Kanak-kanak perempuan hilang – Bernama


Kanak-kanak perempuan hilang

2011/04/05

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan hilang dipercayai diculik lewat petang semalam ketika bersama kakak iparnya, 23, dan seorang saudaranya berusia 10 tahun, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T Narenasagaran, berkata kehilangan Nur Hafiqah Zarissya Mohd Nawawi berlaku kira-kira 7 malam di sebuah kedai telefon bimbit milik ibu kanak-kanak itu di Jalan Kuantan-Gambang berhampiran sebuah pasar raya.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak berkenaan supaya menghubungi polis di talian 09-5751999.Sementara itu, ketika ditemui, ibu kanak-kanak berkenaan Azizah Dollah, 42, berkata beliau meninggalkan anaknya itu sebentar untuk pulang ke rumah di Taman Seri Damai Perdana yang terletak berhampiran.

Katanya, tanpa disedari anak bongsunya itu hilang dan beliau cuba mencari bersama suami dan beberapa jiran di sekitar kawasan berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading.

Beliau berkata, beberapa saksi melihat anaknya itu didekati tiga lelaki yang tidak dikenali sebelum anaknya itu hilang. – BERNAMA

 

Polis sambung reman ustaz – Bernama


Polis sambung reman ustaz

2011/04/05

KANGAR: Polis hari ini mendapat perintah untuk melanjutkan tempoh reman seorang ustaz yang dikaitkan dengan kematian pelajar Sekolah Rendah Islam Al Furqan, Jejawi dekat sini sehingga 11 April ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Mohd Nashir Ya, berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan Sabtu lalu bagi siasatan kes itu dan hari ini lelaki itu dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan lanjutan reman.

Lelaki yang juga penyelia asrama sekolah itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Kelmarin, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar selepas dikatakan dipukul ustaz berkenaan ketika menyiasat satu kes kecurian di asrama sekolah itu Khamis lalu.

Bagaimanapun, pelajar itu pengsan dan koma lalu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sebelum dirujuk ke HSB Alor Setar.

Kes yang membabitkan pelajar sekolah kelolaan parti PAS itu mendapat perhatian nasional dan parti itu turut dukacita dengan kejadian itu. – BERNAMA

 

Negara Masih Kekurangan 14,000 Guru J-Qaf – Bernama


Selasa April 5, 2011
Negara Masih Kekurangan 14,000 Guru J-Qaf

KUALA LUMPUR: Negara masih kekurangan kira-kira 14,000 guru untuk program pendidikan Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) dalam usaha memperkasakan program itu di semua peringkat sekolah pada masa depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata sehubungan itu, kementerian merancang untuk menambah lebih ramai guru J-Qaf bagi menampung kekurangannya di seluruh negara sekaligus mencapai sasaran untuk memperoleh 33,000 orang guru pada masa depan.

“Kita mempunyai perancangan secara berperingkat, kerajaan akan menambah lebih ramai guru agar dapat memastikan semua sekolah dari peringkat rendah hingga ke sekolah menengah mempunyai peluang menguasai program itu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang)mengenai sejauh mana J-Qaf berjaya mendidik murid menguasai tulisan Jawi dan adakah program itu akan dilanjutkan ke sekolah menengah pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Wee berkata perkara itu penting bagi membolehkan program J-Qaf melahirkan lebih ramai pelajar aliran agama yang berkualiti dan berdaya saing selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang memberi penekanan kepada transformasi ke arah kecemerlangan.

Beliau berkata program J-Qaf yang dilaksana sejak 2004 dapat meningkatkan penguasaan murid bukan sahaja dalam tulisan Jawi malah dalam bacaan Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain.

Laporan kajian pelaksanaan menunjukkan 92.12 peratus murid program J-Qaf menguasai Jawi, 99.1 peratus menguasai Al-Quran, Bahasa Arab (84.71 peratus) dan Bestari Solat (99.39 peratus), katanya.

Beliau berkata berdasarkan keberkesanan program itu, kementerian akan melaksanakan program J-Qaf di sekolah menengah apabila program itu sempurna dilaksanakan di semua sekolah rendah.

