20 pelajar dibuang sekolah tanpa amaran – Berita Harian


20 pelajar dibuang sekolah tanpa amaran

2011/03/16

BUKIT KAYU HITAM: Ibu bapa kepada 20 pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di sini kesal dengan tindakan pengetuanya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang mereka dakwa membuang sekolah pelajar itu pada 10 Mac lepas tanpa memberi notis amaran dan peluang membuat rayuan.

Pelajar terbabit dikenakan tindakan itu dipercayai sebagai hukuman kerana mengasari seorang pelajar tingkatan empat pada 25 Februari lalu di surau sekolah itu.

Jasmi Mohd Noor, 44, bapa seorang daripada pelajar itu, berkata beliau sedar perbuatan kumpulan pelajar terbabit adalah salah dan pihak sekolah berhak mengambil tindakan disiplin terhadap mereka, namun hukuman buang sekolah adalah keterlaluan.

“Saya kesal dengan tindakan pengetua dan PIBG yang mengambil tindakan buang sekolah, sepatutnya mereka dikenakan hukuman rotan dahulu sebelum mengambil tindakan yang lebih berat,” katanya kepada pemberita di sekolah itu di sini hari ini.

Ibu bapa kepada 20 pelajar terbabit telah bersemuka dengan pengetua di sekolah itu pada 8 pagi tadi bagi berbincang mengenai tindakan terhadap anak mereka namun kecewa kerana pengetua berkenaan berkeras tidak mahu mengubah pendiriannya.

Jasmi, seorang bekas guru, berkata ibu bapa pelajar terkejut mendapat tahu mengenai tindakan terhadap anak masing-masing menerusi surat bertarikh 10 Mac yang mereka terima pada 13 Mac.

“Sebelum ini, selepas tiga hari dari tarikh kejadian anak-anak kami diminta keluar dari asrama sekolah itu serta merta tanpa diberi peluang untuk membela diri.
“Ada pelajar yang tinggal di luar Kedah iaitu Terengganu dan Selangor tidak tahu arah tuju setelah diarah keluar sebelum 6.45 petang. Mujurlah mereka tinggal di rumah rakan terdekat sebelum pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Seorang lagi bapa, Shukri Ali, 42, berkata beliau bimbang kerana pelajar-pelajar itu akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Ada tujuh bulan lagi mereka nak duduki SPM. Perkara yang berlaku kepada anak saya itu membuatkan anak saya murung dan tidak semangat,” katanya.

Jabatan Pelajaran Kedah tidak dapat dihubungi untuk ulasan. – BERNAMA

 

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s