Pendidikan seks boleh kurangkan gejala sosial remaja: Napsiah – Bernama


Pendidikan seks boleh kurangkan gejala sosial remaja: Napsiah

2011/03/31

ALOR GAJAH: Kajian di negara maju membuktikan pendidikan seks boleh mengurangkan masalah gejala seksual di kalangan remaja, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Napsiah Omar.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan Belanda banyak dicontohi negara lain di mana kurikulum yang mereka bina berfokus kepada penerapan nilai, pembentukan sikap yang positif, kemahiran dalam berkomunikasi dan kemahiran berunding, ilmu dalam aspek biologi reproduktif serta penyertaan ibu bapa.

“Punca utama kehamilan remaja adalah kerana pembabitan remaja dalam melakukan aktiviti seks ketika umur terlalu muda dan kurang pengetahuan dalam perlindungan diri dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor yang menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin.”Malangnya di Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif baru hendak bertapak apabila keadaan telah menjadi semakin serius,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup bengkel latihan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2 di sini, hari ini.

Napsiah berkata, banyak kajian mendapati pendidikan seks yang komprehensif boleh mengurangkan bilangan remaja mengandung, tetapi ada juga pihak tidak setuju dengan cara ini dan beranggapan ia akan menggalakkan lagi aktiviti seksual dari kalangan umur yang lebih awal.

Beliau berkata, remaja perlu bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial yang tepat melalui saluran yang betul daripada profesional dan tidak bergantung kepada rakan dan internet yang besar kemungkinan salah dan boleh membahayakan diri dan masa depan mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata modul PKRS yang akan dilaksanakan pada bulan Mei tahun ini, akan disemak dan diberi penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Semua jurulatih mempunyai pengalaman yang banyak kerana mereka begitu rapat dengan pelatih dan tahu apa yang pelatih mahu dan memastikan ia tidak menimbulkan sensitiviti kepada mesyarakat,” katanya.

Seramai 1,500 orang jurulatih dari kem seluruh negara akan melaksanakan modul ini kepada lebih 70,000 pelatih PLKN.

Modul Kesejahteraan Hidup yang dibangunkan oleh LPPKN mengandungi tujuh komponen iaitu jantina dan gender, kekeluargaan, seksualiti, tangungjawab seksual, menghindari situasi berisiko tinggi, kemahiran teknik penolakan dan hidup tanpa keganasan. – BERNAMA

 

Pendandan rambut dihukum gantung atas tuduhan menculik dan membunuh budak pintar – Berita Harian


Pendandan rambut dihukum gantung atas tuduhan menculik dan membunuh budak pintar

2011/03/31

KUALA LUMPUR: Seorang pendandan rambut dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah TInggi Kuala Lumpur atas tuduhan menculik dan membunuh seorang pelajar pintar, Lai Ying Xin, 16, di Kulai Johor tiga tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan dua rakan remajanya berada di penjara selama diperkenan Sultan Johor atas tuduhan sama.

 


CUEPACS kemuka lima tuntutan baru – Berita Harian


CUEPACS kemuka lima tuntutan baru
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
bhnews@bharian.com.my
2011/03/31

IPOH: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan lima tuntutan baru kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), termasuk penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi.

Tuntutan lain akan dikemukakan dalam pertemuan Majlis Tertinggi CUEPACS dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, di Putrajaya, Isnin ini ialah kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ (tempoh perkhidmatan) kurang 15 tahun dan penjawat awam tidak dipindah atau ditukar ke negeri lain jika menerima kenaikan pangkat dalam gred yang sama.

JPA juga diminta menerima sijil cuti sakit dikeluarkan doktor kepada penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya melalui pembedahan, cuti tanpa rekod ditambah daripada 14 hari kepada 30 hari serta cuti separuh gaji bagi menjaga ahli keluarga yang ditimpa musibah sehingga tiga bulan.CUEPACS juga akan membuat susulan terhadap keputusan kerajaan serta cadangan dikemukakan kongres itu kepada JPA sebelum ini, termasuk cadangan sistem penilaian kompetensi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula Jun ini serta kajian semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) iaitu gaji minum kakitangan awam RM920 sebulan.

Bercakap selepas berdialog dengan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pejabat JPJ Perak di sini, semalam, Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan penghapusan Gred 1 hingga 16 membolehkan penjawat awam berkenaan terus ditempatkan pada Gred 17 dengan gaji RM820 sebulan ketika ini atau RM920 jika cadangan gaji minimum yang dikemukakan pihaknya kepada JPA pada 1 Julai 2007, dipersetujui kerajaan dalam kajian semula SSM.

Katanya, penjawat awam Gred 1 hingga 16 perlu diberikan gaji lebih tinggi bagi membolehkan mereka menyesuaikan dengan peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Omar berkata CUEPACS meminta kerajaan menimbang pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan tahun ini bagi mengimbangi bonus diterima mereka yang berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan tertentu.

 

Sekolah usang: Taib ucap terima kasih – Utusan Malaysia


Sekolah usang: Taib ucap terima kasih

KUCHING 30 Mac – Peruntukan RM73.68 juta untuk sekolah kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini menunjukkan bahawa kerajaan Pusat telah memahami keadaan sekolah di negeri ini secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, sebelum ini agak sukar untuk pegawai pendidikan meyakinkan pihak atasan bahawa terdapat sekolah yang benar-benar usang di negeri ini.

Katanya, ia kerana pihak berkenaan membuat andaian bahawa keadaan usang itu adalah sebagaimana sekolah luar bandar di Semenanjung yang sebenarnya berada dalam keadaan yang sudah cukup baik.

“Banyak sekolah di Sarawak sudah usang kerana kebanyakannya dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan kayu, sebab itu Timbalan Perdana Menteri mahu adakan program menukar keadaan sekolah supaya bertambah baik.

“Saya amat berterima kasih dengan perhatian khas ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin berhubung peruntukan membaik pulih dan menaik taraf bangunan sekolah dengan pecahan RM25.68 juta untuk 130 sekolah mubaligh, RM20 juta untuk 197 SJKC dan RM28 juta untuk 1,266 sekolah kebangsaan.