“Program J-Qaf sangat wajar dilanjutkan ke sekolah menengah kerana bukan sahaja memberi kefahaman yang mendalam tetapi dapat meningkatkan penghayatan murid yang dijelmakan dalam amalan seharian,” katanya. – BERNAMA

 

PAS mohon maaf kematian Saiful Syazani – Bernama


PAS mohon maaf kematian Saiful Syazani

2011/04/05

KANGAR: PAS Perlis memohon maaf kepada rakyat Malaysia berikutan kematian seorang pelajar tujuh tahun kelmarin yang dikaitkan dengan tindakan hukuman seorang ustaz di Sekolah Rendah Islam Al Furqan kelolaan parti itu di Jejawi dekat sini.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin, berkata pihaknya juga memohon maaf kepada guru berhubung peristiwa yang telah mencalar imej dan persepsi umum terhadap warga pendidik.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar kelmarin selepas dipercayai dipukul seorang ustaz yang juga warden asrama sekolah itu pada Khamis lalu ketika menyiasat kes kecurian.”Kejadian ini sesuatu yang amat memeranjatkan setelah lebih 25 tahun mengelola institusi pendidikan milik parti,” katanya selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.

Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, PAS Perlis berharap proses siasatan dan perbicaraan dilaksana secara rapi dan mendalam bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak terbabit.

Pengerusi Lembaga Tadbir sekolah itu, Rus’sele Eizan, berkata pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua institusi pendidikan milik parti itu beroperasi dalam suasana pembelajaran yang selamat dan lancar.

Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, pula berharap sekolah agama rakyat seperti itu melantik hanya guru bertauliah bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Setiap guru yang dilantik perlu melalui proses latihan perguruan meskipun mereka memiliki kelayakan akademik yang tinggi,” katanya. – BERNAMA

 

Kerajaan sampai cek RM6.35 juta naik taraf 127 sekolah mubaligh – Berita Harian


Kerajaan sampai cek RM6.35 juta naik taraf 127 sekolah mubaligh

2011/04/05

KUCHING: Kerajaan menyampaikan cek bantuan modal RM6.35 juta kepada 127 sekolah mubaligh Sarawak menerusi peruntukan pembangunan sekolah berkenaan, sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan cek terbabit kepada setiap wakil sekolah mubaligh di Sarawak bagi membolehkan ia dibaiki dan dinaik taraf.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pemberian bantuan modal kerajaan itu diputuskan jawatankuasa membabitkan menteri dari Sarawak.”Walaupun gereja di Malaysia sudah mempelopori sekolah mubaligh, kerajaan tampil ke depan untuk membantu dan memastikan sekolah itu terus segar,” katanya ketika pada majlis penyampaian cek sekolah mubaligh Sarawak, di sini, sebentar tadi.

 

Hishammuddin beri jaminan kes bunuh murid disiasat terperinci – Berita Harian


Hishammuddin beri jaminan kes bunuh murid disiasat terperinci

2011/04/05

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kes seorang murid sekolah agama di Perlis yang dibelasah sehingga mati akan disiasat dengan telus dan terperinci.

Beliau berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada polis supaya melakukan siasatan segera terhadap kes itu dan ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan semua aspek berkaitan akan disiasat.

Hishammuddin berkata, beliau faham akan kebimbangan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran apabila ada kes sebegitu yang berlaku sehingga membabitkan kematian.”Saya faham sentimen beliau (Muhyiddin) kerana saya juga pernah memegang jawatan Menteri Pelajaran dan ketika inilah pelbagai pertanyaan muncul dalam hati kita.

“Saya sudah mengarahkan polis menyiasat dan ia akan disiasat sebagai kes jenayah bunuh dan semua yang terbabit akan didakwa selepas siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Sistem Pemantauan Bandar Selamat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung, di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, tiada siapa akan terlepas daripada undang-undang terutamanya yang terbabit memukul murid berkenaan sehingga meninggal dunia.

“Kita akan dakwa mereka ini, tiada siapa akan dikecualikan dalam siasatan ini,” katanya.
Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, meninggal dunia pada 5.40 pagi kelmarin selepas koma sejak Jumaat selepas disyaki dipukul oleh seorang ustaz berumur 26 tahun yang juga penyelia Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Perlis.

