Kanak-kanak 7 Tahun Mangsa Dera Mati Kerana Pendarahan Otak – Polis – Mstar


Published: Selasa April 5, 2011 MYT 7:25:00 PM
Updated: Selasa April 5, 2011 MYT 7:39:55 PM
Kanak-kanak 7 Tahun Mangsa Dera Mati Kerana Pendarahan Otak – Polis

Oleh EMBUN MAJID

KANGAR: Pelajar lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa menjadi mangsa pukul seorang guru sehingga meninggal dunia telah disahkan menemui ajalnya akibat pendarahan dalam otak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Perlis, Superintenden Mohd Nashir Ya berkata, hasil bedah siasat mendapati, mangsa ada kemungkinan dicekik dileher mengakibatkan saluran oksigen ke otaknya terjejas dan ini menyebabkan pendarahan dalam otak.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia empat hari selepas dia dikatakan diikat dan dikemudian dipukul selama lebih dua jam oleh seorang guru yang juga warden Sekolah Agama Al-Furqan di Jejawi, Arau dekat sini pada malam Khamis lepas.

Kanak-kanak itu yang kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sultan Bahiyah Alor Setar pada hari Jumaat meninggal dunia pada kira-kira jam 8 pagi Ahad.

Supt Mohd Nashir memberitahu para wartawan di sini, pada Selasa, bahawa siasatan ke atas kes tersebut telah pun selesai dan kes tersebut telah dipanjangkan ke pejabat timbalan pendakwa raya negeri untuk tindakan seterusnya.

“Kami turut mendapatkan perintah penyambungan tahanan reman ke atas suspek yang berusia 26 tahun itu yang telahpun ditahan berhubung kes ini sehingga 11 April,” ujarnya lagi.

 

Reman guru dilanjut – Utusan Malaysia


Reman guru dilanjut

KANGAR 5 April – Tempoh reman seorang guru yang dipercayai terlibat dalam kes kematian murid tahun satu Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Arau dekat sini, Saiful Syazani Saiful Sopfidee kelmarin, dilanjutkan sehingga Isnin ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan Mohd.Nashir Ya memberitahu, sebelum ini, lelaki berusia 26 tahun itu telah ditahan Jumaat lalu selepas dipercayai terlibat memukul murid berkenaan sehingga menyebabkan kematian.

Menurut beliau, mengikut laporan hasil bedah siasat pakar patologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar mendapati Saiful Syazani, 7, mati akibat pendarahan otak dan lemas.

“Laporan bedah siasat menunjukkan leher Saiful telah ditekan benda lembut atau tumpul yang menyebabkan kurang oksigen pada otak mangsa seterusnya berlaku pendarahan otak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saiful Syazani meninggal dunia di Unit Rawatan Rapu (ICU) HSB kelmarin selepas koma sejak Jumaat lalu dipercayai akibat dipukul gurunya.

Mohd. Nashir berkata, lanjutan reman tersebut bagi membolehkan pihak polis melengkapkan kertas siasatan untuk pendakwaan kes tersebut.

Beliau berkata, selain laporan bedah siasat, polis menjalankan siasatan di sekolah terbabit dan mengumpul barang kes termasuk rotan digunakan guru berkenaan.

 

Ke mana hilang empat gadis remaja ini? – Utusan Malaysia


Ke mana hilang empat gadis remaja ini?

NIBONG TEBAL 5 April – Ke manakah mereka pergi? Itulah persoalan yang menyelubungi misteri kehilangan empat gadis remaja termasuk sepasang adik-beradik yang tidak pulang ke rumah selepas keluar ke sekolah hari ini.

Pasangan adik-beradik itu, Beh Chin Yuan, 15, dan Beh Ee Xuan, 14, dipercayai hilang bersama dua rakan karib mereka iaitu Ong Shi Nee, 15, dan Soon Shi Xian, 15.

