18 sekolah di Perlis masih ditutup akibat banjir – Berita Harian


18 sekolah di Perlis masih ditutup akibat banjir

2011/04/01

KANGAR: Lapan belas sekolah di Perlis masih ditutup akibat dilanda banjir sejak Selasa, termasuk empat yang ditutup kerana menjadi pusat pemindahan banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Zahri Aziz, berkata Jabatan Pelajaran Perlis diarah membuat anggarkan kerugian akibat banjir itu.

“Saya percaya jumlah kerugian tidak besar kerana pihak pengurusan sekolah lebih bersedia menghadapi banjir kali ini dengan menyelamatkan harta benda sekolah lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan di sini hari ini.Empat belas sekolah yang ditutup akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Melangit, SK Seri Indera, SK Putra, SK Abi, SK Titi Tok Bandar, SK Seri Perlis, SK Stella Maris, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, SMK Derma, SMK Putra, SMK Perlis, Sekolah Menengah Vokasional Kangar dan Sekolah Menengah Agama Perempuan Kangar.

Empat sekolah yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir pula ialah SK Sena, SK Panggau, SK Behor Empiang dan SMK Dato Ali Ahmad.

Beliau berkata, penutupan kesemua sekolah itu membabitkan lebih 4,500 pelajar, 487 guru, dan 137 kakitangan bukan akademik. – BERNAMA

Lebihan guru Sains, Matematik – Berita Harian


Lebihan guru Sains, Matematik
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/04/01

Cikgu kena ajar subjek lain patut diarah didik murid luar bandar

TANJUNG MALIM: Seramai 26,000 guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Menurut sumber, lambakan serius membabitkan 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik itu menyebabkan mereka yang diarah mengajar opsyen lain tidak dapat menjayakan tugas dengan penuh semangat.“Ada antara mereka hilang motivasi diri dan begitu emosi untuk meneruskan kerjaya murni itu. Guru terbabit mengakui, pada peringkat awal bersemangat mendidik pelajar untuk lulus cemerlang Sains dan Matematik. Namun, selepas lima tahun mengajar subjek lain, mereka lemah semangat dan terpaksa melupakan cita-cita untuk bergelar guru Sains dan Matematik berwibawa,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kementerian perlu memanfaatkan lebihan guru itu untuk memperkasakan subjek Sains dan Matematik kepada pelajar luar bandar dan pedalaman dengan menghantar mereka ke sana.

Katanya, ia sejajar Dasar 60:40 2010 iaitu 60 peratus pelajar aliran Sains dan 40 peratus Sastera pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata, subjek Sains dan Matematik penting untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020 kerana ia adalah pemangkin kepada pembangunan sains dan teknologi.
“Kerajaan wajar mengoptimumkan lebihan itu supaya jurang pendidikan pelajar bandar dengan luar bandar dirapatkan. Saya terkejut kerana andaian umum selama ini menyatakan kedua-dua opsyen berkenaan menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar,” katanya.

Seorang pelajar Pendidikan Matematik Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohd Rafiz Raymond, 20, berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai lebihan guru bagi subjek berkenaan.

“Saya terkejut dengan perkembangan itu kerana selama ini kami mendapat maklumat subjek Sains dan Matematik adalah mata pelajaran kritikal yang memerlukan lebih tenaga pengajar,” katanya.

Pelajar Pendidikan Perakaunan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Raindy Andurah, 19, pula berkata beliau memilih matematik sebagai kursus pilihan kerana sepanjang pengetahuannya subjek itu memerlukan lebih ramai guru.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Zakaria Kasa, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai lebihan guru untuk dua subjek berkenaan.

Sehubungan itu, katanya UPSI sudah meminta pelajar jurusan itu bertukar opsyen antaranya kepada Sejarah atau Kemahiran Hidup yang memerlukan lebih ramai tenaga pengajar.

“Mungkin pada masa depan mata pelajaran Kemahiran Hidup dipertingkatkan sukatannya dan mempunyai pendidikan reka bentuk kontemporari,” katanya.

 

Penculik dihukum digantung – Utusan Malaysia


Penculik dihukum digantung

KUALA LUMPUR 31 Mac – Seorang pelajar cemerlang bukan sahaja diculik, malah dibunuh dan dibakar sebelum abu mayatnya dibuang di satu kawasan terpencil di Johor, tiga tahun lalu.

Begitu nasib malang yang menimpa Lai Ying Xin dalam usia 15 tahun dan lebih memeritkan lagi apabila perbuatan tersebut bukan dilakukan oleh orang yang tidak dikenalinya, tetapi oleh tiga rakan sekolah mangsa sendiri.

Namun, ketiga-tiga lelaki itu menerima pembalasan hari ini apabila Mahkamah Tinggi di sini mendapati mereka bersalah atas tuduhan menculik dan membunuh Ying Xin.

Seorang daripada mereka, Teh Kim Hong, 25, dihukum gantung sampai mati. Bagaimanapun, dua tertuduh lain, masing-masing berusia 17 tahun dan 16 tahun pada waktu kejadian dihukum penjara selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Johor.

Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut.

Kim Hong yang merupakan seorang pendandan rambut dan dua rakannya didakwa bersama-sama membunuh Ying Xin di Lot 2841, Jalan Alor Bukit Kulai, Kulai Jaya, Johor di antara pukul 9.45 malam, 11 September 2008 dan 12 tengah malam keesokan harinya.

Mereka turut didakwa menculik mangsa bagi mendapatkan wang tebusan RM60,000 di hadapan Hypermarket, Jalan Kulai-Air Hitam, Kulai Jaya, Johor pada pukul 9.45 malam, 11 September 2008.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 3 Akta Culik 1961 bagi kesalahan menculik, masing-masing memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Negeri Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.

Kim Hong diwakili peguam Norman Fernandez, manakala tertuduh kedua dan ketiga diwakili peguam Sukhaimi Mashud.

Sebanyak 39 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2009.