Pelajar hidap ketumbuhan otak dapat 10A dalam SPM – Berita Harian


Pelajar hidap ketumbuhan otak dapat 10A dalam SPM

2011/03/23

KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah orang, masa depan bertukar kelam apabila kehilangan pancaindera yang digunakan untuk menempuh kehidupan seharian.

Namun berbeza dengan Tang Kah Hung, 20, hidup tanpa dapat melihat tidak langsung dijadikan penghalang bagi mencatat keputusan cemerlang 6A+, 3A dan 1A- dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Kejayaan itu lebih manis apabila beliau muncul pelajar pertama Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak yang memperoleh keputusan semua A dalam SPM, sejak ia ditubuhkan pada 1974.

Kisah hidup pelajar itu sebenarnya menyentuh perasaan, namun perwatakannya yang ramah dan sentiasa optimis amat mengagumkan semua yang melihatnya.

Anak muda itu yang lebih senang disapa Jason, memberitahu pemberita di sini beliau disahkan menghidap ketumbuhan otak pada usia 16 tahun dan langsung tidak menyangka penyakit itu mampu merubah kehidupan beliau untuk selama-lamanya.

Jason berkata, beliau mula merasa sakit leher ketika di tingkatan dua, namun bapanya berkata ia berpunca daripada kegemarannya bermain komputer.

“Bila naik tingkatan tiga keadaan menjadi lebih teruk apabila saya mula muntah-muntah. Namun apabila saya mengadu pada bapa, dia kata mungkin saya salah makan…dari situ saya rasa diri saya biasa-biasa saja.
“Di tingkatan empat, bila saya bangun tidur di suatu pagi penglihatan jadi sempit dan saya mula tak boleh agak dimensi…tapi tak cakap dengan ibu bapa lagi sehinggalah saya demam dan ibu bawa saya ke klinik. Saya lihat cermin dan saya hanya nampak hidung saya sebelah kanan saja,” katanya.

Apabila membuat pemeriksaan di Pusat Perubatan Subang Jaya, anak bongsu daripada dua beradik itu disahkan menghidap ketumbuhan otak dan doktor memberinya dua pilihan: mata atau nyawa.

“Saya pilih mata sebab saya nak hidup lagi dan kemudian menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia…saya jadi buta sepenuhnya,” katanya.

Bosan duduk di rumah, tiga bulan selepas itu, Jason membuat keputusan untuk belajar semula dan mendaftarkan diri untuk belajar “braille” di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) selama setahun sebelum masuk ke sekolah.

Memandangkan dirinya seorang yang ramah, Jason tidak mempunyai masalah membiasakan diri dengan rakan-rakan dan persekitaran yang baru. Pada ujian percubaan SPM, beliau memperoleh 9A dan 1B.

Tidak meninggi diri, Jason berkata, beliau mula membuat persediaan menghadapi SPM pada bulan Jun dan mengakui tempoh itu sudah agak lambat.

“Sudahlah saya perlu menggunakan braille, tapi saya percaya dengan konsep belajar dengan bijak maka saya rasa boleh berjaya,” katanya.

Ditanya apa perancangannya selepas ini, anak muda itu terdiam sejenak.

“Jujurnya saya belum tahu tapi saya berharap agar kerajaan dapat memberi bantuan kepada saya dan rakan-rakan lain yang mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya nak belajar dalam bidang pendidikan. Saya nak jadi guru…sebab saya percaya apa-apa pun mula daripada asas. Guru ajar dari peringkat bawah, boleh bentuk murid. Dapat keputusan baik pun sebab banyak dapat dorongan daripada guru.

“Sekurang-kurangnya boleh bantu kumpulan yang sama cacat penglihatan seperti saya.

“Pesan saya kepada rakan-rakan senasib di luar sana, jangan putus asa, belajar dengan bijak, ujian percubaan paling penting, baca buku…rangka nota dan cuba jawab soalan.” – BERNAMA

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s