Pandu Puteri digesa tingkat aktiviti kemasyarakatan – Utusan Malaysia


Pandu Puteri digesa tingkat aktiviti kemasyarakatan

TUNKU Azizah Maimunah Iskandariah (kiri) bersama Rosmah Mansor (tengah) menyumpit belon sebagai simbolik merasmikan sambutan Hari Peringatan, Pelancaran Brickathon dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Pahang di Kuantan, semalam.


 

KUANTAN 27 Mac – Persatuan Pandu Puteri Malaysia diminta memainkan peranan lebih aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk dalam usaha membantu mangsa yang ditimpa bencana.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktiviti tersebut dapat menerapkan nilai sukarelawan dan jati diri kepada ahli persatuan itu untuk berbakti kepada masyarakat.

Menurut beliau, mereka perlu bertindak pantas dengan merancang serta melaksanakan aktiviti yang selaras dengan kehendak semasa supaya kehadiran mereka sentiasa dirasai.

“Semua ahli persatuan perlu mengubah sikap dan mentaliti supaya memiliki satu ketetapan kerja yang progresif, pencapaian, sistematik dan efisien,” katanya.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berucap merasmikan Hari Peringatan, Pelancaran Brickathon dan Mesyuarat Agung Tahunan Pandu Puteri Cawangan Pahang di sini hari ini.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang yang juga Pengerusi Pandu Puteri Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Pada majlis itu, Tunku Azizah menyampaikan kutipan derma sebanyak RM50,000 kepada Rosmah untuk mengisi Tabung Bencana Pandu Puteri.

Rosmah berkata, penglibatan ahli persatuan itu dalam program tertentu penting supaya mereka dapat terus memainkan peranan lebih berkesan dalam aktiviti kemasyarakatan.