Penganggur, remaja bersalah tuduhan rogol – Utusan Malaysia


Penganggur, remaja bersalah tuduhan rogol

07/04/2011 8:34pm

 

KANGAR 7 April – Seorang penganggur dihukum penjara 13 tahun dan sebatan tiga kali sementara seorang remaja dipenjarakan sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah merogol seorang pelajar secara bergilir-gilir, empat tahun lalu.

Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad menjatuhkan hukuman terhadap remaja terbabit yang ketika kejadian berusia 16 tahun dan tidak bersekolah berdasarkan peruntukan Seksyen 83C Akta Kanak-kanak 2001.

Dia kini yang berusia 20 tahun dan rakannya, Mohd. Hafis Halim, 26, didakwa merogol anak yatim itu pada pukul 4 pagi, 27 Jun 2007 dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Pada hari tersebut, mangsa yang selesai bekerja di sebuah restoran di Kuala Perlis pada pukul 2 pagi diajak oleh rakan lelakinya untuk menumpang kereta yang dinaiki kedua-dua tertuduh itu yang tidak dikenalinya.

Pada mulanya mangsa enggan tetapi setelah dipujuk oleh rakannya, dia bersetuju menaiki kenderaan itu sebelum dibawa bersiar-siar selama dua jam termasuk ke Padang Besar.

Selepas itu mangsa dirogol bergilir-gilir dalam kenderaan itu di tempat letak kereta di hadapan Pusat Konvensyen dan Rekreasi Semarak, Jalan Padang Golf Putra, di sini, sambil diperhatikan rakan lelakinya.

Bagaimanapun rakan lelaki tersebut tidak terlibat dalam jenayah itu yang dilaporkan oleh mangsa kepada polis pada keesokan harinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Aisyaf Falina Abdullah memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal.

“Kes ini mempunyai saksi utama iaitu rakan lelakinya selain mangsa juga mengalami trauma yang teruk akibat kejadian sehingga terpaksa dipujuk hadir ke mahkamah,” katanya.

Selain itu, menurut beliau, kedua-dua tertuduh terutama Mohd. Hafis sering tidak menghadiri prosiding dan melengah-lengahkan perbicaraan sehingga berlanjutan selama dua tahun.

Menurut Aisyaf Falina, tertuduh juga sering memberi pelbagai alasan sehingga sanggup menipu mahkamah dan bersembunyi dalam rumah kerana tidak mahu menghadiri perbicaraan. – Utusan

 

Guru wanita patah hidung ditumbuk pelajar – Bernama


Guru wanita patah hidung ditumbuk pelajar

2011/04/07

KANGAR: Seorang guru wanita sebuah sekolah menengah di Bukit Ketri dekat sini patah hidungnya apabila ditumbuk oleh seorang pelajar lelaki sekolah itu hari ini.

Jurucakap Jabatan Pelajaran Perlis berkata, seorang pelajar tingkatan dua dikatakan menumbuk muka guru berkenaan, Mariati Mat Ail, 37, semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan sekumpulan pelajar di hadapan sebuah kelas.

“Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari semasa waktu pertukaran kelas, guru berkenaan sedang melalui koridor sekolah apabila beliau ternampak pergaduhan itu dan cuba meleraikannya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) hari ini.Mariati dibawa ke HTF untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Menurut jurucakap itu, Mariati dipercayai cuba mengajak pelajar berkenaan ke bilik disiplin untuk dikenakan tindakan disiplin kerana bergaduh namun secara tiba-tiba pelajar tersebut menumbuk muka beliau menyebabkan hidungnya patah dan berdarah.

Beliau mendakwa, pelajar itu pernah digantung sekolah kerana masalah disiplin tetapi dibenarkan meneruskan semula persekolahannya di sekolah sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Dros, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, laporan pertama oleh guru wanita itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Satu laporan lagi dibuat oleh seorang pelajar tingkatan satu yang mendakwa beliau ditendang oleh pelajar yang sama dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. – BERNAMA

 

Syarikat insurans setuju pulang RM12,986.60 kepada lima guru – Utusan Malaysia


Syarikat insurans setuju pulang RM12,986.60 kepada lima guru

TERPEDAYA! Pada mulanya, mereka ditawarkan peluang pelaburan dalam bon didakwa diurus oleh Uni.Asia Life Assurance Bhd. (Uni.Asia) iaitu anak syarikat DRM-HICOM Bhd., tetapi selepas pembayaran sebanyak RM12,986.60 dibuat, rupa-rupanya ia adalah caruman bagi polisi insurans.

