 |
Sairin (duduk, lima dari kanan) bersama pemimpin masyarakat mukim Liawan dan Luagan. |
10th April, 2011KENINGAU: Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia disaran menyediakan lebih banyak kemudahan asrama desa di daerah ini, bagi menampung keperluan pelajar luar bandar yang semakin bertambah setiap tahun.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sairin Karno, berkata kemudahan itu adalah sebagai tambahan kepada asrama sedia ada khususnya di sekolah menengah di luar bandar.
Katanya, berdasarkan kepada permintaan ibu bapa, supaya kemudahan itu disediakan di beberapa sekolah yang mempunyai pelajar yang jauh dan tidak berkemampuan berulang-alik setiap hari.
Justeru itu, Sairin berkata dengan adanya kemudahan asrama desa di sekolah menengah dan sekolah rendah akan meringankan beban ibubapa untuk membiayai sewa pengangkutan bas ke sekolah, terutama keluarga pelajar tidak berkemampuan.
“Kemudahan ini amat kurang diberi perhatian, menyebabkan sebahagian ibu bapa terpaksa menanggung kos sewa kenderaan yang akan menghantar anak ke sekolah dan sudah tentu ini membebankan jika ramai anak yang sedang bersekolah,” katanya selepas mengadakan sesi dialog dengan pemimpin masyarakat mukim Bariawa dan Luagan dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Pemimpin Kemajuan Rakyat Liawan, Rosdi Padiman; Ketua Mukim Bariawa, Robert Gujin dan Pemaju Mukim, Abidin Darus.
Katanya, bagi sekolah rendah hanya sebuah asrama desa sudah beroperasi di Sekolah Kebangsaan Bunga raya daripada 72 sekolah rendah di daerah ini dan sebahagian besar sekolah terletak jauh dari kawasan bandar.
Pada masa sama, katanya kemudahan asrama sedia ada juga tidak mencukupi untuk menampung jumlah pelajar, dari luar bandar yang melanjutkan pelajaran dan memerlukan kemudahan asrama.
“Saya yakin jika kemudahan asrama desa dibina di sekolah-sekolah yang dikenalpasti mempunyai murid dan pelajar yang berjalan kaki, menyewa bas melebihi jarak 25 kilometer, adalah layak tinggal di asrama, oleh sebab itu kemudahan ini perlu ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Sairin menggesa pemimpin masyarakat, ibu bapa supaya sentiasa mendorong anak belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mendapatkan kemudahan asrama, untuk memastikan tidak ada berlaku keciciran pelajar luar bandar dari arus pembangunan pendidikan.
Terdahulu, dalam sesi dialog itu, Sairin meminta pemimpin masyarakat membantu penduduk dengan mengemukakan permasalahan mengikut saluran yang tepat termasuk menyediakan kertas kerja lengkap dalam setiap permohonan dan laporan.
Katanya, tugas perlu dijalankan dengan amanah, ikhlas dan sentiasa menyatupadukan rakyat untuk sama-sama berusaha memajukan kampung tanpa mengharapkan bantuan kerajan semata-mata.
“Selain mengambil perhatian berhubung masalah penduduk terutama kemudahan pembangunan, pemimpin juga berperanan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang boleh diatasi melalui kerjasama penduduk,” katanya.
Lebih 30 pemimpin masyarakat hadir dan mengambil bahagian dalam sesi itu. Antara masalah yang dikemukakan ialah masalah lampu jalan yang tidak berfungsi, jalan raya, balai raya, air dan kemudahan asas yang masih belum dapat dinikmati hingga kini.
Sairin dalam ucapan balasnya memberi jaminan akan mengemukakan masalah itu kepada pihak berkenaan untuk perhatian dan kelulusan kerajaan. Pada masa sama menggesa pemimpin masyarakat supaya terus melaksanakan tanggungjawab menjadi pengantara antara penduduk, pemimpin dan kerajaan.
Dalam pada itu, berhubung masalah lampu jalan, Sairin meminta penduduk membuat laporan bertulis kepada pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd untuk tindakan selanjutnya.
“Saya minta pihak berkenaan bekalan api elektrik ini, memantau kawasan lampu jalan di kawasan kampung yang tidak berfungsi untuk diperbaiki untuk kemudahan awam, ini adalah peranan semua pihak untuk kesejahteraan bersama.
“Saya menggesa kepada semua pemimpin masyarakat yang telah diberi kepercayaan supaya terus berusaha memberi penerangan dasar kerajaan dan sentiasa menjalankan tugas dengan amanah, ikhlas dan cergas mengurus tadbir kampung masing-masing,” katanya. |