Lambakan babit guru belum terima penempatan – Berita Harian


Lambakan babit guru belum terima penempatan

2011/04/02

KUALA LUMPUR: Lambakan 26,000 guru opsyen Sains dan Matematik di seluruh negara bukan membabitkan guru yang sedang berkhidmat, sebaliknya pendidik yang belum memperoleh penempatan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, ramai graduan opsyen subjek itu di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta belum memperoleh penempatan berikutan lebihan penawaran guru di seluruh negara.

“Kita sukar menempatkan mereka kerana pengambilan guru mengikut unjuran diputuskan Jawatankuasa Bersama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Kita mengguna pakai unjuran itu untuk penempatan graduan mengikut keperluan semasa sesebuah sekolah,” katanya di sini, semalam.Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai 14,000 guru subjek Sains dan 12,000 guru Matematik terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara, sekali gus gagal menjayakan tugas dengan penuh semangat.

Mohd Puad turut mendedahkan ada graduan dalam opsyen Sains dan Matematik menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana sukar memperoleh penempatan termasuk ada yang menunggu sehingga setahun, tetapi kementerian sukar mempertimbangkan permohonan mereka kerana dibimbangi menyumbang lambakan guru untuk dua subjek berkenaan.

“Guru Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kelolaan kementerian, tiada masalah penempatan kerana pengambilan pelajar berasaskan unjuran kekosongan jawatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Mohmad Yazam, berkata dakwaan lebihan guru program Matematik dan Sains dalam sektor pendidikan tidak harus mencetuskan kebimbangan bagi pelajar IPT awam itu.

 

 

Pelawak cabul pelajar diburu – Harian Metro


Pelawak cabul pelajar diburu

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Siti Na’imah Mohamed
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang pelawak berusia 63 tahun yang popular sejak era 70-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa dicabul lebih tiga kali lelaki itu.

Lebih keji, pelawak otai yang lebih memberi tumpuan dalam bidang pengarahan itu dikatakan menyogok sejumlah wang kepada pelajar berusia 13 tahun itu dengan harapan mangsa patuh kepada arahan, selain tidak membongkar kejadian itu kepada ahli keluarga serta orang ramai termasuk ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.
Difahamkan, pelajar malang itu dicabul lebih tiga kali sejak Disember 2010 hingga pertengahan Mac lalu, di dua kediaman berasingan milik ibu saudara mangsa di Kepong dan Klang, selain beberapa kali di luar kediaman berkenaan apabila mereka bertemu.

 

Akibat tidak tahan dengan perbuatan keji itu, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Jinjang, kira-kira jam 10 pagi semalam.
Sumber polis berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 11 malam Disember tahun lalu di sebuah rumah di kondominium di Kepong apabila mangsa dicabul di kediaman ibu saudaranya itu.
Beliau berkata, ketika kejadian suspek berkunjung ke rumah berkenaan kononnya melawat ibu saudara mangsa yang juga rakan baiknya.

 

 

“Bagaimanapun, selepas berbual lebih 30 minit, ibu saudara mangsa mendakwa letih dan mahu tidur sebelum mengarahkan suspek berehat dalam bilik tetamu jika tidak mahu pulang.
“Suspek bersetuju sebelum masuk ke bilik berkenaan. Lima minit kemudian suspek keluar semula sebelum memanggil mangsa masuk ke dalam bilik berkenaan dan meminta mangsa mengurut badannya,” katanya.

Mangsa pada mulanya menolak, namun bersetuju berbuat demikian selepas dipujuk suspek.
“Sebaik masuk ke dalam bilik itu, suspek dikatakan mencium mulut dan pipi mangsa serta memegang bahagian sulit mangsa.
“Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa berlari keluar dari bilik. Bimbang mangsa mengadu kepada ibu saudaranya, suspek memohon maaf, selain berjanji tidak akan mengulanginya.
“Termakan pujukan suspek, mangsa bersetuju merahsiakan perbuatan itu. Malah, suspek dikatakan menyogok RM100 kepada mangsa sebelum berpura-pura insaf dengan keterlanjurannya itu,” katanya.
Sumber berkata, kejadian terbaru berlaku pertengahan Mac lalu kira-kira jam 5.30 petang di sebuah lagi rumah ibu saudara mangsa di Klang.
“Kejadian berlaku dalam tandas di rumah berkenaan apabila suspek meluru masuk sebelum mencabul mangsa yang ketika itu ingin membuang air. Kali ini, bertindak lebih ganas ketika memegang bahagian sulit dan payudara mangsa,” katanya.
Difahamkan, suspek sekali lagi memberikan wang RM100 kepada mangsa untuk menutup mulut.
Biarpun mangsa enggan menerima wang berkenaan, suspek dikatakan meletakkan wang itu di atas meja sebelum meninggalkan rumah berkenaan.
Sumber berkata, disebabkan mangsa masih mendiamkan diri selepas insiden itu, dia dikatakan dicabul lagi suspek setiap kali bertemu ataupun apabila suspek berkunjung ke kediaman ibu saudaranya itu.
Tidak tahan dengan perbuatan itu, mangsa memberitahu ibu saudaranya sebelum mereka tampil membuat laporan di balai polis.
Katanya, sehingga kini, suspek masih belum ditahan, namun usaha memburunya giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.