Diperkosa lepas lima bulan kenal di Internet – Harian Metro


Diperkosa lepas lima bulan kenal di Internet

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PADANG BESAR: Seorang remaja berusia 15 tahun bertindak kejam apabila tergamak merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang juga cucu kepada jirannya di Kampung Titi Tinggi Hilir, dekat sini, Ahad lalu.

Difahamkan, mangsa yang sering pulang ke rumah neneknya itu dan pernah tinggal di situ sebelum berpindah bersama keluarganya ke Pulau Pinang.
Mangsa yang bersekolah dan tinggal di asrama sebuah sekolah vokasional di Kangar, dipercayai berkenalan dengan suspek sejak lebih lima bulan lalu melalui laman sosial Internet.

Gadis terbabit dipercayai diambil suspek dari asrama sekolah menggunakan motosikal sebelum membawanya ke sebuah rumah kosong berdekatan rumah nenek mangsa di kampung berkenaan sebelum dirogol dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.
Suspek yang tinggal di kampung berkenaan juga langsung tidak gentar melakukan perbuatan terkutuk berkenaan sebaliknya dipercayai berkali-kali merogol mangsa sehingga ke petang keesokan harinya.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros berkata, mangsa dirogol di dalam rumah kosong yang terletak berdekatan rumah neneknya, namun tidak disedari warga emas terbabit kerana menyangka cucunya berada di asrama.

“Suspek kemudian menghantar mangsa pulang ke asrama pada petang keesokan harinya dan mengarah mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara berkenaan jika tidak mahu sesuatu berlaku kepadanya.
“Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya terbongkar pada Selasa lalu selepas guru yang juga warden asrama sekolah mangsa mencari pelajar perempuan berkenaan bagi mendapat penjelasan mengenai ketiadaannya di bilik asrama pada malam kejadian,” katanya.

Menurut Che Man, mangsa pada mulanya memberi pelbagai alasan kepada gurunya kerana bimbang dengan tindakan yang mungkin diambil suspek.
“Namun selepas didesak berulang kali oleh gurunya supaya memberitahu perkara sebenar, akhirnya dia memberitahu dirogol lelaki terbabit.
“Mangsa kemudian dibawa gurunya ke Balai Polis Kaki Bukit bagi membuat laporan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Menurutnya, suspek yang bersekolah di Arau, dekat sini, dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu kemudian ditahan polis pada hari sama.
Katanya, mangsa kini masih lagi ditempatkan di wad HTF bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan suspek direman sehingga 1 Mei bermula Rabu lalu,” katanya.

Kurung saksi – Harian Metro


Kurung saksi

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang guru yoga yang pernah menghadapi tuduhan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua saksi kes rogolnya itu, tiga minggu lalu.

Abdul Malik Abdullah, 54, yang memakai baju lokap itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Malik yang bercerai dua kali itu dan mempunyai enam anak didakwa melarikan dan mengurung dua remaja perempuan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dengan niat menghalang dan mempengaruhi mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes rogol tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No G-1-5, Jalan Desa Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves, Gombak pada jam 3.45 petang antara 7 sehingga 12 April 2011.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4, Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 (Akta 191) yang membawa hukuman penjara tidak lebih empat belas tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Dr A Vasu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Roszianayati menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula dan tidak benarkan jaminan terhadap tertuduh.
“Dalam kes ini, kamu dituduh mengganggu dan mengurung saksi pendakwaan, kamu boleh bagi keterangan ketika perbicaraan nanti, oleh itu mahkamah tidak benarkan jaminan,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun ketika itu, di dua lokasi berasingan di Hulu Selangor, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja itu di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira jam 8 malam, pada Februari tahun lalu.
Dia yang ditahan pada 2 Januari lalu turut didakwa merogol mangsa sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara jam 5 petang dan 6 petang pada November tahun sama. Bagi setiap pertuduhan, dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 31 Disember lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru dekat sini mengurung tiga remaja perempuan dan menjadikan mereka hamba seks selama sebulan.
Ketika serbuan di rumah guru yoga itu, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua paket dadah dipercayai syabu.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy dilaporkan berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.
Penahanan lelaki itu berdasarkan laporan keluarga mangsa selepas anak mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru itu pada hujung November tahun lalu.

Hampir pitam lihat tulang kaki – Harian Metro


Hampir pitam lihat tulang kaki

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

DUNGUN: “Saya nak pitam sebaik melihat tulang kaki dan tangan kiri pemandu kereta itu terkeluar daripada dagingnya,” kata Mohd Rizal Yusof, 51, menceritakan detik cemas ketika cuba menyelamatkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Balai Besar-Alur Tempoyak, dekat sini, semalam.

