Kerajaan lulus RM1.5 juta baiki SMA Nahdatul Hasanah: Mukhriz – Berita Harian


Kerajaan lulus RM1.5 juta baiki SMA Nahdatul Hasanah: Mukhriz

2011/04/03

JITRA: Sekolah Menengah Agama Nahdatul Hasanah di sini menerima khabar baik hari ini apabila diperuntukkan RM1.5 juta untuk membaik pulih bangunannya yang semakin uzur.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkata peruntukan itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai memenuhi janji semasa pilihan raya umum lalu.

“Pada waktu itu, bekas PM (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengunjungi sekolah tersebut dan meluluskan permohonan pihak sekolah untuk membaik pulih bangunan yang uzur.”Seingat saya pada waktu itu beliau menyatakan peruntukan sebanyak RM1 juta tetapi yang diluluskan oleh PM sekarang ialah RM1.5 juta. Ini mungkin apabila dilihat keperluan sekolah beliau merasakan bahawa perbelanjaanya akan mencecah RM1.5 juta,” katanya kepada pemberita di sini.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, sehingga kini sekolah itu telah mendidik lebih 10,000 pelajar dan ramai daripada mereka adalah tokoh masyarakat.

Mukhriz juga meminta pihak sekolah itu memohon terus kepadanya jika ada sebarang keperluan lain.

“Sekolah ini juga telah memohon beberapa unit komputer untuk kegunaan pelajar-pelajar dan kita bernasib baik kerana syarikat Mutiara Smart Computing Sdn Bhd iaitu anak syarikat kepada MIMOS telah bersetuju menyumbang 10 komputer.
“Selain itu sebuah syarikat lagi telah menyumbang perisian ‘My Ilmu’ yang saya fikir menepati keperluan pelajar dan ini juga akan meringankan beban sekolah, dalam masa sama dapat beri peluang kepada pelajar di sini menggunakan teknologi canggih,” katanya. – BERNAMA

 

Murid kena pukul meninggal, penyelia asrama ditahan – Berita Harian


Murid kena pukul meninggal, penyelia asrama ditahan

2011/04/03

ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis, sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada 8.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini.Dalam kejadian 7 malam itu, seorang guru lelaki berumur 26 tahun dikatakan memukul murid terbabit selama hampir dua jam sehingga pengsan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya, berkata suspek yang juga penyelia asrama sekolah berkenaan ditahan pada jam 10 malam tadi.

“Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada jam 1.40 pagi kelmarin.
“Saya dapat panggilan daripada seorang ustaz. Dia tanya sama ada Saiful ada penyakit tarik (sawan). Saya kata tak ada. Lepas itu dia kata dia nak datang ambil saya ke hospital sebab Saiful masuk hospital dan kena pindah ke hospital di Alor Setar,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah.

Hazirah berkata, dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya.

“Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup.

“Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami,” katanya.

Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun.

“Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu,” katanya.

Saiful Sopfidee berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada jam 8 pagi kelmarin.

Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang kelmarin. – BERNAMA

 

363 pelajar cemerlang SPM dapat biasiswa – Berita Harian


363 pelajar cemerlang SPM dapat biasiswa

2011/04/03

ALOR SETAR: Seramai 363 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan A penuh (A+) dalam semua mata pelajaran bakal memperoleh biasiswa daripada kerajaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, beliau yakin mereka yang tidak berpeluang untuk mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam akan diberikan biasiswa lain seperti biasiswa 1Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak tahun lalu.

“Selain itu mereka juga berpeluang dapat biasiswa daripada agensi lain seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bank Negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultanah Asma, di sini hari ini.Pada majlis sama, Mohd Puad turut menyampaikan bantuan wang ehsan RM22,600 kepada 113 pelajar berkenaan yang terbabit dengan bencana banjir November tahun lalu.

Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah mula mengagih bantuan RM6.4 juta kepada pelajar dan sekolah yang terjejas akibat banjir besar di Kedah baru-baru ini.

“RM2.4 juta wang ehsan diberikan kepada 10,329 pelajar terbabit banjir di Kedah, iaitu RM200 setiap seorang; dan RM4 juta lagi diberikan kepada sekolah yang pelbagai peralatan dan bangunannya rosak akibat banjir, agar ia dapat dibaik pulih, demi keselesaan pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata, bantuan itu diserahkan kepada Jabatan Pelajaran (JPN) Kedah untuk diagihkan secepat mungkin kepada pelajar dan sekolah terbabit. – BERNAMA

 

Nota akhir Fadil sebelum hilang – Harian Metro


Nota akhir Fadil sebelum hilang

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TANJUNG MALIM: “Mak, Fadil lari bukan nak susahkan mak tapi Fadil nak cari kehidupan baru, Fadil tak nak sekolah, mak jangan risau, Fadil selamat nanti,” itu nota terakhir ditinggalkan Muhammad Fadil Darumin, 15, kepada ibunya, Fauziah Yusof, 48, sebelum menghilangkan diri sejak sembilan hari lalu.

