Dera murid sampai mati tidak boleh dimaafkan: Muhyiddin – Bernama


Dera murid sampai mati tidak boleh dimaafkan: Muhyiddin

2011/04/04

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan kes murid sekolah agama yang dibelasah guru sehingga maut adalah jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, walaupun sekolah berkenaan bukan di bawah Kementerian Pelajaran, namun perbuatan guru itu tetap tidak boleh dibiarkan kerana ia membabitkan keselamatan murid.

“Sebagai Menteri Pelajaran saya memandang berat sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa harus menyiasat kenapa hal seperti ini berlaku sehingga membawa ajal.”Bila ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada pihak sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah kena memberi perhatian tentang keselamatan mereka, (bukannya mendera mereka) apa lagi dilakukan oleh guru yang sepatutnya bertanggungjawab mendidik anak-anak,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kes murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7 yang meninggal dunia semalam selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian di bilik asrama sekolah agama itu, Khamis lalu.

Muhyiddin berkata, sekolah berkenaan termasuk sekolah agama rakyat perlu mempunyai kaedah standard dalam menguruskan soal disiplin pelajar.
Beliau berkata, pihak sekolah harus menetapkan pihak yang harus diberi tanggungjawab untuk memantau disiplin pelajar dan sistem kawalan tertentu bagi menangani pelajar yang terlibat dalam salah laku disiplin, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa jika perlu.

Katanya, bagi sekolah di bawah kemententerian, terdapat mekanisme khusus untuk menangani kes salah laku disiplin termasuk berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap pelaku sekiranya terdapat bukti jelas mengenai kesalahan yang dilakukan.

Dalam isu lain, Muhyiddin berkata kementerian akan meneliti cara terbaik untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu supaya penggunaan Bahasa Inggeris diteruskan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains.

“Kita sudah putuskan mengenai soal pembelajaran Matematik dan Sains yang akan diajar dalam Bahasa Malaysia menerusi pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Malaysia memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) tetapi kita akan teliti bagaimana hendak memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mementingkan soal pembelajaran Bahasa Inggeris ini,” katanya.

Muhyiddin, bagaimanapun, tidak menetapkan tempoh masa bila perkara itu akan diputuskan kerana menyifatkan penelitian mengenai perkara itu akan mengambil masa termasuk untuk melihat implikasinya ke atas keputusan kerajaan sebelum ini. – BERNAMA

 

Muhyiddin nasihat pelajar cemerlang usah leka dibuai mimpi – Bernama


Muhyiddin nasihat pelajar cemerlang usah leka dibuai mimpi

2011/04/04

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menasihati pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya terus belajar bersungguh-sungguh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kejayaan cemerlang dalam SPM belum tentu menjamin kejayaan cemerlang dalam perjalanan seterusnya jika pelajar leka dibuai mimpi indah dalam mengecapi kejayaan lampau.

“Cabaran yang bakal mendatang pasti lebih besar daripada yang telah berjaya anda tempuhi.”Saya akan merasa amat kecewa jika anda yang telah saya raikan kejayaannya dengan penghormatan dan kegembiraan hari ini, menempuh kegagalan dalam pelajaran seterusnya apatah lagi kegagalan dalam kehidupan di masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang SPM 2010 dan sempena lawatan rasminya ke Lembaga Peperiksaan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, di samping kejayaan yang diraih, pelajar cemerlang itu seharusnya sedar bahawa mereka juga adalah aset negara yang sangat berharga.

“Di bahu mereka ini terpikul tanggungjawab besar untuk terus membantu negara tercinta menjadi negara maju menjelang 2020,” katanya.

Muhyiddin berkata, murid cemerlang bukan sahaja bermaksud cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi juga bermaksud cemerlang dalam pelbagai aspek antaranya sahsiah dan keterampilan diri.
Beliau berkata, murid yang cergas fizikal dan mental amat diperlukan dalam pembinaan sebuah negara bangsa, malah sejarah menunjukkan kekuatan sesuatu bangsa diukur bukan sahaja daripada kekuatan mental semata-mata.

“Gabungan antara kekuatan jasmani, emosi, rohani dan intelek amat diperlukan untuk generasi pewaris bangsa Malaysia tercinta.

“Dengan kecemerlangan dalam pelbagai mata pelajaran SPM yang anda peroleh, anda berpotensi besar menjadi tenaga kerja yang boleh dipasarkan untuk pelbagai bidang pekerjaan,” katanya.

Daripada 41 pelajar cemerlang yang diraikan hari ini, 30 memperoleh pencapaian tertinggi dengan gred A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki, manakala tujuh orang murid cemerlang mewakili pelajar istimewa dan empat orang murid cemerlang mewakili pelajar-pelajar aktif dalam sukan.