Lebih malang lagi, kelima-lima guru sekolah menengah dari Bachok berusia 40-an itu mendakwa turut diperdaya oleh ejen syarikat terbabit apabila terpaksa membayar caruman sehingga 25 tahun berbanding tempoh dinyatakan hanya 10 tahun.

Akibat tidak berpuas hati dengan penipuan ejen tersebut, kelima-lima guru terbabit memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini bagi menuntut kembali wang yang telah ‘dilaburkan’.

Dalam prosiding di hadapan Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak, ‘mangsa’ pertama, Sakinah Yahya memberitahu, dia telah didatangi seorang ejen syarikat insurans terbabit pada Ogos tahun lalu yang memberitahu DRB-HICOM, telah mengeluarkan bon bernilai RM20,000 dengan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

”Ejen itu menawarkan kepada saya membeli bon tersebut yang dakwanya diuruskan oleh Uni.Asia dengan bayaran secara ansuran dan saya memilih membayar tunai sebanyak RM1,200 selama enam bulan pertama,” katanya.

Bagaimanapun dakwanya, selepas tiga bulan, dia mendapati ia bukannya dana pelaburan tetapi polisi insurans nyawa yang jika diketahui, awal-awal lagi dia akan menolaknya kerana telah mempunyai polisi insurans lain.

”Saya juga kesal kerana telah mengajak suami yang menghidap sakit buah pinggang dan kawan-kawan lain turut serta ‘melabur’ kerana menyangka ia telus,” ujarnya yang mengemukakan tuntutan wang RM2,616.20 dipulangkan kepadanya selain wang RM2,701 milik suaminya, Mat Yassin M. Noor.

Turut mengemukakan tuntutan ialah Norzaharani Awang membabitkan bayaran sebanyak RM2,534.20, Zaiton Kadir (RM2,571.50) dan Syarifah Awang (RM2,563.70).

Reihana bagaimanapun menegur tindakan kumpulan guru terbabit yang bersetuju menyerahkan sejumlah wang kepada ejen syarikat insurans berkenaan walaupun tidak mengetahui status dan kesahihannya.

”Sebagai golongan profesional, adalah wajar kalian menyemak serta mendapatkan kesahihan mengenai pelaburan yang ditawarkan itu sebelum menyerahkan wang dan bersetuju menyertainya,” katanya.

Syarikat Uni.Asia yang enggan memanjangkan kekeliruan bagi menjaga nama baiknya, bagaimanapun bersetuju memulangkan kesemua wang yang dituntut dalam tempoh 30 hari sebagaimana diputuskan oleh tribunal.

Wakil syarikat itu juga memaklumkan bahawa bon tersebut memang dikeluarkan oleh DRB-HICOM tetapi ia telah ‘dipergunakan’ oleh ejen terbabit semata-mata untuk menarik pelanggan.

 

4 pelajar ‘hilang’ ditemui di KL – Utusan Malaysia


4 pelajar ‘hilang’ ditemui di KL

 

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

 

SHAFIEN Mamat (kanan) memberi nasihat kepada empat remaja yang ditemui semula ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, semalam.


 

NIBONG TEBAL 6 April – Kurang 24 jam dilaporkan hilang selepas ke sekolahnya dekat sini, pagi semalam, empat pelajar perempuan termasuk dua-beradik ditemui di sebuah hotel bajet di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pasangan adik-beradik itu, Beh Chin Yuan, 15, dan Beh Ee Xuan, 14, dipercayai hilang bersama dua rakan karib mereka iaitu Ong Shi Nee dan Soon Shi Xian, masing-masing berusia 15 tahun selepas keluar untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Mutiara di Simpang Ampat dekat sini.

Pelajar itu ditemui selepas salah seorang menghubungi ibu bapanya malam tadi dan memaklumkan yang mereka berada di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, remaja terbabit menghubungi ibu bapanya selepas terbaca mengenai berita kehilangan mereka di dalam sebuah akhbar berbahasa Cina malam tadi.

“Ibu bapa mereka yang bimbang sesuatu yang buruk berlaku kepada anak masing-masing segera ke Kuala Lumpur sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira pukul 4 pagi ini.