Muhammad Fadil yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Methodist dipercayai melarikan diri dari rumahnya di Kampung Berop, di sini.
Fauziah berkata, kali terakhir dia berbual dengan anaknya pada malam Jumaat (25 Mac) lalu dan menasihatkannya supaya belajar bersungguh-sungguh.

 

Beliau berkata, dia dan suami, Darumin Mohd Salleh, 46, juga mencadangkan kepada Muhammad Fadil supaya menyambung belajar di sekolah agama selepas menerima aduan anaknya sering ponteng sekolah.
“Saya dan suami menegur sikapnya demi masa depannya, namun kami terkejut selepas mendapati dia tiada di dalam bilik pada pagi esoknya.
“Saya sempat menemui nota berkenaan dan hati saya luluh selepas membacanya kerana tidak menyangka Muhammad Fadil terguris dengan nasihat yang kami berikan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

 

Katanya, dia cuba menghubungi saudara mara terdekat namun tetap gagal menemui Muhammad Fadil.
Fauziah berkata, menurut rakan anaknya, Muhammad Fadil sempat menyuruh seorang rakan sekolahnya menghantarnya ke stesen kereta api Tanjung Malim, dipercayai mahu menuju ke Kuala Lumpur.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Malim pada 27 Mac lalu selepas usaha menjejakinya menemui jalan buntu.
“Saya merayu kepadanya supaya pulang segera kerana kami sekeluarga bimbang keselamatannya,” katanya.
Sementara itu, Darumin berkata, Muhammad Fadil adalah anak bongsu empat beradik dan mempunyai bentuk badan gempal, berkulit cerah dan ketinggian 150 sentimeter.
“Saya berharap Muhammad Fadil pulang segera ke pangkuan kami keluarga. Isteri saya sering sakit sejak seminggu lalu kerana teringatkan Muhammad Fadil,” katanya.
Sesiapa yang ada maklumat mengenai remaja lelaki berkenaan boleh menghubungi Darumin di talian 0178473011, 0172294185 atau 0172373753 atau menghubungi balai polis berdekatan.

 

 

Pelajar dipukul hampir dua jam – Harian Metro


Pelajar dipukul hampir dua jam

Laporan dan foto SHAMSUL MUNIR SAFINI
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
  PARAH... keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.
PARAH… keadaan Saiful Syazani yang parah akibat dipukul gurunya, Khamis lalu.

ARAU: Guru syaitan! Demikian gelaran yang patut diberi kepada seorang guru lelaki sebuah sekolah agama, di sini, yang sanggup membelasah seorang murid lelaki berusia tujuh tahun sehingga koma, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, guru berusia 26 tahun itu juga dikatakan bertindak kejam apabila mengikat tangan mangsa, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di tingkap asrama sekolah berkenaan sebelum membelasahnya.

Difahamkan, guru terbabit tidak mengendahkan walaupun mangsa merayu dan menangis supaya perbuatan itu dihentikan.

Sumber polis berkata, mangsa yang diikat dan dipukul hampir dua jam itu bagaimanapun pengsan selepas mengalami kecederaan dalaman di kepala dan badan akibat dipukul bertubi-tubi oleh guru terbabit.

 
Katanya, guru terbabit berang dengan mangsa yang enggan mengaku terbabit dalam beberapa kejadian kecurian di asrama sekolah berkenaan sebelum itu.

Difahamkan, sebelum itu mangsa pernah dua kali dipukul suspek akibat enggan mengaku mencuri barangan milik pelajar lain di asrama sekolah.

“Selepas mangsa pengsan, guru terbabit panik dan memanggil guru lain sebelum membawa mangsa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin,” katanya.

Bagaimanapun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kira-kira jam 3 pagi kelmarin dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 8 malam kelmarin melalui ibunya ketika anak tunggalnya dipindahkan ke HSB.

“Saya bergegas ke HSB dan sebak melihat keadaan anak saya kini terlantar koma dengan mukanya bengkak selain lebam di mata dan pipi kiri.

