tingkat kemahiran sejajar perubahan: Muhyiddin – Berita Harian


Guru perlu tingkat kemahiran sejajar perubahan: Muhyiddin

2011/03/16

PUTRAJAYA: Golongan pendidik di negara ini perlu peka bahawa kemahiran mendidik sentiasa berubah dan berusaha meningkatkan serta menyesuaikan diri dengan perubahan semasa dan persekitaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika usaha tidak dibuat untuk bergerak seiring dengan perkembangan ilmu, tenaga pendidik akan ketinggalan dalam banyak hal terutamanya dalam aspek pembangunan manusia dan melahirkan generasi berwibawa.Berucap pada istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta golongan pendidik menguasai ilmu dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi melahirkan generasi berilmu, membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

“Jika dahulu, guru mengajar tulis baca, mengatasi masalah buta huruf sebagai tugas hakiki, kini cabaran yang digalas oleh guru jauh lebih berat.

“Realitinya, masyarakat kini memerlukan guru berkualiti tinggi daripada sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Muhyiddin mengingatkan guru bertauliah tidak merasakan ilmu yang dipelajari mencukupi, sebaliknya memahami konsep Pengetahuan Kandungan Pedagogi serta melaksanakan tugasnya dengan penuh bertanggungjawab.

“Bidang pendidikan memberikan sumbangan besar dan penting dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi.
“Oleh itu peranan dan tanggungjawab guru dan pendidik hari ini semakin penting dan kritikal berbanding pada masa dahulu. Jadilah seorang guru yang mampu berfikir secara kritis, menulis secara persuasif, berfikir dan memberi pendapat secara logik serta mengatasi masalah rencam yang dihadapi oleh murid-murid pada masa ini.

“Hakikatnya tenaga pendidik perlu sedar peranannya dalam mengasuh pemimpin dan tenaga kerja masa depan ke arah memacu pembangunan Malaysia,” katanya.

Seramai 1,987 penuntut Institut Pendidikan Guru seluruh negara menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan pada konvensyen pertama itu. – BERNAMA

 

Kesan darah bongkar rahsia gadis – Harian Metro


Kesan darah bongkar rahsia gadis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TEMERLOH: Kalau tidak disebabkan mukanya pucat ketika ditanya ibu selain kesan darah di seluar dipakainya, tidak mungkin keluarga seorang gadis sunti tahu bahawa dia menjadi mangsa rogol teman lelakinya sendiri.

Segala-galanya terbongkar apabila ibu kepada gadis malang berusia 15 tahun dan masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini, mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya sebaik mangsa pulang dari bertemu teman lelaki yang baru dikenalinya dan menetap di kampung yang sama itu.
Memang menyedihkan apabila lelaki yang baru saja dikenali menerusi seorang rakannya itu sanggup menjadikan pertemuan pertama di antara mereka sebagai titik permulaan kepada satu episod hitam di dalam diri mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu.

 

Kira-kira jam 2 petang kelmarin, mangsa terpaksa menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya selepas didesak berikutan gagal menjelaskan mengapa terdapat kesan darah pada seluar dipakainya selain mukanya yang berubah pucat serta-merta.
Bagaimanapun, sebaik mendengar kata-kata anaknya itu, ibu mangsa gagal mengawal perasaan kerana terlalu sedih dan hampir pengsan.
Berikutan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Berdasarkan laporan, ibu mangsa dikatakan mendesak anaknya supaya menceritakan kejadian sebenar sebaik melihat ada kesan tompokan darah di seluar yang dipakai anaknya itu,” katanya.

 

 

Awas ajakan orang baru – Harian Metro


Awas ajakan orang baru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Remaja tempatan diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan ajakan orang baru dikenali yang mungkin berniat menjadikan mereka keldai dadah, memandangkan karakter penjenayah sukar dikenal pasti.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed, berkata tiada profil tepat yang boleh menterjemahkan kelakuan sebenar pengedar dadah dan kecenderungan sifat mereka, berikutan itu semua pihak perlu berwaspada.
Katanya, berdasarkan penelitian dan maklumat terkumpul daripada mereka yang pernah menjadi mangsa menunjukkan pengedar dadah sering mengumpan dengan tawaran lumayan bagi memujuk mangsa seperti wang tunai atau peluang melancong ke luar negara.

 

“Tawaran begini yang kita anggap macam tak masuk akal, tapi akhirnya menjerat sesetengah orang untuk menjadi pembawa dadah ke luar negara, lazimnya orang perempuan yang tertipu dan mereka ini jenis yang membuat keputusan sendiri tanpa panduan keluarga.
“Macam mana sekali pun, kita tidak patut percaya kepada orang baru dikenali atau pun pihak yang kita tak kenal secara rapat, tak tahu latar belakang pekerjaannya, keluarga dan siapa kenalan pihak berkenaan.
“Lebih penting apabila ke luar negara perlu peka kepada persekitaran dan apabila berjumpa seseorang yang menyuruh bawa bungkusan atau beg tertentu, harus ambil tahu apa isinya, jangan bawa begitu saja,” katanya, semalam.

Dr Mahmood Nazar, berkata remaja juga harus mengambil iktibar terhadap kes yang berlaku kepada beberapa mangsa yang menyebabkan mereka dipenjara di luar negara bertahun lamanya.
“Pihak AADK selalu mengadakan kempen kesedaran yang diselitkan informasi mengenai insiden keldai dadah dan kita kerap memperingatkan remaja agar tidak terjebak dengan insiden ini sebaliknya lebih berhati-hati.