Dia yang tiba sejurus selepas kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, begitu takut untuk mengeluarkan mangsa sebelum menghubungi Hospital Dungun (HD) untuk mendapatkan bantuan.
“Saya tidak berani membantu kerana tidak pernah berhadapan situasi seperti itu dan bimbang berlaku perkara tidak diingini terhadap mangsa yang parah,” katanya.

Katanya, beberapa minit selepas itu, kakitangan dan pegawai perubatan hospital tiba dan membuat balutan di kaki dan tangan mangsa yang parah sebelum dikejarkan ke hospital.
Mohd Rizal berkata, dia dan beberapa penduduk berhampiran cuba mengeluarkan semua mangsa dalam kedua-dua kenderaan terbabit sebelum semua mangsa dihantar ke HD.
Kemalangan dipercayai apabila Perodua Kancil yang dipandu mangsa, Mohd Fauzan Zulkifli, 18, bersama tiga rakannya, Afiq Izudin Banudin, 17, Saidatul Nurhidayah Azmi, 14, dan Mohd Shazmie Zahari, 18, memasuki laluan kanan jalan lalu bertembung kereta Proton Saga yang dinaiki sebuah keluarga.

Kemalangan itu menyebabkan Proton Saga dipandu Roslina Abd Rahman, 30-an berpusing ke kaki lima jalan sebelum dilanggar sebuah kereta BMW yang berada di belakang kereta Roslina.
Ketika kejadian, Roslina bersama ibunya, Wan Kamariah Wan Nik, 60, serta empat anaknya, Luqman Daniel Fakrurazi, 9, Luqman Hakim, 6, Ainun Mardiah, 5, dan Nur Syamimi Balqis, 3 bulan, yang berasal dari Pasir Panjang, Kuala Terengganu, dalam perjalanan ke rumah abangnya tidak jauh dari tempat kejadian.

Mohd Fauzan bersama rakannya dalam perjalanan dari Kemaman untuk pulang ke kampung mereka di Binjal Stesen, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
Katanya, selain pemandu Perodua Kancil yang parah, semua mangsa lain mengalami kecederaan dalaman dan ringan serta mendapat rawatan di HD, manakala pemandu BMW tidak cedera.

Guna susu segar ganti susu UHT – Berita Harian


Guna susu segar ganti susu UHT

2011/04/30

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggunakan susu segar menggantikan susu UHT untuk dibekalkan dalam program susu sekolah, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin.

Beliau berkata, susu segar mempunyai khasiat tinggi berbanding UHT dan ia lebih sesuai diberikan kepada pelajar.

“Di negara maju, program susu sekolah menggunakan susu segar tempatan kerana khasiat lebih tinggi selain membantu industri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Susu UHT adalah susu tepung yang dibancuh dan dimasak melalui proses UHT menggunakan suhu tinggi.

Program susu 1Malaysia diperkenalkan sebelum ini di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan murid mendapat sumber protein mencukupi untuk pembelajaran selain memiliki tubuh sihat dan cergas.

Dr Abd Aziz berkata, semua susu dari ladang akan diwajibkan dipasteur bagi memastikan tidak berlaku pencemaran yang boleh membahayakan pengguna dan arahan berkenaan sudah dikeluarkan kepada Pengarah JPV negeri dan akan dipantau Bahagian Pembangunan Tenusu.

60 sekolah bakal terima manfaat – Berita Harian


60 sekolah bakal terima manfaat

2011/04/30

EDDIE  (dua dari kanan) bersama Muhd Yusuf  (kanan) menerima tajaan  Faye Yong (tiga dari kanan) di Balai Berita, semalam.

EDDIE (dua dari kanan) bersama Muhd Yusuf (kanan) menerima tajaan Faye Yong (tiga dari kanan) di Balai Berita, semalam.

KUALA LUMPUR: Enam puluh sekolah menengah di seluruh negara bakal mendapat manfaat Program School Smash yang akan bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, Semenyih, Selasa ini, berakhir Julai depan.

Program itu yang bertujuan memperkenalkan sisipan pendidikan terbitan akhbar Berita Harian dan New Straits Times (NST) seperti Minda Pelajar, Skor dan Niexter, mendapat sokongan SCA Hygiene Marketing (M) Sdn Bhd sebagai penaja utama.

