Guru sandaran tidak ditambah, serap jadi guru sandaran terlatih – Berita Harian


Guru sandaran tidak ditambah, serap jadi guru sandaran terlatih

2011/03/29

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk tidak menambah bilangan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) adalah bagi memastikan GSTT sedia ada dapat diserap menjadi guru sandaran terlatih (GST) terlebih dahulu selepas latihan ikhtisas diberikan kepada mereka.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata semua GSTT yang telah berkhidmat lebih dua tahun dan berusia tidak melebihi 35 tahun akan diberikan latihan tersebut dan berpeluang diserap menjadi GST.

“Bagi sedikit masa kepada kementerian untuk membuat perkara ini. Jangan ada orang kata kita tidak mengambil GSTT. Kita kena tengok kenapa kita tidak ambil GSTT.

“Kalau kita masukkan sahaja (GSTT) dan hantar ke latihan ikhtisas perkara ini tidak akan selesai. Kita mahu habiskan dulu apa yang ada dan masukkan dalam sistem,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan menarik balik surat penamatan perkhidmatan GSTT dan mahu menyerap mereka menjadi GST.

Wee berkata, pada masa Kementerian Pelajaran sedang meneliti dan mengenal pasti setiap data dan statistik mengenai GSTT yang ada di seluruh negara sebelum latihan tersebut dapat diberikan kepada mereka. – BERNAMA

 

Pendidikan agama di Selangor tidak diabaikan: Muhyiddin – Berita Harian


Pendidikan agama di Selangor tidak diabaikan: Muhyiddin

2011/03/29

BANTING: Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap pembangunan pelajaran termasuk pendidikan agama walaupun di negeri-negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang seperti Selangor, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan terhadap pendidikan agama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, hari ini menyampaikan geran bantuan berjumlah RM3.22 juta kepada 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada satu majlis di sini, dengan setiap SABK menerima sebanyak RM140,000.

Pada majlis perjumpaan bersama wakil-wakil sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh Selangor di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Sungai Manggis di sini sempena lawatan seharinya ke Selangor, beliau turut mengumumkan bantuan pengurusan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) seluruh negara berjumlah RM4.998 juta.

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.4 juta diperuntukkan untuk SAR dan KAFA di Selangor.

Katanya, terdapat 188 buah SAR dan KAFA di seluruh Selangor yang mempunyai 90,620 pelajar yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan terbabit.

Bagi SABK di seluruh negara pula, Muhyiddin berkata, sejumlah RM120.77 juta diperuntukkan sebagai belanja pengurusan dan daripada jumlah itu, RM29.27 juta diperuntukkan bagi SABK di Selangor yang berjumlah 23 buah dengan jumlah pelajar 15,586 orang.

Beliau berkata, sejumlah RM95 juta telah diperuntukkan sebagai bantuan untuk SAR seluruh negara dalam Bajet 2011 di mana RM9.6 juta diperuntukkan bagi Selangor.
Katanya, bantuan itu akan digunakan bagi kursus untuk guru-guru SAR, pembinaan dan pembaikan kecil SAR.

Beliau berkata, ilmu adalah asas bagi seseorang itu untuk mendapatkan bukan sahaja kejayaan di dunia bahkan juga di akhirat.

Muhyiddin berkata, kerajaan persekutuan mengutamakan pembangunan pendidikan untuk rakyatnya di mana 26 peratus daripada bajet negara adalah dikhaskan bagi pendidikan. – BERNAMA

 

Tandas ‘port’ pemuas nafsu – Harian Metro


Tandas ‘port’ pemuas nafsu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang remaja perempuan mengaku ketagih seks sejak setahun lalu apabila menjadikan tandas awam di pekan Bemban, Jasin sebagai ‘port asmara’ dengan kekasihnya.

Remaja berusia 16 tahun itu yang masih bersekolah juga mengaku dia membeli kondom terlebih dulu sebagai ‘persediaan’ bagi memuaskan nafsu bersama kekasihnya berusia 19 tahun yang dikenalinya ketika lelaki itu masih belajar di sekolah sama.
Malah, dia mengaku berulang kali menjadikan tandas itu sebagai port asmara bagi menghilangkan ketagihan seks bersama teman lelakinya.

 

Pendedahan itu dibuat remaja terbabit apabila dia diberkas pegawai syarak dan penduduk selepas disyaki berkhalwat di rumah keluarganya di Kesang, Jasin, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.
Remaja itu dikatakan menjadikan rumah keluarganya sebagai port baru melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelaki ketika ahli keluarganya tiada di rumah.
Bagaimanapun, hasrat pasangan terbabit menjadikan rumah keluarga perempuan berkenaan sebagai tempat maksiat tidak tercapai apabila diberkas dan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati pasangan berkenaan mula berkenalan dan menjalinkan hubungan cinta ketika lelaki terbabit masih bersekolah bersamanya.
Katanya, sepanjang perkenalan itu pasangan terbabit mula melakukan perkara terlarang sehingga melakukan seks dengan memilih tandas awam sebagai tempat melakukan perbuatan itu.