Penyelia berkenaan sudah pun ditahan polis, Sabtu lalu. – BERNAMA

 

RM4.9 juta bina asrama dan guru untuk tiga kawasan pedalaman – New Sabah Times


RM4.9 juta bina asrama dan guru untuk tiga kawasan pedalaman

 

0404-lead-9a
DISAMBUT … Puad diiringi oleh Ghani disambut oleh pemimpin dan ibu bapa di SK. Pensiangan.

 

4th April, 2011PENSIANGAN: Kementerian Pelajaran telah memperuntukkan RM4.9 juta bagi membiayai pembinaan bangunan asrama dan rumah guru di sekolah-sekolah pedalaman tiga di kawasan ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia Dr. Mohd Puad Zarkasi berkata, peruntukan itu membiayai pembinaan empat buah asrama masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, SK. Sibangali, SK. Pensiangan dan SK. Salong serta rumah guru di SK Tinanduk.

Katanya, pembinaan bagi bangunan asrama dan rumah guru di sekolah-sekolah berkenaan sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan April ini.

“Pembinaan asrama di sekolah-sekolah berkenaan akan memberi kemudahan kepada murid-murid yang sebelum ini sukar datang ke sekolah kerana rumah mereka jauh dari sekolah,” katanya semasa berucap dalam satu perjumpaan ringkasnya dengan guru-guru dan ibu bapa di SK. Pensiangan dalam siri lawatanya di SK. Saliliran, SK. Sibangali, SK. Pensiangan, SK. Tinanduk dan SK. Salong pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup, Ketua Umno Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin, Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan Osman Aganduk, Guru Besar SK. Pensiangan Barati Amaron, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan Ahuar Rasam, beberapa AJK Bahagian, pergerakan wanita, pemuda dan puteri Umno Pensiangan.

Puad yang juga Ahli Majlis Teringgi Umno Malaysia berkata, Kerajaan sentiasa meningkatkan pembangunan pendidikan sekolah-sekolah terpencil dan mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid-murid dan guru-guru.

Katanya, Kerajaan telah memberi peruntukan yang begitu besar untuk membiayai pembangunan pendidikan di negara ini iaitu kira-kira RM 29.3 bilion untuk pembiayaan pengurusan dan RM 64 bilion untuk pembangunan.

“Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap pembangunan pendidikan di negara ini” katanya.

Mengenai dengan lawatanya, Puad berkata, lawatan pada kali ini adalah lawatan susulan di sekolah-sekolah yang pernah dilawatinya pada penghujung tahun lepas.

Katanya, dalam siri lawatan pertamanya beliau dan rombongan terpaksa berjalan kaki meredah huta selama kira-kira lapan jam untuk sampai ke SK. Saliliran.

 

PBTM kesal kejadian pelajar SM Vokasional dibelasah tiga warden – New Sabah Times


PBTM kesal kejadian pelajar SM Vokasional dibelasah tiga warden

5th April, 2011BEAUFORT: Persatuan Bekas Tentera Darat Malaysia Negeri Sabah (PBTM) melahirkan kekesalan terhadap kejadian pelajar Sekolah Menengah Vokasional yang dibelasah oleh tiga warden yang juga guru sekolah berkenaan.

“Sekalipun pelajar berkenaan melakukan kesalahan warden sewajarnya menggunakan fikiran yang waras menanganinya sejajar dengan status mereka sebagai pendidik,” kata Yang Dipertua Persatuan itu Abd Sanon Hj Sapri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang disiarkan New Sabah Times pada Isnin.

Sanon berkata kenapa mereka bertindak sedemikian sedangkan sekolah menyediakan peraturan tinggal dalam asrama dan jika pelajar berkenaan melakukan kesalahan itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi dan perlu ditangani dengan bijak.

“Pelajar-pelajar adalah golongan remaja yang masih muda dan sudah tentunya mereka memerlukan bimbingan dan ia merupakan tanggungjawab guru mendidik di sekolah,” tegasnya.

Abd Sanon berkata semua sekolah mempunyai guru kaunseling atau disiplin dan beliau hairan kenapa kes itu tidak dibawa terlebih dahulu kepada guru kaunseling dan seterusnya memanggil para ibu bapa pelajar yang terlibat.

