KUALA LUMPUR: Mungkin hanya satu daripada 1,000 kes dera kanak-kanak di negara ini membabitkan pihak ketiga, iaitu penjaga atau guru yang sepatut menjadi pelindung terakhir ketika anak-anak diserahkan kepada mereka.
Bukan jumlah atau bagaimana sesuatu kes itu berlaku yang perlu dipersoalkan sebaliknya mengapa masih ada pihak yang sanggup memperlakukan kanak-kanak seperti barang mainan dan memukul tubuh kecil itu hingga kehilangan nyawa.
Kejadian terbaru yang mengorbankan murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Perlis, Saiful Syazani Saiful Sapfidee, 7, yang meninggal 3 April lalu selepas tiga hari koma akibat dibelasah gurunya seharusnya menjadi insiden terakhir membabitkan penjaga atau golongan pendidik.
Presiden Permuafakatan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, pihaknya terkilan dengan apa yang berlaku, tambahan pula berlaku di sekolah agama yang sepatutnya menjadi teladan dan pelindung kepada anak-anak.
“Hari ini ia membabitkan sekolah bukan kerajaan dan tidak kiralah di mana saja ia berlaku, pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Kejadian seperti itu boleh dielakkan jika guru terbabit benar-benar terlatih kerana jika dinilai dengan apa yang berlaku, tindakannya lebih kepada emosi dan hukuman yang diberikan pula tidak wajar,” katanya.
Menurutnya, guru sekolah bantuan kerajaan biasanya lebih profesional dan tidak bertindak melulu, jadi timbul persoalan guru yang mengajar berkelayakan atau sebaliknya.
“Seorang guru seharusnya mendapatkan pandangan guru lain dan bukannya mengambil tindakan sendiri. Saya melihat insiden itu berlaku apabila seorang guru yang sepatutnya mempunyai minat mendidik menghadapi kerenah anak-anak dengan sabar, hilang minat dengan perjuangan mereka.
Mohamad Ali juga berharap PIBG sekolah berkenaan lebih peka dan proaktif terhadap perkembangan pelajar di sekolah berkenaan.
“Saya percaya sekolah berkenaan mempunyai PIBG dan berharap mereka sentiasa bersama dengan menyertai seminar atau program yang dianjurkan.
“Kita sedia memberi maklumat atau garis panduan jika diperlukan tetapi PIBG sekolah haruslah tampil ke hadapan dalam mencari maklumat dan mendapatkan panduan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Azlina Abu Bakar, berkata tindakan guru berkenaan bergantung kepada beberapa faktor antaranya ialah berhumanisasi di mana pelaku mungkin beranggapan tindakannya itu satu keperluan dan bukannya satu kesalahan.
“Mungkin dia berasa tindakan kerasnya itu satu perbuatan yang betul dan dibenarkan, tambahan pula dia adalah seorang guru.
“Satu lagi ialah mungkin persepsi pelaku terhadap kejadian yang dilaporkan kepadanya kerana dia mungkin menganggap kejadian itu sebagai sesuatu yang negatif,” katanya.