 

“Bermula dengan beberapa kali terlanjur dengan hubungan haram itu, remaja perempuan terbabit terus ketagih mengadakan hubungan seks bersama pasangannya dan melakukannya sekiranya ada kesempatan ketika bertemu.
“Malah, remaja terbabit mengakui dia membeli satu set kondom a RM3.50 di kedai runcit di pekan berkenaan berhampiran sekolahnya sebelum menemui teman lelakinya itu.
“Hasil hubungan pertama itu mereka terus terlanjur dengan menjadikan tandas sebagai lokasi pilihan sehinggalah mereka beralih ke rumah remaja perempuan itu,” katanya.
Rahimin berkata, serbuan dilakukan selepas pegawai syarak terbabit menerima aduan menyatakan ada seorang lelaki dipercayai bukan muhrim masuk ke rumah selepas penemuan sebuah motosikal yang diletakkan secara tersorok di belakang kediaman keluarga perempuan berkenaan.
Katanya, bertindak daripada maklumat itu, pegawai syarak bersama penduduk ke rumah berkenaan dan selepas beberapa kali memberi salam pintu dibuka oleh remaja perempuan terbabit.
“Pemeriksaan menemui seorang lelaki di dalam bilik rumah berkenaan dan soal siasat dijalankan mendapati dia tidak mempunyai hubungan mahram bersama remaja itu.
“Ketika itu hanya mereka berdua berada di dalam rumah berkenaan dan ibu bapa dan anggota keluarga lain perempuan itu pulang ke kampung,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati lelaki terbabit datang ke rumah itu sejam setengah sebelum serbuan dilakukan.

 

 

Murid dakwa diketuk guru – Utusan Malaysia


Murid dakwa diketuk guru

 

JAMALIAH Maani melihat kesan ketukan di kepala anaknya, Nur Umi Aishah di Butterworth, semalam.

 


BUTTERWORTH 28 Mac – Kebiasaannya Nur Umi Aishah Ismail menjadi orang yang paling awal bangun dari tidur sebelum mengejutkan ibunya supaya menghantarnya ke sekolah.

Namun hari ini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kuala Perai itu berubah sikap dan sekadar menggeleng-gelengkan kepala apabila dikejutkan oleh ibunya, Jamaliah Maani, 49.

Semuanya gara-gara trauma yang dihadapi kanak-kanak itu yang mendakwa ditumbuk lima kali di kepala oleh seorang guru lelaki Jumaat lalu hanya kerana gagal menjawab soalan Matematik dengan betul.

Tidak cukup dengan itu, anak sulung daripada dua beradik itu mendakwa, guru terbabit turut menarik telinganya sehingga menyebabkan dia hampir terjatuh dari kerusi.

“Selalunya, kalau salah tulis jawapan, cikgu hanya rotan tangan tapi kali ini dia ketuk kepala hingga saya rasa hampir pitam dan penglihatan jadi berpinar-pinar.

“Mula-mula tak nak menangis tapi ketika saya padam (jawapan) yang salah, cikgu tarik telinga pula sehingga saya hampir jatuh dari kerusi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Dalam, di sini hari ini.

Nur Umi Aishah memberitahu, ketika kejadian dia berasa sangat takut bercampur malu memandangkan insiden itu disaksikan semua 25 rakan sekelasnya.

Sementara itu Jamaliah berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan tetapi guru lelaki tersebut bergegas menaiki motosikalnya ketika cuba dihampiri sebaik sahaja sesi persekolahan tamat.

Jamaliah berkata, tidak berpuas hati dengan sikap guru berkenaan seolah-olah melarikan diri daripada masalah, dia kemudiannya berjumpa dengan pengetua sekolah tersebut dan dimaklumkan bahawa perkara itu akan disiasat terlebih dahulu.

Jamaliah memberitahu, dia bersama suaminya, Ismail Abdillah, 60, membuat laporan di Balai Polis Butterworth pada hari kejadian supaya guru berkenaan disiasat dan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias yang dihubungi mengesahkan laporan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut memandangkan kes itu masih di peringkat awal siasatan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Abu Bakar Muaz ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Guru dinobat juara Pantun 1Malaysia – Utusan Malaysia


Guru dinobat juara Pantun 1Malaysia

Mustami Abdul (tengah ) diapit Zairin Alias (kanan) Md. Mazri Malik bersama hadiah masing-masing di Kuala Lumpur, semalam.


 

KUALA LUMPUR 28 Mac – Seorang guru dari Kuala Kelawang, Negeri Sembilan, Mustami Abdul dinobatkan sebagai juara pertandingan mencipta Pantun 1Malaysia anjuran stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Dengan kejuaraan itu, Mustami berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil dan cenderahati.

Naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh Zairin Alias dari Kampung Air Paabas, Melaka dan Md. Mazri Malik dari Salak Tinggi, Selangor.

Kemenangan itu melayakkan mereka masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan cenderahati.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, pertandingan sejak 1 Mac hingga 31 Mei tahun lalu bertujuan memperjuangkan seni pantun agar ia menjadi amalan yang sentiasa subur dalam masyarakat khususnya di kalangan golongan muda.

“Pertandingan ini juga menjadi landasan terbaik dalam menterjemahkan konsep 1Malaysia secara berpantun,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pantun 1Malaysia di sini hari ini.

Pertandingan pantun 1Malaysia terbuka kepada semua warganegara dalam usaha menghidupkan semula budaya pantun di kalangan masyarakat di negara ini dan ia kali pertama diadakan pada 2009.

Norliza menambah, peserta pertandingan diminta mencipta pantun dengan menggunakan bahasa indah serta rima yang kemas bertemakan Seni Pusaka Bangsa.

Pada majlis berkenaan juga, dilancarkan buku poket himpunan pantun-pantun 1Malaysia hasil penyertaan peserta pada pertandingan 2009 dan 2010.