“Pengetua sekolah juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan guru-guru di bawah jagaannya berhemah tinggi untuk menangani masalah pelajar dan mereka perlu memastikan guru-guru termasuk warden tidak bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata persatuan ini kesal kerana dalam usaha kerajaan mahu melahirkan masyarakat cemerlang dan penyayang ada pula guru yang menunjukkan contoh yang bertentangan dengan konsep masyarakat penyayang.

“Pelajar adalah aset negara dan merupakan bakal mewarisi negara, oleh itu mereka perlu diberikan didikan dan bimbingan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya, persatuan juga akan mengemukakan bantahan terhadap sekolah berkenaan.

Sementara itu Abd Sanon juga melahirkan kekesalan terhadap kes seorang pelajar yang mati didera oleh guru di sebuah negeri di Semenanjung.

 

PELAJAR DIBELASAH TIGA WARDEN ASRAMA – New Sabah Times


PELAJAR DIBELASAH TIGA WARDEN ASRAMA

4th April, 2011BEAUFORT: Seorang Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Vokasional Beaufort, Haziq Haji Harun, 16, dari Kampung Pimping Membakut lebam di pipi kiri dan kanan berdekatan mata apabila dibelasah oleh tiga warden asrama. 

Semua ini berpunca daripada kesalahan Haziq yang menemani seorang rakannya keluar dari asrama tanpa izin pada kira-kira jam 1.00 pagi untuk membeli rokok dan minuman keras di sebuah gerai di luar sekolah pada Ahad.

Menurut Haziq, kira-kira jam 1.00 pagi dia menemani rakan seasramanya membeli rokok dan minuman keras yang diminta oleh rakan seasrama dan keluar dari longkang tepi pagar sekolah itu.

“Apabila kembali ke sekolah, perbuatan mereka dikesan oleh warden dan ketika disoal siasat, saya dan rakannya memohon maaf kepada ketiga-tiga warden berkenaan akan tetapi biarpun berkali- kali meminta maaf, saya dan rakannya terus ditampar berkali-kali oleh ketiga-tiga warden yang juga guru di sekolah berkenaan,” katanya.

Pelajar ini memberitahu setelah ditampar dia dan rakannya hampir tersungkur kerana pening dan untuk mengelakkan mereka dari raba guru berkenaan menarik kolar belakang baju dan menampar lagi sehingga kedua-dua mereka tersungkur dan melutut di atas lantai .

“Pada masa itu pun kami masih memohon maaf atas kesalahan kami bagaimanapun guru-guru itu terus menuding jari mereka ke kepala saya dan rakan saya,” kata Haziq sambil menambah semasa kejadian itu ramai rakan seasrama yang menyaksikan.

“Saya sudah memberikan penjelasan kepada guru-guru berkenaan bahawa rokok dan minuman keras itu bukan milik saya tetapi rakan seasrama yang meminta saya menemaninya,” jelasanya.

Haziq berkata, dia sendiri tidak mempunyai wang untuk membeli rokok dan minuman keras (montok) malah dia sendiri pun tidak merokok dan jauh sekali meminum minuman keras malah banyak barang peribadinya seperti telefon bimbit hilang dan dipercayai dicuri di asrama.

“Saya tidak pernah melakukan kesalahan ini sebelum ini dan ini adalah merupakan kesalahan pertama,” kata Haziq.

Ibu kepada mangsa, Hajah Fatimah Hj Buntak, ketika ditemui berkata, bahawa beliau memahami akan kesalahan yang dilakukan oleh anaknya akan tetapi beliau amat kesal tindakan kasar warden berkenaan.

“Saya bukan mahu membela anak saya malah saya tahu anak saya bersalah tetapi mengapa tidak digunakan peraturan atau kesalahan itu diambil dengan tindakan disiplin sahaja dan tindakan beramaran,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan memukul dan menampar oleh guru-guru itu membuatkan anaknya trauma dan bagaimana jika kecederaan yang dialami anaknya itu akan menjadi kecederaan kekal kerana anaknya ditampar di bahagian kepala begitu juga dengan nasib seorang rakan anaknya itu.

