Dua beranak diseret kenderaan ke dalam longkang – Utusan Malaysia


Dua beranak diseret kenderaan ke dalam longkang

22/03/2011 6:11pm

 

MELAKA 22 Mac – Seorang murid tadika nyaris lemas, manakala ibunya patah kaki kanan setelah dirempuh dua kenderaan ketika sedang berjalan kaki sebelum dua beranak itu tercampak ke dalam longkang di Lebuh AMJ dekat Semabok di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika mangsa, Misliah Nafahan, 34, sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas mengambil anaknya, Nurshamsiah Samawi, 6, pulang dari Tabika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Semabok. – Utusan

 

Pelajar koma dipanah petir meninggal dunia – Utusan Malaysia


Pelajar koma dipanah petir meninggal dunia

22/03/2011 6:37pm

 

MELAKA 22 Mac – Pelajar tingkatan satu yang koma akibat dipanah petir ketika bermain bola sepak berhampiran rumahnya di Kampung Padang semalam, meninggal dunia di Hospital Melaka di sini hari ini.

Haikal Izwan Rahimin, 13, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.50 petang di unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut. Perkara itu disahkan sendiri ibunya, Saniah Abu Bakar, 34, ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini. – Utusan

 

Pesara KWSP dapat perubatan percuma – Utusan Malaysia


Pesara KWSP dapat perubatan percuma

22/03/2011 12:13pm

 

PUTRAJAYA 22 Mac – Penjawat awam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239 termasuk anggota keluarga tanggungan mereka layak menerima kemudahan rawatan perubatan percuma.

Keputusan kerajaan yang berkuat kuasa mulai tarikh semasa itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12, di sini, hari ini.

“Ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berjasa,” katanya.

Najib berkata, pelaksanaan pemanjangan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP itu, hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang dibersara wajib oleh Kerajaan Persekutuan, atau Negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.

Ia bagaimanapun tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri, kata Najib. – Bernama

 

Budak trauma dilari penjenayah – Utusan Malaysia


Budak trauma dilari penjenayah


Baljeet Singh melihat kenderaan yang cuba dicuri oleh penjenayah di Port Dickson, semalam.


 

TELUK KEMANG 21 Mac – Seorang budak lelaki berusia empat tahun trauma setelah dilarikan hampir lima jam oleh seorang penjenayah yang menyamun kenderaan bapanya di Pekan Pasir Panjang, Port Dickson malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.25 malam ketika bapa mangsa meninggalkan kanak-kanak itu bersendirian dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser selama empat minit untuk membeli barang di sebuah kedai runcit.

Sebaik sahaja keluar dari kedai, bapa mangsa yang berusia 31 tahun terkejut apabila mendapati kenderaannya itu dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Ketua Polis daerah, Supritendan Baljeet Singh berkata, lelaki tersebut cuba mengejar kenderaannya dengan bantuan seorang penunggang motosikal, namun gagal kerana MPV tersebut dipandu laju.

“Setelah itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Pasir Panjang.

“Hasil tindakan pantas polis, kenderaan dan kanak-kanak itu akhirnya ditemui ditinggalkan di sebuah taman perumahan di Masjid Tanah, Melaka, kira-kira 50 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ketika ditemui, kanak-kanak itu sedang berdiri di tempat duduk belakang kenderaan dan tidak mengalami kecederaan.