Pemotong rumput nafi rogol remaja – Berita Harian


Pemotong rumput nafi rogol remaja

2011/03/17

  MOHD FADLI dibawa keluar dari  Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

MOHD FADLI dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU: Seorang pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan merogol seorang remaja berusia 14 tahun di Tanah Merah pada Januari dan Februari lalu.

Mohd Fadli Zakaria, 29, dari Kampung Mak Jintan, Jedok, Tanah Merah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Bagi tuduhan pertama, Mohd Fadli didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun lima bulan di sebuah rumah kosong yang masih dalam pembinaan di Jalan Tanah Merah-Jeli antara jam 1.30 pagi hingga 1.35 pagi, 25 Januari lalu.

Mohd Fadli juga didakwa merogol mangsa yang sama di rumah tidak bernombor di Kampung Banggol Yek, Jedok Nibong, Tanah Merah, antara jam 1.30 pagi hingga 1.45 pagi pada 25 Februari lalu.

Bagi dua pertuduhan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali. Rofiah menetapkan 25 April ini untuk tarikh sebutan semula kes itu.

 

230 murid sertai Kem Bijak TaHa – Berita Harian


230 murid sertai Kem Bijak TaHa

2011/03/17

PESERTA menjalankan aktiviti berkumpulan   di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, semalam.

PESERTA menjalankan aktiviti berkumpulan di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR: Seramai 230 murid sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur menyertai Kem Bijak TaHa Wilayah Tengah anjuran Tabung Haji (TH) dan Berita Harian di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, semalam.

Pengurus Kanan Khidmat Pelanggan (Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi) TH, Noor Azmima Ismail, berkata kem sempena cuti sekolah itu khas untuk ahli Kelab TaHa dan pendeposit TH.

“Pada mulanya kita mensasarkan penyertaan 150 orang, tetapi permintaan tinggi dari ibu bapa menyebabkan kami terpaksa membuka penyertaan sehingga 230,” katanya ketika ditemui pada hari pertama Kem Bijak TaHa di sini.

Kem yang memasuki tahun kedua itu mengambil pendekatan baru berbentuk permainan interaktif seperti eksperimen sains dengan kerjasama Pusat Sains Negara dan slot pendekatan psikologi kanak-kanak bersama kaunselor bertauliah dari Kementerian Kewangan.

Program interaktif itu, katanya, adalah tambahan kepada pengisian kem sebelum ini yang lebih menjurus kepada pembentukan nilai positif pelajar melalui pelbagai aktiviti antaranya Bijak Solat, Bijak English, Bijak IQ dan Bijak Kendiri.

Seorang ibu, Noor Aishah Osman, 44, berkata beliau terbaca mengenai kem ini di iklan yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian.

Katanya, tanpa melengahkan masa beliau terus mendaftarkan anaknya, Ahmad Amsyar Abdul Halim, 12 menyertai kem itu dengan harapan dapat mengubah anaknya menjadi lebih berani.

 

Negara perlu guru berkualiti tinggi – Muhyiddin – Utusan Malaysia


Negara perlu guru berkualiti tinggi – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan penerima Anugerah Emas Terbaik Keseluruhan, Muhammad Solehuddin Abdul Rani (empat dari kiri) pada majlis Konvokesyen Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di PICC, Putrajaya, semalam. Turut sama (dari kiri) Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Kementerian Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin dan Rektor Institut Pendidikan Guru, Datuk Dr. Haili Dolhan. – Bernama


 

PUTRAJAYA 16 Mac – Masyarakat hari ini amat memerlukan guru-guru yang berkualiti tinggi selaras dengan agenda negara melaksanakan Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru perlu mempertingkat dan melengkapkan diri dengan kemahiran asas sebagai pendidik dan memahami Pengetahuan Kandungan Pedagogi.

“Justeru adalah penting untuk guru-guru memainkan peranan masing-masing ke arah membudayakan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar.

“Mereka mesti melengkapkan diri dari sudut keilmuan dan sahsiah, berintegriti, beriltizam dan mempunyai kesedaran untuk membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Istiadat Konvokesyen Berpusat Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Pengambilan Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Pada konvokesyen kali pertama itu, seramai 1,987 guru terlatih dan berkualiti dari 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara yang berjaya menamatkan pengajian selama lima tahun enam bulan, menerima ijazah masing-masing.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Penyelidikan Tindakan boleh dijadikan disiplin yang penting untuk menambah baik pengajaran di bilik darjah dan ia seharusnya dijadikan wadah untuk guru memperbaiki strategi, pendekatan, kaedah serta teknik pengajaran dan pembelajaran.

“Konsep pembelajaran sepanjang hayat bagi seseorang guru amat penting untuk mereka mencari, mengkaji dan menyelidik ilmu dan kemahiran pengajaran bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak-anak didik,” katanya.

Justeru jelasnya, guru yang lulus pengajian dari IPG seharusnya tidak berasakan mereka sudah mempunyai ilmu yang mencukupi kerana sebagai ia perlu digali manakala pengalaman perlu diterokai.

“Ia bagi memastikan setiap guru sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran diri dengan teknik terkini dalam menyampaikan ilmu,” katanya.

Muhyiddin menambah, keseragaman etika pengajaran untuk mendidik pelajar kepada realiti negara bangsa yang majmuk, rencam dan pelbagai latar belakang serta aliran di semua sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan dapat memastikan negara terus maju.

Semua guru katanya, perlu rajin mencari, meneliti dan membuat penyelidikan agar sentiasa dalam keadaan siap siaga dengan ilmu, kemahiran serta seni pengajaran dan pengetahuan kandungan pembelajaran.

“Tugas guru semakin penting kerana bidang pendidikan memberi sumbangan besar dalam menentukan kejayaan sesebuah negara. Hakikat ini lebih relevan lagi dalam era siber di mana kemajuan dan kejayaan anak bangsa bergantung kepada penguasaan ilmu dan teknologi,” katanya.