“Kami tak rela jika anak kami mengalami kecacatan otak kerana gegaran dipukul di bahagian kepala,” kata Fatimah.

Beliau berkata, pelajar-pelajar ini masih berada di bawah umur dan dalam usia yang masih muda dan mentah sudah tentunya mereka memerlukan bimbingan setelah melakukan kesalahan bukan bertindak agresif untuk mencederakan mereka.

“Semasa mereka dipukul pun anak saya dan rakannya tidak melawan sebaliknya berkali-kali meminta maaf tetapi mengapa tidak diterima permintaan maaf mereka dan mengapa mereka terus dipukul diherdik sehingga tersungkur dan melutut dilantai,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, kata Fatimah, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan telah membawa Haziq ke hospital untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah, DSP Mustaffa Maarof Bin Mustaffa ketika dihubungi kelmarin mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh ibu bapa pelajar berkenaan.

“Buat masa ini ‘tiada komen’ kerana pihak polis akan menjalankan siasatan dan akan memanggil kedua dua belah pihak iaitu warden yang terbabit dan rakan Haziq yang didakwa turut dipukul oleh warden berkenaan,” katanya.

Guru belasah murid hingga mati jenayah serius: TPM – Berita Harian


Guru belasah murid hingga mati jenayah serius: TPM

2011/04/05

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kes murid sekolah agama dibelasah guru sehingga mati adalah jenayah serius dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun sekolah agama itu di luar bidang kuasa Kementerian Pelajaran, perbuatan guru terbabit tidak boleh dibiarkan kerana ia menyentuh soal keselamatan murid.

“Sebagai Menteri Pelajaran, saya memandang berat kes ini sama ada sekolah itu dalam sistem pendidikan atau di luar. Kes mendera sehingga maut pelajar kecil adalah satu tindakan jenayah dan pihak berkuasa perlu menyiasatnya.”Pihak sekolah perlu sedar apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah, ia menjadi tanggungjawab guru dan sekolah untuk memberi perhatian mengenai keselamatan mereka,” katanya.

Beliau mengulas kejadian kes murid Tahun Satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7, yang meninggal dunia, kelmarin selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya.

Mangsa yang juga anak yatim, menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung akibat kejadian yang berlaku di bilik asrama sekolah agama itu, Khamis lalu.

Mangsa diikat kedua belah tangan sebelum ditambat di tingkap dan dibelasah bertalu-talu sebelum dihempas ke dinding hingga menyebabkannya mengalami pendarahan organ dalaman.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kementerian akan meneliti cara terbaik untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak yang mahu penggunaan Bahasa Inggeris diteruskan dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik serta Sains.

Di KUANTAN, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta polis melakukan siasatan menyeluruh seberapa segera berhubung kematian murid itu.

Di KANGAR, empat rakan sekelas Saiful Syazani, beberapa guru dan pengetua sekolah itu dipanggil polis untuk membantu siasatan, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, berkata pihaknya mengambil keterangan empat murid terbabit yang mendakwa wang mereka dicuri mangsa.

“Kita menunggu laporan bedah siasat. Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya mengesahkan polis akan memohon untuk menyambung reman 10 hari lagi terhadap yang juga guru dan warden sekolah agama itu yang berakhir hari ini.

Terdahulu, Pergerakan Wanita dan Puteri Umno Perlis yang diketuai Rela Ahmad dan Asmaiza Ahmad menziarah keluarga angkat mangsa, Mohd Zamri Shafie, 40 dan isterinya Hazirah Chin, 38, di rumah mereka di Jejawi Hutan Buluh, dekat sini.

Mohd Zamri berkata, beliau menjaga mangsa sejak berusia dua tahun selepas kematian ibu.

“Masih terngiang di telinga saya suara azan yang selalu dilaungkan arwah setiap kali tiba waktu solat. Suaranya yang lunak ketika melaungkan azan di surau sekolah didengari kami sekeluarga memandangkan rumah kami berhampiran sekolah,” katanya.

Beliau mengakui Saiful agak nakal tetapi guru sepatutnya ada pendekatan untuk mengawal, murid bukannya bertindak tanpa berperikemanusiaan.