Tumpukan sepenuh perhatian sewaktu dalam kelas – Harian Metro


Tumpukan sepenuh perhatian sewaktu dalam kelas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Tiada resepi luar biasa melainkan menumpukan sepenuh perhatian sewaktu di dalam kelas serta menyiapkan semua tugasan yang diberikan guru dengan sempurna,” kata May Lee Cai Ling, 18, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, semalam.

Dia ialah antara ribuan calon SPM 2010 yang menerima keputusan peperiksaan itu semalam dan mencatatkan pencapaian membanggakan dengan perolehan gred A+ bagi kesemua 11 mata pelajaran yang diambil.
Cai Ling yang juga pelajar terbaik SPM 2010 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SMKAB) di sini, turut menjadi antara pelajar yang mendapat keputusan terbaik di peringkat kebangsaan.

 

Cai Ling berkata, walaupun kebanyakan rakannya mengambil kelas tambahan di pusat tuisyen berbayar di luar sekolah, dia memutuskan untuk tidak mengambil sebarang kelas tambahan kerana percaya sekolah adalah tempat terbaik untuk menimba ilmu di samping menjimatkan wang.
“Bagi saya, guru di sekolah sudah pun berusaha keras untuk memberi ilmu yang secukupnya kepada kami malah mereka sentiasa memastikan kami dapat menguasai segala yang diajar.
“Paling penting ialah bagaimana caranya kita memanfaatkan setiap saat yang dihabiskan di sekolah untuk memperoleh seberapa banyak ilmu dan jangan malu bertanya jika tak faham,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran.

Di samping mendapat 11A+, Cai Ling turut memperoleh A bagi peperiksaan GCE O-Levels English 1119 dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) menjadikannya pencapaiannya 13A.
Bapa Cai Ling, Lee Chee Seng, 54, berharap kejayaan Cai Ling akan melayakkan anaknya itu untuk mendapat pembiayaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pengajian di universiti nanti.

“Sepanjang membesarkannya, Cai Ling tidak pernah menjadi beban kepada saya dan isteri kerana dia seorang anak yang berdisiplin dan mendengar kata,” katanya yang berkongsi kejayaan Cai Ling bersama isterinya, Khaw Phaik Hoon, 53, di SMKAB di sini, semalam.

 

 

Sedih, hiba teringat arwah ibu – Harian Metro


Sedih, hiba teringat arwah ibu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Walaupun kehilangan ibunya sejak setahun lalu, ia tidak melunturkan semangat pelajar cemerlang, Nur Farahhuda Zainal Abidin, 17, (gambar) untuk mencatat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, yang diumumkan semalam.

Berkat usaha gigih tidak mengenal jemu mengulangkaji pelajaran, pelajar Sekolah Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SMSSAAS), Shah Alam itu, akhirnya mencapai impiannya mendapat semua A dalam subjek yang diambil.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada empat beradik itu, berkata kegembiraannya mendapat keputusan cemerlang tetap tidak dapat membendung perasaan sedih dan hiba apabila teringatkan arwah ibunya yang sangat mementingkan disiplin dan pelajaran.

 

“Saya gembira mendapat keputusan ini dan tidak pernah mengharapkan sebarang hadiah, hanya mahu berjaya dalam pelajaran seterusnya mencapai cita-cita menjadi pakar perubatan.
“Dalam mencapai keputusan cemerlang, bukan saja saya akan memberi tumpuan penuh ketika cikgu mengajar, saya juga akan mengulangkaji di perpustakaan negeri setiap Sabtu dan Ahad,” katanya, semalam.

 

 

Keprihatinan guru banyak membantu – Harian Metro


Keprihatinan guru banyak membantu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Dia sering mengalami kesukaran berkomunikasi atau memahami pelajaran yang diajar dalam bilik darjah kerana dia satu-satunya pelajar kurang upaya (OKU) yang ditempatkan dalam kelas pelajar normal, namun ketabahannya mengagumkan saya.