“Sejak dua tahun lalu sudah mula aktif dengan kempen kesedaran berkenaan, cuma orang ramai perlu bersama-sama, prihatin dan jangan mudah percaya pada orang tak dikenali,” katanya.
Semalam akhbar melaporkan kisah Nur Dhiya Ain Rosman, 20, yang bersyukur dibebaskan dari penjara Cape Town, Afrika Selatan, 9 Mac lalu selepas menderita di sana selama tujuh bulan bermula 14 Ogos tahun lalu kerana bersalah membawa 1.2 kilogram dadah jenis syabu.

 

 

 

Pemandu enggan beri laluan – Harian Metro


Pemandu enggan beri laluan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sikap pentingkan diri sendiri pemandu kenderaan di sekitar Kulaijaya yang enggan memberi laluan kepada jentera bomba dan penyelamat daerah itu menyebabkan pasukan berkenaan kehilangan beberapa minit berharga bagi membantu Nurul Aminah Murjini, 15, yang hampir hancur tangan kirinya selepas tersangkut pada gigi mesin perahan tebu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, tangan kiri Nurul separas siku hampir hancur selepas tersangkut ketika membantu ibunya menjual air tebu di gerai berhampiran rumah kedai di Batu 21, Jalan Kulai-Johor Bahru.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kulaijaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.21 tengah hari, namun disebabkan kesesakan lalu lintas selain keengganan pemandu memberikan laluan, pasukan penyelamat itu hanya tiba ke lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

“Sebaik menerima panggilan, sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Zain Yunus dikejarkan ke lokasi,” katanya.

Operasi menyelamat bermula pada jam 12.30 tengah hari dan dapat membebaskan tangan mangsa lapan minit kemudian.

Guru disyaki cabul murid kena tahan – Berita Harian


Guru disyaki cabul murid kena tahan

2011/03/16

GEMAS: Polis menahan seorang guru lelaki sekolah kebangsaan di sini, Jumaat lalu kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan Tahun Enam.

Guru berumur 20-an itu dipercayai melakukan perbuatan itu dua kali dengan kejadian pertama pada 8 Mac lalu.Guru terbabit menjemput dua murid perempuan ke rumahnya kira-kira jam 3 petang untuk menyusun jadual waktu.

Selepas selesai, seorang daripada murid disuruh pulang untuk menukar pakaian bagi menyertai kegiatan kokurikulum.

Ketika tiada orang lain di rumah, guru terbabit mencium pipi dan leher mangsa, meramas buah dada serta meraba kemaluannya.

Kejadian kedua berlaku keesokan hari apabila guru sama menjemput enam murid ke rumah dan dijamu minuman serta kek. Ketika kejadian, isteri guru terbabit tiada di rumah kerana bekerja.

Perbuatan guru itu terbongkar apabila rakan mangsa menceritakannya kepada guru tuisyen yang kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Gemas, Jumaat lalu.

 

Pelajar lemah, mundur hanya hancur diri sendiri – Utusan Malaysia


Pelajar lemah, mundur hanya hancur diri sendiri


Muhyiddin Yassin (tengah) bersama-sama menyanyikan lagu 1Malaysia sambil mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Keluarga Angkat 1Malaysia di Putrajaya, semalam.


 

PUTRAJAYA 15 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan golongan pelajar agar tidak lemah, mundur dan terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat yang boleh menghancurkan diri sendiri dan masa depan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka perlu gigih berusaha dalam mencari ilmu kerana hanya golongan berilmu dan berakhlak mulia mampu menerajui negara pada masa akan datang.

”Kita tidak nafikan bahawa ada kalangan kita yang bersikap ‘seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’.

”Sebagai bakal pemimpin akan datang, sifat tersebut tidak sepatutnya ada dalam diri kerana kita seharusnya prihatin dan peka terhadap keperluan serta kehendak orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Program Keluarga Angkat 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.

Program yang dimulakan sejak 10 Mac lalu itu melibatkan 60 keluarga angkat di kalangan pegawai kanan Kementerian Pelajaran.

Setiap keluarga angkat, mereka akan menerima dua anak angkat yang berlainan bangsa.

Muhyiddin berkata, rakyat negara ini amat beruntung kerana berada dalam negara yang sudah merdeka dan hingga hari ini masih aman, ekonominya stabil dan perpaduan terus mantap.

”Maka, kita semua perlu pertahankan kejayaan yang telah kita miliki dengan bersatu padu dan berusaha untuk memelihara kemakmuran negara,” katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, beliau menyifatkan program tersebut mampu membawa impak kepada kefahaman lebih mendalam tentang kepelbagaian keturunan, agama dan latar belakang di negara ini.

“Ini amat baik kerana sebagai pemimpin pelapis, mereka bukan sahaja harus dapat memahami kepelbagaian itu tetapi juga bagaimana dapat menghargai bahawa dalam perbezaan itu ada persamaan,” katanya.

 

Jaga mengaku perkosa remaja – Harian Metro


Jaga mengaku perkosa remaja

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Angan-angan seorang pengawal keselamatan untuk menyertai tentera mungkin terkubur apabila dia mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol remaja berusia 14 tahun dalam lima kejadian berasingan di Bukit Sentosa, dekat sini, akhir tahun lalu.

Muhamad Ariff Jamaludin, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.

Hakim Latifah Mohd Tahar, bagaimanapun menetapkan 21 April depan sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Ariff dari Tapah, Perak, didakwa merogol mangsa di sebuah unit pangsapuri di Bukit Sentosa, dekat sini, antara 26 dan 31 Disember tahun lalu.