Keempat-empat remaja terbabit meninggalkan nota serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa mereka akan ‘pergi jauh’ selain meminta supaya keluarga masing-masing tidak bimbang.

Bagaimanapun, keluarga remaja terbabit sangsi nota serta SMS berkenaan ditulis dan dihantar oleh anak-anak mereka.

Difahamkan, keempat-empat remaja berkenaan sering ke sekolah bersama-sama dan tidak pernah lewat pulang ke rumah mereka di Taman Bandar Tasek Mutiara, dekat sini.

Namun, sehingga pukul 9 malam ini, kelibat mereka tidak kelihatan malah telefon bimbit keempat-empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara itu tidak dapat dihubungi.

Bapa kepada Chin Yuan dan Ee Xuan, Beh Chin Hooi memberitahu, kali terakhir dia melihat kedua-dua anaknya ialah sekitar pukul 7.15 pagi ketika mereka sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.

“Kira-kira pukul 1.30 petang, saya terima panggilan dari jiran yang cemas bertanyakan anak saya kerana anaknya tidak pulang dari sekolah.

“Saya minta isteri ke sekolah tetapi diberitahu anak-anak saya tidak ke sekolah hari ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama dua lagi keluarga remaja terbabit di ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) petang ini.

Chin Hooi berkata, Chin Yuan juga meninggalkan nota di dalam laci meja sekolahnya tetapi dia dan isteri berasa sangsi ekoran tulisan serta lenggok bahasa yang ditulis dalam nota itu agak meragukan.

Pemandu lori itu menambah, hubungan dia dan isteri dengan kedua-dua anaknya itu selama ini sangat baik dan tidak ada sebarang salah faham berlaku kebelakangan ini.

Bapa Shi Nee, Ong Chuat Hooi, 38, pula memberitahu, dia menerima SMS daripada anaknya itu kira-kira pukul 2 petang ini memaklumkan bahawa dia tidak akan pulang semula ke rumah.

“Saya cuba hubungi telefon bimbitnya (Shi Nee) tetapi tidak dijawab. Sehingga petang ini, talian telefonnya sudah tidak dapat dihubungi lagi,” tambahnya yang bimbang keselamatan anak sulungnya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat yang dihubungi mengesahkan laporan polis oleh keluarga remaja terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.

 

Bekas mufti minta Pas Perlis bertanggungjawab – Utusan Malaysia


Bekas mufti minta Pas Perlis bertanggungjawab

KUALA LUMPUR 5 April – Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin kesal apabila tindakan guru agama yang memukul muridnya sehingga dikatakan menyebabkan kematiannya di Perlis baru-baru ini dipertahankan atas dasar politik.

Mohd. Asri menerusi laman sosial Facebook hari ini berkata, guru itu yang dikatakan ahli sebuah parti politik masih dikatakan seorang yang baik oleh wakil rakyat parti berkenaan meskipun dikatakan menyebabkan kematian muridnya yang berusia tujuh tahun.

Malah Mohd. Asri mendakwa, sekolah yang dikatakan menjadi lokasi kejadian iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Jejawi merupakan sekolah milik sebuah parti politik Pas.

“Politik jenis apa lagi yang (akan) muncul sehingga jenayah pun seakan-akan dipertahankan kerana anggota parti. Saya bukan menyalahkan parti tersebut, tetapi sikap berpihak kerana kepartian.

“Bayangkan jika ia berlaku di pihak parti lawan, ratusan dalil akan dibaca. Namun (apabila) kena kepada ‘orang kita’ sejuta alasan akan diberikan,” katanya berdasarkan status Facebook beliau bertajuk Pas Perlis Patut Bertanggungjawab.

Status Facebook Mohd. Asri yang dikemas kini pada pukul 12.27 tengah hari ini mendapat reaksi balas daripada 155 rakannya sehingga petang ini dengan kebanyakannya bersetuju dengan tulisannya.