“Walaupun ada yang prihatin untuk membantu tetapi dia banyak berdikari dan saya lihat dia seorang yang sangat tabah dan mempunyai disiplin tinggi dalam mengharungi tempoh persekolahan apalagi dikelilingi pelajar lain yang sempurna daripada segi fizikal,” kata Azlina Abdul Rahman, 45, ibu kepada seorang pelajar OKU yang memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek aliran sains.
Kekangan daripada segi keupayaan berikutan cacat pendengaran sejak lahir tidak menghalang anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Iylia Azwa Abdul Wahab, 17, untuk mencatat keputusan 2A bagi subjek Matematik dan Sains dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010, yang diumumkan semalam.

 

Iylia berkata, walaupun sukar memahami apa yang diajar guru tetapi keprihatinan guru yang sanggup menyalin nota dalam kelas untuk diberikan kepadanya bagi aktiviti ulangkaji banyak membantu.
“Saya dan ibu juga bersama-sama menyusun jadual belajar selain mendapatkan khidmat cikgu tuisyen yang datang ke rumah untuk mengajar saya lebih memahami subjek yang diambil,” katanya dengan bantuan ibunya, ketika ditemui selepas mengambil keputusan semalam.
Sementara itu, pengetua SMK Seksyen 9, Abdul Hakim Samuri berkata, beliau bersyukur dengan pencapaian akademik dalam keputusan SPM kali ini berikutan secara keseluruhan daripada 281 calon, seramai 17 pelajar sekolah itu berjaya mencatat keputusan semua A.

Beliau berkata, peratusan kelulusan pelajar dalam SPM kali ini juga meningkat berbanding tahun sebelumnya menjadi 89.32 peratus iaitu peratus kelulusan terbaik sejak sekolah itu dibuka.

 

‘Dia sudah buktikan’ – Harian Metro


‘Dia sudah buktikan’

Oleh Rosyahaida Abdullah
rosyahaida@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Membesarkannya memang ditemani air mata, namun hari ini dia membuktikan semua yang saya lalui berbaloi,” kata Khairulleza Khamsan, 47, ibu kepada Muhamad Faiz Danyal, 18, pelajar orang kurang upaya (OKU) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki (SMKAB) di sini, semalam.

Muhamad Faiz yang mengalami hyperlexia iaitu permasalahan pertuturan dan terkebelakang dalam perlakuan sejak lahir itu memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan semalam, iaitu 8A 1B.
Khairulleza berkata, kejayaan anaknya itu bukan mudah untuk dikecapi sebaliknya pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan anaknya mendapat ilmu sama seperti orang biasa.

 

Katanya, selain memanggil guru persendirian untuk mengajar Muhamad Faiz di rumah, dia juga terpaksa berhenti kerja ketika anaknya itu berusia tujuh tahun semata-mata ingin menumpukan sepenuh perhatian untuk menjaga Muhamad Faiz.
“Anak saya memang tidak boleh dipaksa untuk belajar kerana dia mudah tersinggung dan akan menangis ekoran simptom penyakitnya yang seperti keanak-anakan.
“Pernah juga saya hampir berputus asa untuk meneruskan persekolahannya gara-gara cemuhan orang ramai yang mengatakan anak saya tidak layak bergaul dengan orang biasa, tetapi dengan sokongan guru di sekolah ini, saya cekalkan hati,” katanya.

Difahamkan, Muhamad Faiz turut aktif dalam seni mempertahankan diri iaitu taekwando yang mana dia kini di tahap tali pinggang merah.
Ketika ditemui, Muhamad Faiz yang kelihatan gembira dengan pencapaiannya itu turut berkongsi kejayaan bersama rakan yang turut menerima keputusan cemerlang sepertinya.