Muhammad Putera Farid Iskandar dari Sekolah Menengah Sains Seremban yang mendapat 10 A+, berkata di samping membahagikan masa antara belajar dan riadah, beliau sentiasa mengingatkan diri akan tujuan sebenar belajar supaya tidak lalai.

Bagi Tan Hsi Theng dari Sekolah Sukan Bukit Jalil pula, kesibukannya mewakili negara ke Sukan SEA di sini dan Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Selangor tahun lepas, bukan penghalang kepada beliau untuk meraih keputusan 6A+ 2A 1A- dan 1B.

“Walaupun masa saya sentiasa penuh, guru kami sentiasa memastikan kami tidak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya.

Arjunan a/l Selvamani dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sung Siew, Sandakan, Sabah, pula memenangi anugerah Pelajar Terbaik Akademik dan Kokurikulum 2010, dan berkata beliau tidak kisah untuk menyambung pelajaran di mana sahaja asal dapat berkhidmat kepada negara. – BERNAMA

 

Ustaz pukul murid sampai mati minta maaf – Berita Harian


Ustaz pukul murid sampai mati minta maaf

2011/04/04

KANGAR: Bapa angkat kepada murid yang dipukul sehingga meninggal dunia tidak menyangka individu yang menjemputnya untuk melihat keadaan anak angkatnya itu di hospital adalah individu yang melakukan perbuatan tersebut.

Mohd Zamri Shafie, 40, seorang pekerja kilang simen berkata, ustaz itu menelefonnya sendiri pada 1.40 pagi Jumaat lalu untuk memaklumkan bahawa anak angkatnya, Saiful Syazani Saiful Sopfidee 7, telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah akibat mengalami sawan dan mengajaknya untuk melihat kanak-kanak tersebut.

“Pada mulanya saya tidak menyangka ustaz itu yang memukul anak saya sehinggalah beliau sendiri datang jumpa saya pada pagi hari Jumaat dan meminta maaf atas perbuatannya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Jejawi dekat sini hari ini.Saiful Syani, seorang anak yatim pada mulanya koma setelah dikatakan dipukul hampir dua jam oleh seorang ustaz yang berumur 26 tahun yang juga penyelia asrama di Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Jejawi.

Kanak-kanak tersebut kemudianya meninggal dunia di hospital pada 8.50 pagi semalam.

Mohd Zamri berkata, beliau melihat kesan lebam di badan Saiful Syazani dan doktor mengesahkan terdapat pendarahan dalam kepalanya.

Bapa kandung kanak-kanak itu Saiful Sopfidee Marzuki, 34, telah membuat laporan polis dan penyelia asarama tersebut telah ditahan Sabtu lalu.
Mohd Zamri menyifatkan anak angkatnya itu sebagai seorang yang pendiam, agak aktif serta keras hati namun tidak pernah mengabaikan solat serta berkebolehan membaca al-Quran.

Beliau memelihara Saiful Syazani sejak kanak-kanak berkenaan berusia dua tahun setelah ibunya meninggal dunia pada 2006.

Sementara itu, pergerakan Wanita UMNO Perlis mahu Kementerian Pelajaran memantau kegiatan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Ketuanya, Rela Ahmad yang mengetuai 30 anggota pergerakan itu dan Puteri UMNO Perlis menziarahi keluarga Mohd Zamri berkata kepada pemberita kebanyakan SAR yang tidak berdaftar dengan kementerian mempunyai kurikulum sendiri dan melantik guru yang tidak bertauliah.

Beliau mengesyorkan supaya sekolah persendirian di Jejawi itu ditutup serta merta jika tidak mengikut kurikulum pendidikan arus perdana dan dikendalikan oleh guru-guru tidak bertauliah. – BERNAMA

 

Cikgu ambil nyawa – Harian Metro


Cikgu ambil nyawa

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.
ZIARAH… guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.

KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.

Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.
Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.

 

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.
“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

 

 

Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.
Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu’ dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.
Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.
Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.
“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.
“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.
“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.
Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak berperikemanusiaan itu.

 

 

2 kumpulan pelajar bergasak – Harian Metro


2 kumpulan pelajar bergasak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HULU SELANGOR: Gara-gara berebut teman wanita, dua kumpulan membabitkan lapan pelajar sebuah sekolah menengah dekat sini bergaduh yang berkesudahan dua daripada mereka cedera dan dimasukkan ke hospital.

Sumber berkata, pergaduhan itu membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima sekolah yang sama dan kejadian berlaku di dalam kawasan sekolah pada kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.
“Kejadian bermula dengan pertengkaran sebelum berlanjutan kepada tumbuk menumbuk. Guru yang dimaklumkan mengenainya segera ke tempat kejadian dan sejurus tiba, dua pelajar tingkatan lima didapati cedera agak teruk, lalu dibawa ke hospital,” katanya.

 

Berikutan kejadian itu, keluarga pelajar yang cedera membuat laporan polis, dan Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy mengesahkan menerima laporan.