Majlis penyerahan tajaan disempurnakan Pengurus Pemasaran SCA Hygiene, Faye Yong yang menyerahkan momento tajaan kepada Pengarah Jabatan Pengedaran NSTP (M) Bhd, Eddie H’ng Seng Poh yang turut disaksikan Pengarang Pendidikan, Muhd Yusuf Abu Bakar di Balai Berita di sini, semalam.

Sepanjang Program School Smash, SCA Hygiene melalui produknya Libresse dan Schwan-Stabilo Marketing akan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dirancang termasuk bengkel mini Akhbar Dalam Darjah (ADD) dan bengkel kewartawanan yang dianjurkan.

Pelajar juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui peraduan yang disiarkan dalam sisipan pendidikan.

Kali ketiga guru yoga ke mahkamah – Berita Harian


Kali ketiga guru yoga ke mahkamah 
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2011/04/30

Dituduh kurung 2 saksi, mangsa kes rogol

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga yang juga bapa enam anak dengan dua bekas isteri semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua remaja perempuan bawah umur yang juga saksi kes rogol membabitkannya di sebuah rumah di Taman Desa Batu Caves, antara 7 hingga 12 April lalu.

Ini kali ketiga lelaki itu dihadapkan ke mahkamah selepas tiga bulan lalu, didakwa merogol seorang daripada remaja terbabit dan sebelum itu turut dihadapkan ke mahkamah berasingan atas tuduhan memiliki syabu.

Bagi kes terbaru, Abdul Malik Abdullah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama melarikan dan mengurung seorang pelajar berusia 17 tahun dengan niat untuk menghalang perjalanan satu kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Lelaki itu juga dituduh melarikan dan cuba mempengaruhi mangsa yang juga saksi mahkamah di sebuah rumah di Taman Desa Batu Caves pada jam 3.45 pagi antara 7 dan 12 April lalu.

Tertuduh menjadi guru yoga sejak 1990 juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan kedua melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pelajar berusia 15 tahun di tempat dan hari yang sama.

Bagi setiap tuduhan itu, Abdul Malik dari Taman Sri Gombak, Batu Caves didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 21 Januari lalu, Abdul Malik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun yang juga murid kelas yoganya dalam kejadian antara Februari dan November 2010.

Lelaki itu dituduh merogol mangsa di sebuah rumah di Jalan Dato’ Harun, Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor pada jam 8 malam, Februari 2010.
Dia juga dituduh merogol mangsa sama di Jalan Kolam Air, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor antara jam 5 dan 6 petang, November 2010.

Pasangan guru dicekup khalwat – Harian Metro


Pasangan guru dicekup khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: Tindakannya melarikan diri dari rumah semata-mata untuk tinggal serumah dengan teman lelakinya, menyebabkan guru wanita dicekup kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya yang juga guru di rumah sewa di Kampung Telok Malek, dekat sini, malam kelmarin.

Guru wanita berusia 34 tahun itu dikatakan masih isteri orang dan mempunyai anak perempuan berusia 13 tahun, tetapi didakwa menjalinkan hubungan dengan pasangannya berusia 30-an sejak tiga tahun lalu.

Sumber berkata, pasangan berkenaan dicekup kira-kira jam 10.45 malam oleh sepasukan anggota Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) selepas menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di rumah sewa guru wanita itu.

Beliau berkata, wanita itu dikatakan merajuk selepas bergaduh dengan suaminya berusia 39 tahun lalu meninggalkan rumah dan menyewa rumah lain di Taman Siswa, dekat sini, sejak tiga tahun lalu.

“Anak tunggal pasangan itu dijaga suaminya dan wanita terbabit menyewa bersendirian dipercayai untuk memudahkan dia berjumpa dengan kekasihnya itu.

Remaja cuba rempuh polis trafik dikejar 10km – Harian Metro


Remaja cuba rempuh polis trafik dikejar 10km

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang remaja berusia 20 tahun yang cuba merempuh anggota polis trafik ditahan selepas dikejar lebih 10 kilometer dalam operasi di Jalan Raja Laut, malam kelmarin.

Dalam operasi selama dua jam yang bermula jam 10.30 malam, remaja terbabit yang bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu negara cuba melarikan diri dari sekatan polis kerana tidak mempunyai lesen dan menunggang motosikal cukai jalan tamat tempoh.
Ketua Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) Trafik Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid, berkata remaja terbabit yang ketakutan cuba meloloskan diri dengan memandu dalam keadaan berbahaya hingga hampir merempuh anggota trafik.

“Kami membawa remaja terbabit ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas operasi di sini, semalam.
Azmi berkata, operasi itu diadakan bagi memastikan pengguna jalan raya memandu secara berhemah.