Muhamad Faiz berkata, guru dan rakan banyak membantunya dalam kelas malah dia tidak pernah disingkirkan bagi sebarang aktiviti anjuran sekolah.
“Semua kawan banyak membantu saya dalam kelas dan cikgu pun selalu berikan tunjuk ajar,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pengajiannya di universiti.
Sementara itu, Pengetua SMKAB, Latifah Mahfod, berkata daripada 212 pelajar yang mendaftar untuk SPM tahun lalu, seramai 52 pelajar lulus dengan cemerlang dengan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

 

 

 

Minda: Cabaran pembinaan sahsiah remaja – Harian Metro


Minda: Cabaran pembinaan sahsiah remaja

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DEWASA ini, pelbagai laporan berita sering menumpukan kepada perilaku remaja. Tumpuan ini khususnya kepada remaja yang berada di sekolah menengah, tidak kira sekolah asrama penuh ataupun sekolah harian. Kes yang sering dilaporkan adalah berkaitan dengan kes buli, pergaduhan, samseng, merokok dan penagihan dadah. Pelbagai kes ini kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah mesti selari dan seimbang dilakukan ibu bapa dan diteruskan guru.

Bagi melahirkan remaja berakhlak dan bermoral, pendidikan nilai murni dan keagamaan adalah menjadi asas di rumah. Isu remaja bermoral dan tidak bermoral atau remaja berakhlak mulia dan berakhlak rendah mempunyai faktor dalaman.

Faktor dalaman ini pula berkait rapat dengan didikan yang diterima seorang remaja daripada kecil hingga ke belasan tahun atau sampai baligh. Apa saja yang dialami kanak-kanak sejak lahir, semuanya akan memberikan kesan kepada minda dan emosi kanak-kanak berkenaan.

Sementara faktor luaran adalah persekitaran yang baik. Masyarakat di mana remaja tinggal menyumbang ke arah kebaikan iaitu masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, bekerjasama, saling membantu dan mengelakkan sebarang gejala sosial yang tidak baik.

Daripada perspektif psikologi pakar dari Barat telah mengemukakan pendapat yang hampir sama iaitu punca keruntuhan moral atau akhlak adalah disebabkan kurang daya penyesuaian remaja dalam menangani cabaran dan dugaan yang melanda mereka. Kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan pengalaman remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

Menurut Alfred Denning, kebanyakan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial berasal daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah. Keluarga yang berpecah adalah keluarga yang berpunca daripada suami isteri yang bercerai.

Anak yang kecil itu seperti sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya. Alasan inilah yang menuntut ibu bapa memberikan didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak itu masih kecil, didik dan ajar mereka tentang akidah, ibadah dan akhlak yang baik. Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak.

Setiap anak mempunyai hak bagi mendapatkan dua perkara iaitu, makanan baik dan pendidikan yang baik. Makanan yang baik adalah makanan berkhasiat, sementara pendidikan baik ialah pendidikan seimbang iaitu ilmu dunia dan akhirat.

Apabila ibu bapa tidak mampu mendidik dan menjaga anaknya, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Jelaslah pelbagai gejala sosial yang dilakukan remaja di luar rumah adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik di rumah.

Asas pendidikan di rumah mesti menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan akidah ialah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

Sementara pendidikan ibadah melibatkan perkara berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan segala anggota dan pancaindera manusia mengabdikan diri kepada Allah. Pendidikan ibadah juga merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah.

Pendidikan akhlak di rumah oleh ibu bapa merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk ke arah membentuk Muslim yang terbaik.

Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sepohon pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya ialah kefarduan, daun-daun ialah amalan sunat, maka buah atau bunganya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

Justeru Nabi s.a.w. berpesan: “Sesungguhnya, orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Melahirkan dan mewujudkan remaja bermoral mesti dilakukan sejak anak itu masih kecil. Peribahasa ada mengatakan ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’ Pendidikan yang bermula daripada kecil lebih mudah dan ia merupakan lambang kejayaan pendidikan akidah dan ibadah setelah dewasa.

Ibu bapa dan guru yang berjaya dalam menanamkan nilai akhlak ini kepada anak dan pelajarnya merupakan ibu bapa dan guru yang cemerlang. Pendidikan akhlak adalah menjurus kepada pendidikan pembangunan insan boleh mencapai kejayaan yang baik jika mempunyai model terhadap aspek yang dihuraikan. Model yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah model ikutan yang utama.