“Tindakan pantas media yang cepat menyalurkan maklumat bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak polis berjaya menemui remaja terbabit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Laporan kehilangan empat remaja terbabit dibuat di Balai Polis Komuniti Bandar Tasek Mutiara sebelum satu lagi laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS pukul 3.30 petang semalam, selepas mereka didapati tidak berada di sekolah walaupun dilihat keluar dari rumah dengan uniform sekolah.

Keempat-empat remaja terbabit juga meninggalkan nota serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa mereka akan ‘pergi jauh’ selain meminta supaya keluarga masing-masing tidak bimbang.

Tambah Shafien, siasatan mendapati kesemua mereka ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari Simpang Ampat untuk berjalan-jalan dan menggunakan alasan mahu mencari kerja kerana bimbang dimarahi ibu-bapa masing-masing.

“Mereka tiba ke Kuala Lumpur petang semalam dan sejurus tiba terus bersiar-siar sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang.

“Saya harap para remaja tidak bertindak sedemikian kerana bimbang ia ada kaitan dengan mana-mana kes culik atau sindiket tertentu yang melibatkan remaja,” ujarnya.

 

Guru sepatutnya bentuk sahsiah – Jamil Khir – Bernama


Guru sepatutnya bentuk sahsiah – Jamil Khir

KUALA LUMPUR 6 April – Guru di sekolah-sekolah agama sepatutnya membentuk sahsiah murid menjadi insan berguna bukannya bertindak sendiri menghukumnya dengan kejam sehingga menyebabkan kematian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, di zaman kegemilangan tamadun ketika ini, kes mencederakan murid tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh diguna pakai.

Beliau diminta mengulas kejadian Jumaat lalu apabila Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid Sekolah Rendah Islam Al-Furqan yang meninggal dunia Ahad lepas setelah koma sejak Jumaat akibat dipukul selepas disyaki mencuri oleh ustaz berusia 26 tahun.

Jamil Khir berkata, kes itu akan disiasat secara lengkap dan mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.

“Saya terbayangkan keadaan adik Saiful ketika itu, yang sakit dipukul dengan tiada peluang untuk melarikan diri, begitu berat ketakutan yang ditanggungnya.

“Sepatutnya, kanak-kanak dalam usia begitu perlu dipelihara bukan dipukul dengan teruk walaupun melakukan kesalahan. Kerana umurnya terlalu muda untuk diperlakukan sedemikian,” katanya selepas menerima cek zakat daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Terdahulu, TNB menyerahkan cek zakat perniagaan bernilai RM584,929.97 kepada Jamil Khir yang mewakili Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di bawah Majlis Agama Wilayah Persekutuan untuk tahun 2010.

Pada 2009, TNB membayar RM159,525.48 kepada PPZ dengan rekod pembayaran sejak 1997 hingga 2010 mencecah RM6,435,123.43.

Ditanya mengenai video aksi seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan pembangkang, Jamil Khir berkata pihaknya kini menunggu kes itu selesai disiasat. – BERNAMA

 

Pelajar maut elak nangka atas jalan – Berita Harian


Pelajar maut elak nangka atas jalan

2011/04/07

BACHOK: Akibat hendak mengelak sebiji nangka gugur atas jalan, seorang pelajar maut, selepas motosikal dibonceng bersama rakannya merempuh sebuah pokok, di Kampung Seneng, Jelawat, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Anuar Ali, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelawat, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala rakannya, Mohd Azrizal Azlan, 15, yang menunggang motosikal itu, cedera pada di kening.

Ibu mangsa, Rohimah Abdullah, 57, berkata sebelum kejadian, anak bongsu daripada sembilan beradik itu bersama rakan baru menikmati mi rebus di Kampung Seneng dan membonceng bersama rakannya untuk pulang ke rumah di Kampung Cabang Tiga Bator, dekat sini.Katanya, ketika dalam perjalanan itu, Mohd Azrizal cuba mengelak sebiji nangka yang tiba-tiba gugur di atas jalan, menyebabkan motosikal ditungganginya bersama mangsa terbabas sebelum merempuh sebatang pokok berhampiran jalan kampung itu.

“Akibat rempuhan kuat itu, arwah yang membonceng, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Mohd Azrizal mengalami kecederaan di kening dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian,” katanya.