“Malah, ada kesan melecet di tangannya kesan akibat diikat dan kini terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di HSB, Alor Setar, semalam.

Saiful Sopfidee yang juga pemandu pelancong di Jitra berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya terbabit dalam kecurian kerana dia bukan nakal dan lebih banyak mendiamkan diri.

Katanya, anaknya tinggal bersama keluarga angkatnya di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006 dan kali terakhir dia berjumpa Saiful Syazani setahun lalu.

“Muka anak saya betul-betul seiras arwah isteri saya. Doktor kini memaklumkan keadaan anak saya semakin kritikal,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, malam kelmarin.

Katanya, dia mahu individu yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal dengan apa dilakukan terhadap anaknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dipukul kerana disyaki sering mencuri duit seorang pelajar sebelum aktivitinya dilaporkan kepada seorang warden di situ yang juga suspek utama kes ini.

“Suspek yang juga guru sekolah itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, petang kelmarin,” katanya.

Mohd Nadzri berkata, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis kini menyiasat secara menyeluruh mengenai motif dan punca kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

 

Badul nafi cabul pelajar – Berita Harian


Badul nafi cabul pelajar

2011/04/03

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal, AR Badul, 62, nafi terbabit kes mencabul pelajar berusia 13 tahun, tetapi menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

“Sukar untuk saya keluarkan sebarang komen atau kenyataan buat masa ini, namun apa yang dapat saya maklumkan apa yang didakwa oleh mangsa terhadap saya adalah dakwaan yang songsang,” katanya yang mengaku mengenali pelajar terbabit.

Ketika dihubungi Berita Minggu semalam, Badul berkata, dia akan bertemu seorang pegawai Bahagian Serangan Jenayah Seksual dan Penderaan (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Selasa ini untuk membantu siasatan kes berkenaan.Laporan sebuah akhbar semalam menyebut pelawak popular berusia 60-an diburu polis selepas seorang pelajar perempuan membuat laporan mendakwa sering dicabul lelaki itu dan bagi menutup perbuatan kejinya, pelawak berkenaan menyogok sejumlah wang.

Badul yang selesai mengarahkan filem Hello turut mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang dipercayai menyamar sebagai polis memintanya hadir ke IPKKL, petang kelmarin.

“Semalam (kelmarin) ketika menjalani penggambaran di Pulau Indah, Klang, ada lelaki menghubungi dan mengarahkan saya dengan kasar serta memaki-hamun meminta saya ke IPKKL. Apabila saya ke IPKKL jam 4 pagi kelmarin, petugas di pintu masuk mendakwa tiada siapa mengarahkan saya hadir,” dakwanya.

Badul yakin orang yang menghubunginya mempunyai kaitan dengan mangsa dan menyamar sebagai polis.

Anak yatim koma dibelasah guru – Berita Harian


Anak yatim koma dibelasah guru
Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/04/03

ARAU: Seorang murid sekolah agama di sini yang juga anak yatim dipercayai dibelasah seorang guru tanpa belas kasihan dalam keadaan dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga mangsa koma dalam kejadian tiga hari lalu.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, diperlakukan guru lelaki berusia 26 tahun yang juga warden asrama sekolah agama itu selepas dituduh terbabit dalam beberapa kes kecurian wang.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7 malam Khamis lalu selepas mangsa dibawa guru berkenaan ke bilik sebelum dua tangannya diikat dan disoal siasat berhubung insiden kecurian.Mangsa dikatakan merayu dilepaskan tetapi tidak diendah dengan guru terbabit didakwa terus memukul dan menyoal siasat sehingga kanak-kanak itu diserang sawan dan terus pengsan.

Guru itu yang panik kemudian mendapatkan bantuan rakan setugasnya sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kira-kira jam 1.40 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi, berkata Saiful Syazani yang tidak sedarkan diri akibat masalah jantung dan pendarahan otak kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pediatrik.

“Sebaik menerima laporan bapa mangsa, polis menggerakkan usaha memburu suspek sebelum lelaki itu menyerah diri di Balai Polis Arau, petang semalam (kelmarin) dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya.
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 8 malam kelmarin, dia bergegas ke HSB dan terkejut melihat tubuh anaknya penuh kesan lebam dengan muka bengkak dan lebam pada mata kiri serta pipi selain melecet pada tangan kiri.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan mahu mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Jitra.

Katanya, Saiful Syazani yang tinggal bersama keluarga angkat di Kangar sejak kematian ibunya, Jahiyah Che Amat pada 2006, seorang yang pendiam.

