Dua lemas dalam kolam – Harian Metro


Dua lemas dalam kolam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kegembiraan sekumpulan lima kanak-kanak bermain di kawasan kolam takungan banjir di Seksyen 6, Petaling Jaya, di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas selepas terjatuh di dalam kolam berkenaan, semalam.

Difahamkan, kumpulan kanak-kanak terbabit masuk ke kawasan larangan itu untuk bermain.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kumpulan kanak-kanak itu masuk ke kawasan berkenaan yang tidak dikawal.

 

Mangsa, Badrul Amin Bastian, 9, dan rakannya, Amir Razmi Asnawi, 11, tergelincir ketika bermain di tepi kolam berkenaan dan biarpun cuba diselamatkan rakannya, usaha itu sia-sia.
Kedua-dua mereka yang tidak tahu berenang dilaporkan tenggelam dalam kolam berkenaan.
Panik dengan keadaan itu, rakan mangsa bergegas pulang ke rumah sebelum memaklumkan kejadian itu kepada keluarga.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Hamzah, ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6.50 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian bersama anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh.
“Usaha mencari membuahkan hasil apabila mayat Badrul Amin ditemui di dasar kolam berkenaan kira-kira jam 7.45 malam.

“Mayat Amir Ramzi pula ditemui berhampiran kira-kira dua meter dari tempat penemuan mayat rakannya Badrul Amin lima minit kemudian,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh, di sini, untuk bedah siasat.

 

 

 

Keluarga pelajar SBPI kena buang disaran merayu – Berita Harian


Keluarga pelajar SBPI kena buang disaran merayu

2011/03/18

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan ibu bapa dan 20 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, Kedah yang dibuang sekolah Khamis lalu kerana kesalahan membuli supaya membuat rayuan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ibu bapa dan pelajar terbabit berhak mengemukakan rayuan supaya dapat dipertimbang pihak pengurusan sekolah sama ada untuk mengekalkan hukuman itu atau sebaliknya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak pengurusan sekolah mungkin mempunyai sebab tertentu mengambil tindakan itu, namun menegaskan ibu bapa dan pelajar masih mempunyai masa membuat rayuan.

“Kalau mereka ada sebab munasabah mengapa mereka tidak boleh dibuang, maka boleh kemukakan bukti dan asas kukuh,” katanya, semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan seramai 20 pelajar Tingkatan Lima SBPI Kubang Pasu dibuang sekolah selepas didapati bersalah membuli dengan menjentik dahi seorang pelajar Tingkatan Empat beramai-ramai pada 25 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan tetap menggunakan novel Interlok sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) subjek bahasa Melayu, Tingkatan Lima walaupun mendapat desakan banyak pihak supaya novel itu ditarik balik.

Beliau turut menafikan tiga wakil kaum India yang dilantik menganggotai panel bebas mengkaji pindaan kandungan Interlok menarik dari daripada panel itu seperti yang dimaklumkan Presiden MIC, Datuk G Palanivel.

 

Gadis kelar tangan selepas kecewa dirogol – Utusan Malaysia


Gadis kelar tangan selepas kecewa dirogol

KUANTAN 17 Mac – Akibat kecewa selepas dirogol secara bergilir-gilir tiga rakannya yang mabuk, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun bertindak mengelar kedua-dua belah tangan di rumahnya di Kota Bahagia dekat Rompin baru-baru ini.

Remaja perempuan itu dipercayai dirogol tiga rakannya ketika mereka sama-sama mabuk selepas mengambil minuman keras di sebuah pondok usang di kebun kelapa sawit Kota Bahagia pada Isnin lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika empat remaja itu mengambil minuman keras dalam sebuah pondok usang di kebun tersebut.

“Selepas itu, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja sedar, dia mendapati dirinya telah dirogol oleh rakan-rakannya.

“Kecewa dengan kejadian itu, mangsa bertindak mengelar kedua-dua belah tangannya dengan menggunakan pisau. Bagaimanapun, tindakan mangsa disedari oleh bapa saudaranya lalu bertindak membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Haris, sepasukan anggota unit Forensik yang menerima laporan mengenai kejadian itu menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menemui beberapa puntung rokok dan kesan air mani di pondok tersebut.

Katanya, polis kemudian menahan tiga suspek berusia 17 tahun bagi membantu siasatan dan mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mohd. Haris berkata, polis menahan dua lelaki yang dipercayai merogol rakan wanita mereka berusia 16 tahun pada Februari lalu di kawasan Pantai Air Leleh dekat Pekan, baru-baru ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia 18 tahun kini ditahan mengikut seksyen yang sama di IPD Pekan bagi membantu siasatan.

“Dipercayai remaja perempuan itu melakukan hubungan seks bersama dua rakan lelakinya atas dasar suka sama suka,” katanya.

Pada Februari lalu, remaja perempuan tersebut didapati mengandung 13 minggu selepas melakukan pemeriksaan doktor.