“Kebiasaannya, setiap kali selesai waktu persekolahan, arwah anak bongsu itu akan tiba ke rumah jam 3 petang, namun kelmarin, saya terkejut menerima berita malang itu dari seorang rakan arwah jam 3.20 petang, lalu bergegas bersama suami, Ali Abdul Rahman, 65, ke tempat kejadian dan melihat arwah ketika itu dalam keadaan tenat sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam/Trafik Negeri, Superintendan Azli Md Nor, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.

 

‘Dakwa segera suspek kes Saiful’ – Berita Harian


‘Dakwa segera suspek kes Saiful’
Oleh Adha Ghazali dan Shaarani Ismail
bhnews@bharian.com.my
2011/04/07

KETUA Wanita Umno Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin (tengah) melawat Hazirah (dua dari kiri) di rumahnya di Arau, semalam.

KETUA Wanita Umno Arau, Datuk Mastika Junaidah Husin (tengah) melawat Hazirah (dua dari kiri) di rumahnya di Arau, semalam.

Ibu angkat budak maut dibelasah guru sekolah agama harap perbicaraan dipercepat

KANGAR: Ibu angkat murid Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee yang mati selepas dipukul guru sekolah agama persendirian di Jejawi dekat sini, Ahad lalu, mahu kes itu diselesaikan segera.

Hazirah Chin, 38, juga mahu suspek yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pelajar itu dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.“Pemergian Saiful Syazani yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ustaz Saiful’ amat memilukan, apatah lagi bagi saya dia sudah kami anggap seperti keluarga dan seolah-olah anak sendiri yang tiada bezanya dengan empat anak kandung saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan, Saiful Syazani tinggal bersama keluarga Hazirah di Kampung Hutan Buluh, Jejawi, selepas kematian ibu kandungnya, Jahiyah Che Amat, sejak enam tahun lalu.

Dalam pada itu, polis kini dalam proses akhir menyiapkan kertas siasatan berhubung kes Saiful Syazani.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, berkata kertas siasatan kes sudah siap, tetapi ada beberapa pindaan yang perlu dilakukan untuk membantu memantapkan lagi kes pendakwaan.
“Saya tidak dapat ulas mengenai lebih kerana khuatir akan mengganggu siasatan, apatah lagi dalam keadaan kes yang dianggap kontroversi.

“Saya yakin pindaan ke atas kertas siasatan akan selesai selewat-lewatnya dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. Selepas itu kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk dipertimbangkan, sebelum pendakwaan dibuat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, polis mengesahkan kematian Saiful Syazani berpunca daripada ‘hypoxic seculae’ atau kekurangan oksigen pada otak yang disebabkan oleh tekanan benda lembut pada leher.

Di KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyuarakan rasa kesal dengan kematian Saiful Syazani dan menyifatkan kejadian menimpanya kejam dan tidak berperikemanusiaan, selain bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia khususnya mengikut Artikel 37 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC).

Justeru, Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam, memohon semua pihak supaya menghormati dan mengulangi desakan terhadap kerajaan untuk menguatkuasakan Akta Kanak-kanak 2001 dalam memastikan perlindungan dan pembangunan yang khusus dalam memastikan perkara itu tidak lagi berlaku.

 

Guru BI sorok ganja dalam rumah ditahan – Berita Harian


Guru BI sorok ganja dalam rumah ditahan

2011/04/07

KUALA TERENGGANU: Seorang (BI) guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah agama di Ladang, di sini ditahan selepas polis menemui ketulan mampat dipercayai ganja seberat 371 gram ketika serbuan di rumahnya di Jalan Hiliran di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, guru berusia 40 tahun berada di dalam bilik tidurnya dan pemeriksaan badan yang dibuat terhadapnya menemui wang tunai RM3,250 dalam genggaman tangannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata pemeriksaan dalam bilik menemui dua kotak yang di dalamnya terdapat ketulan mampat disyaki ganja.Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati suspek adalah seorang penagih dan pemeriksaan ujian air kencing mendapati bapa kepada tiga anak itu positif ganja.

“Kita menganggarkan nilai dadah yang dirampas sebanyak RM2,000 dan polis tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan pelajar sekolah sebagai sasarannya untuk menjual barang terlarang ini,” katanya.

 

Budak pengsan setengah jam digigit semut api – Berita Harian


Budak pengsan setengah jam digigit semut api

2011/04/07

 CHING  ditemani  Git Hoi  menunjukkan kesan merah akibat digigit semut api di rumahnya di Kampung Melayu, Air Itam.