 

Sekolah tak boleh sisih pelajar kurang cemerlang – Berita Harian


Sekolah tak boleh sisih pelajar kurang cemerlang

2011/04/03

BATU PAHAT: Ibu bapa dan guru tidak seharusnya mengutamakan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran saja tetapi sepatutnya turut menitikberatkan mereka kurang berjaya dalam peperiksaan.

Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar, berkata biarpun pelajar itu tidak cemerlang, mereka sebaliknya berkemungkinan memiliki bakat serta kebolehan lain yang berpotensi untuk dibangunkan dalam kehidupan, termasuk meraih kejayaan.

“Biarkan pelajar ini menunjukkan bakat atau kemampuan mereka dalam bidang lain. Mereka masih boleh berjaya walaupun bukan pelajar terbaik di sekolah,” katanya pada mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Semerah dan majlis penyampaian hadiah di sini, semalam.Hadir sama, Pengetua SMK Semerah, Adam Abu dan Presiden PIBG, Datuk Masri Sariani.

Johan yang juga bekas pelajar sekolah itu turut mengingatkan remaja, khususnya pelajar mengenai kepentingan menguasai bahasa Inggeris dan pasti berdepan kesukaran jika gagal menguasai bahasa berkenaan.

Pada majlis itu, Johan turut menyaksikan penyampaian akhbar The New Straits Times (NST) oleh Masri kepada sekolah itu di bawah Program Penajaan Sekolah.

Beliau sendiri menaja 50 naskhah akhbar itu yang turut diselitkan dengan sisipan Didik dan Minda akhbar Berita Harian bagi sesi persekolahan tahun ini.

 

 


Lebih 140,000 tempat untuk lepasan SPM – Bernama


Lebih 140,000 tempat untuk lepasan SPM

2011/04/02

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan 140,140 tempat untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pelbagai peringkat pengajian tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi kursus asasi (16,640 tempat), diploma institusi pengajian tinggi awam (23,000), diploma politeknik (51,000), sijil kolej komuniti (11,000) dan sijil institusi latihan kemahiran awam (38,500).

“Kita sedang mengarusperdanakan pengajian di bidang diploma,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara ke-7, “Jom Masuk U” 2011 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini.Mohamed Khaled berkata, langkah itu bagi menghasilkan 679,977 pekerja mahir berkelulusan diploma yang diperlukan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara menjelang 2020.

Bagi menggalakkan penyertaan dalam pengajian peringkat diploma, beliau berkata tempoh pengajian akan dipendekkan kepada dua tahun setengah bagi pelajar cemerlang berbanding tiga tahun.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataannya semalam, Mohamed Khaled berkata langkah mewajibkan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar mengambil peperiksaan kelayakan bahasa Arab adalah atas kehendak universiti tersebut.

Kaedah baru itu, katanya, diperkenalkan universiti berkenaan kerana ramai pelajar Malaysia tidak dapat menyempurnakan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan kerana penguasaan bahasa Arab yang lemah.
Semalam, Mohamed Khaled dilapor berkata mulai tahun depan semua pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang itu di universiti terkemuka Mesir tersebut wajib menduduki peperiksaan berkenaan. – BERNAMA

 

Enam sekolah jadi pusat penamaan calon ditutup Rabu – Berita Harian


Enam sekolah jadi pusat penamaan calon ditutup Rabu

2011/04/02

KUCHING: Enam sekolah yang dijadikan sebagai pusat penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak ke-10 akan ditutup Rabu ini dan sesi persekolahannya akan diganti pada hari lain.

Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Takun Sangguh, berkata Jabatan Pelajaran Sarawak telah memberikan kebenaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sekolah berkenaan sebagai pusat penamaan calon.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abg Hj Openg bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Demak Laut; SMK Petra Jaya (Tupong); SMK Semerah Padi, Petra Jaya (Semariang) dan SK Merpati Jepang (Satok); keempat-empat di Kuching.Dua lagi sekolah di Sibu, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Thai Kwang bagi kerusi DUN Dudong dan SMK Sacred Heart (Pelawan).

Takun berkata: “Pemilihan bagi lokasi pusat penamaan calon telah diadakan lebih awal berdasarkan kepada seperti yang ditetapkan pada pilihan raya negeri 2006. Hanya kali ini hari penamaan calon (bagi pilihan raya negeri ke-10) jatuh pada hari persekolahan.

“Tiada masalah. Saya telah dimaklumkan bahawa sesi persekolahan di sekolah berkenaan akan ditutup pada hari itu dan akan diganti pada hari lain.” – BERNAMA