Memang terlalu sukar untuk membentuk diri anak menjadi insan soleh dalam kehidupan hari ini. Tetapi dengan kesabaran, kegigihan dalam membentuk insan soleh, ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak mengikut acuan yang baik.

Membina jati diri anak hingga remaja memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Akhlak dan kesopanan adalah perkara paling penting dididik dalam hati dan jiwa anak. Fenomena dan perkembangan ini adalah cabaran kepada ibu bapa dalam merealisasikan akhlak yang baik.

Zaman yang dilalui anak-anak pada hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa hadapi. Cabaran dan gaya hidup anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi. Anak-anak zaman ini lebih matang dan lebih berani untuk bersuara.

Ironinya, dalam usaha mendidik anak sehingga dewasa memerlukan komitmen semua pihak. Ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk hati dan jiwa anak-anak menjadi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat.

319 calon khas berjaya – Harian Metro


319 calon khas berjaya

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seramai 319 orang daripada 629 calon berkeperluan khas yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 berjaya mendapat sijil, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.

Katanya, seramai tujuh orang calon berkeperluan khas iaitu tiga calon rabun, dua calon buta, seorang calon pekak dan seorang calon lain-lain kecacatan mendapat keputusan cemerlang bagi semua mata pelajaran.
“Ini menunjukkan calon berkeperluan khas juga mendapat peluang sama seperti calon lain untuk menduduki peperiksaan dan seterusnya mendapat pengiktirafan bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya.

 

Abd Ghafar berkata, kemudahan disediakan seperti kertas soalan braille untuk calon buta, kertas soalan moderasi untuk calon pekak dan kertas soalan cetakan besar untuk calon rabun.

 

 

9,239 cemerlang – Harian Metro


9,239 cemerlang

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Seramai 9,239 orang calon sekolah Kementerian Pelajaran berjaya mendapat keputusan gred cemerlang, termasuk 363 orang memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata bilangan calon yang mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A,A-) dan gred cemerlang tertinggi (A+) kali ini menunjukkan peningkatan berbanding SPM 2009.
Menurutnya, keputusan kali ini menunjukkan peningkatan 1,252 orang bagi gred cemerlang berbanding 7,987 calon pada 2009 manakala gred cemerlang tertinggi pada tahun berkenaan hanya 214 orang calon.

 

“Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua mata pelajaran diduduki juga menunjukkan peningkatan seramai 7,970 orang iaitu 68,114 orang pada 2010.
“Calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran pula menurun seramai 104 orang iaitu 2,773 orang pada 2010 berbanding 2,877 orang tahun sebelumnya “Saya ingin menegaskan calon yang mendapat gred cemerlang tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran.
“Bagi calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain Kementerian Pelajaran, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran diduduki,” katanya, ketika mengumumkan keputusan SPM 2010 di sini, semalam.

Peperiksaan bertulis SPM dijalankan dari 23 November hingga 20 Disember 2010 membabitkan 103 mata pelajaran dengan 3,594 pusat peperiksaan, 26,142 petugas peperiksaan dan 22,183 pemeriksa. Seramai 467,970 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu, membabitkan calon sekolah Kementerian Pelajaran (410,083), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera (7,216), Sekolah Menengah Agama Negeri (8,127), Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sekolah swasta (11,248) serta persendirian perseorangan (31,296).
Tahun lalu adalah tahun kedua sistem penggredan baru digunapakai dalam peperiksaan SPM.

 

 

Sebak lihat slip arwah anak – Harian Metro


Sebak lihat slip arwah anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JASIN: “Waktu kami sekeluarga sampai di pintu pagar sekolah ini (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar, Jasin), air mata saya sudah berlinangan kerana sepatutnya arwah bersama kami mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini.