CHING ditemani Git Hoi menunjukkan kesan merah akibat digigit semut api di rumahnya di Kampung Melayu, Air Itam.

GEORGETOWN: Hanya disebabkan gigitan semut api, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dari Kampung Melayu, Air Itam di sini, dimasukkan ke hospital selepas pengsan dan timbul tanda kebiruan di muka dan bibir, Isnin lalu.

Pires Ching dikatakan digigit semut di sikunya pada jam 5.45 petang ketika melalui kawasan berhampiran rimbunan buluh berdekatan rumah datuknya, Ching Git Hoi, 63, dan tidak sedarkan diri kira-kira setengah jam.

Dia yang dimasukkan ke hospital, turut diberi bantuan pernafasan kerana tekanan darah rendah dan menerima lebih 10 suntikan sebelum beransur pulih. Dia dibenarkan keluar, pagi semalam.Git Hoi yang ditemui di rumahnya semalam, berkata Ching digigit semut tiga kali di bahagian siku kiri ketika dalam perjalanan pulang dari kebun sayur yang terletak berdekatan anak sungai di belakang rumahnya.

Sebaik pulang, Ching mengadu rasa sakit dan keluarganya mengesan tiga kesan gigitan yang merah.

“Saya kemudian membawanya ke bilik air untuk membersihkan diri. Beberapa minit kemudian, muka cucu saya kebiruan dan bibirnya kehitaman. Tidak lama selepas itu dia pengsan,” katanya Ching kemudian dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta.

Git Hoi berkata, doktor memaklumkan cucunya terkena virus semut akibat daripada gigitan itu.
Saya tidak menyangka gigitan semut boleh menyebabkan perkara sebegini berlaku kepada cucu saya,” katanya.

 

4 anjing peniaga baham telinga murid – Berita Harian


4 anjing peniaga baham telinga murid
Oleh Ahmad Othman
bhjb@bharian.com.my
2011/04/07

pix_gal0

Rafiq diserang ketika melewati rumah jiran

KOTA TINGGI: Telinga seorang murid Tahun Tiga hampir putus dan terpaksa dikenakan 30 jahitan selepas diserang empat ekor anjing dalam satu kejadian dekat rumahnya di Kampung Panti di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Muhammad Rafiq Abdul Rashid (atas) hanya mampu menutup muka dan meraung kesakitan sambil menjerit meminta bantuan.Kejadian berlaku ketika Muhammad Rafiq dan adik kembarnya, Muhammad Rafie berjalan kaki tidak jauh dari rumah mereka.

Ketika melewati rumah seorang peniaga ikan, secara tiba-tiba empat ekor anjing yang dipelihara di situ terlepas daripada kediaman itu sebelum bertindak mengejar pasangan adik beradik terbabit.

Menyedari bahayanya, pasangan kembar itu cuba lari menyelamatkan diri, namun nasib malang menimpa Rafiq apabila dia jatuh tersembam di atas jalan raya sebelum pantas dikerumuni empat anjing terbabit.

“Sejurus terjatuh, saya hanya mampu menekup muka saya dengan kedua-dua belah tangan sambil meraung kesakitan apabila anjing terbabit mula menggigit tubuh badan termasuk telinga.
“Nasib baik adik saya (Rafie) sempat mendapatkan bantuan penduduk kampung yang berjaya menghalau anjing itu daripada terus mengerumuni saya sebelum menghantar saya ke hospital dalam keadaan berlumuran darah,” kata Rafiq yang terpaksa dirawat di Hospital Kota Tinggi selama tiga hari.

Rafiq ditemui di rumahnya, semalam, ketika diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba; Naib Ketua UMNO bahagian Tenggara (UBT), Suhaimi Khalid dan Ketua Wanita UMNO bahagian itu, Datin Salasiah Idris.

Bapa mangsa yang juga bekas tentera, Abdul Rashid Ibrahim, 55, berkata ketika kejadian beliau berada di Melaka kerana menghadiri satu kursus dan bergegas pulang sejurus dimaklumkan kejadian itu.

“Akibat serangan anjing itu, anak saya terpaksa menerima kira-kira 30 jahitan di seluruh tubuh, termasuk bagi menyambung telinga kanan yang terkoyak.

“Pemilik anjing itu ada mengunjungi anak saya di hospital dan semasa anak saya membuat laporan polis, dia berjanji akan membiayai segala kos perubatan sehingga sembuh,” katanya.