Pemuda biadab naik angin – Harian Metro


Pemuda biadab naik angin

Oleh Hamzah Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

LANGKAWI: Seorang lelaki bukan saja biadab, malah bertindak kejam apabila memukul seorang daripada sekumpulan remaja lelaki sehingga cedera di kepala dan luka pada pipi kiri selepas ditegur kerana membuang air kecil berdekatan meja makan mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi semalam, di sebuah restoran berhampiran pusat hiburan di Pusat Dagangan Kelana Mas, dekat sini, kumpulan enam remaja terbabit dikatakan sedang makan sebelum seorang lelaki berusia 30-an muncul lalu membuka zip seluarnya.
Mangsa, Mohd Redzuan Abd Rahman, 21, dari Kampung Gelam, Mukim Kedawang, di sini, berkata, ketika sedang makan, lelaki berkenaan muncul lalu membuang air kecil berhampiran tempat mereka duduk menyebabkan seorang rakannya menegur perbuatan tidak bermoral itu.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki terbabit tiba-tiba melenting dan naik angin dengan teguran berkenaan lalu menghampiri meja mereka sambil menghamburkan kata-kata kesat.
“Sejurus kemudian lelaki terbabit yang masih tidak berpuas hati kerana ditegur cuba bertindak lebih ganas dengan menyepak badan dan menumbuk muka saya sambil dibantu rakan lelaki itu.
“Sebaik terkena hentakan objek keras, kepala saya berdarah dan hilang tenaga sambil hanya mampu berserah dengan apa yang akan berlaku, tetapi bernasib baik kerana ada rakan yang membantu.

“Saya hampir rebah selepas dipukul kumpulan lelaki terbabit, tetapi bernasib baik kerana tidak cedera parah,” katanya ketika ditemui, di sini.
Menurutnya, berikutan itu dia dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Langkawi bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, berdasarkan perbualan kumpulan lelaki terbabit, dia yakin mereka bukan penduduk tempatan dan dilihat bergegas meninggalkan tempat kejadian menggunakan sebuah van dan kereta.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Langkawi, Asisten Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan kejadian dan masih menjalankan siasatan lanjut.
“Kes ini lebih kepada perselisihan faham antara dua kumpulan dan polis masih menyiasat untuk mengenal motif sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Tiga diburu perkosa gadis bergilir-gilir – Harian Metro


Tiga diburu perkosa gadis bergilir-gilir

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEGAMAT: Seorang gadis sunti berumur 14 tahun yang ketakutan terpaksa membiarkan tubuhnya diratah tiga lelaki termasuk rakan karib abang iparnya sendiri di sebuah rumah di Kampung Kadut di sini.

Dalam kejadian antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam pada 16 April lalu, suspek dipaksa membuka pakaian sebelum dirogol di ruang tamu rumah seorang daripada suspek.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, mangsa pada mulanya setuju mengikut seorang daripada suspek yang juga rakan baik abang iparnya.

“Suspek pertama memaklumkan kepada mangsa bahawa adik kandung lelaki berkenaan mahu bertemunya.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa setuju dibawa ke rumah berkenaan dan setiba di sana, dua lagi rakan suspek pertama sudah sedia menunggu mereka,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, semalam.
Menurut Majid, ahli keluarga suspek tiada di rumah ketika kejadian dan mangsa dipaksa membuka pakaian sebelum ketiga-tiga lelaki terbabit bergilir-gilir merogolnya.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar pulang dan dia diugut supaya merahsiakan kejadian itu dan gadis itu yang sudah tidak bersekolah hanya membuat laporan polis pada 24 April lalu.
“Polis berusaha mengesan suspek tetapi ketiga-tiga lelaki berkenaan gagal ditemui, dipercayai sudah melarikan diri ke luar daerah,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan, suspek pertama dikenali sebagai Mohd Haziq Sulaiman, 20, nombor kad pengenalan 910131-01-5863 dengan alamat terakhir di Nombor 3, Jalan Jaya 3, Taman Sri Jaya, Pekan Jabi, Segamat.
Suspek kedua Mohd Rozali Zaliza, 20, memegang kad pengenalan 911122-10-5749 dan alamat terakhirnya di Nombor 82, Kampung Kadut, Simpang Jabi, Segamat.
Suspek ketiga Mohd Hanis Mohd Yasin, berumur 20 tahun dan beralamat terakhir di 3560 A, Jalan Kuari, Tahang Rimau, Segamat.
Maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Hazaitul Akma Mohd Hanapiah di talian 07-9312222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan kerana merogol, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun serta sebatan.