“Namun, apakan daya arwah sudah pergi buat selama-lamanya,” kata Noraihan Sharif, 49, bapa kepada Allahyarham Muhammad Zulhaili, yang meninggal dunia pertengahan bulan lalu.
Remaja terbabit meninggal dunia apabila dipercayai mengalami jangkitan kuman ketika mengikuti program di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Wawasan, Papar, Sabah.

 

Allahyarham mendapat 6A 3B iaitu Bahasa Melayu dan Matematik (A+); Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah (A); Matematik Tambahan (A-); Fizik (B+); Biologi dan Kimia (B).
Menurut Noraihan, walaupun sedih dia tetap menghadirkan diri bersama keluarga mengambil keputusan itu bagi mewakili anaknya.
“Kami datang menemui rakan-rakannya dan guru yang banyak membantunya di sekolah ini,” katanya.

Noraihan berkata, dia terharu menatap keputusan diperoleh anaknya.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, ketika hayatnya, Allahyarham bercita-cita menjadi juruterbang, walaupun dia memberi pendapat mencari kerjaya lain dan arwah tetap mahu meneruskan cita-citanya itu.

“Namun, arwah tidak sempat mencapai cita-citanya kerana Allah lebih menyayanginya,” kata Inspektor Kesihatan yang berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu.
Menurutnya, anaknya mengikuti program di PLKN sejak awal tahun ini sebelum dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada 13 Februari lalu.
“Ketika saya melawat arwah, dia berada dalam keadaan koma dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah dan meninggal dunia dua hari selepas itu,” katanya.

 

 

 

Air mata buruh binaan – Harian Metro


Air mata buruh binaan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: Air mata memenuhi kelopak mata seorang bapa selepas anaknya diumumkan antara pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, membuktikan anak buruh binaan juga mampu memperoleh kejayaan setanding pelajar lain di bandar.

Abdul Manaf Jusoh, 49, dari Kampung Mengabang Telong di sini, tidak dapat menahan sebak apabila dia bersama anak lelakinya, Amirul Hisyam, 18, dipanggil naik ke pentas menerima slip keputusan SPM dengan memperoleh 10A+, iaitu antara pelajar terbaik dan cemerlang di Sekolah Menengah Elit Lembah Bidong.
Bapa kepada tujuh anak itu melahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anaknya keduanya itu.

 

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Amirul Hisyam kerana menunaikan janjinya untuk membuktikan kepada kami sekeluarga yang anak buruh binaan mampu bersaing dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Dia berjanji kepada kami sekeluarga untuk buktikan dia boleh mencapai kejayaan dalam SPM dan dia menunaikan janjinya,” katanya.
Amirul Hisyam ketika ditemui berkata, dia bersyukur dengan kejayaan itu dan berterima kasih kepada ibu bapa serta guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar selain usaha berterusan diri sendiri mengulangkaji pelajaran ketika berada di asrama.

Dia yang bercita-cita menjadi jurutera kimia akan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

 

Muhyiddin bangga pencapaian pelajar – Harian Metro


Muhyiddin bangga pencapaian pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang merekodkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 terutama kepada 9,239 pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

“Sebagai Menteri Pelajaran saya amat berbangga dengan pencapaian anda. Malah, saya yakin seluruh ahli keluarga, guru dan masyarakat juga berasa bangga.
“Sekalung tahniah kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak, sesungguhnya dorongan ahli keluarga amat perlu bagi melonjakkan prestasi pelajar,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

 

Muhyiddin berkata, kejayaan dan kegagalan seseorang pelajar berkait rapat dengan sikap guru dan keluarga.
Menurutnya, jika seorang pelajar mencatat keputusan cemerlang, sebahagian daripada kejayaan dicapai sudah semestinya hasil titik peluh dan usaha gigih keluarga serta guru.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, usaha kerajaan dalam memperkenalkan inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan terutama pemberian Bai’ah kepada guru besar, pengetua dan guru-guru juga secara tidak langsung sudah meningkatkan prestasi guru dan pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan.