Insentif Tawaran Baru Perlu Dikongsi Bersama – NUTP – Bernama


Selasa April 12, 2011
Insentif Tawaran Baru Perlu Dikongsi Bersama – NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu pengetua, guru besar dan guru cemerlang yang menerima Insentif Tawaran Baru di bawah Program Transformasi Kerajaan agar berkongsi ganjaran itu bersama seluruh warga pendidik dan kakitangan sokongan di sekolah masing-masing.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata ganjaran insentif itu tidak patut digunakan secara individu.

“Saya khuatir jika guru yang tidak dapat insentif ini meluahkan rasa tidak puas hati mereka sekaligus boleh mendatangkan masalah kepada sekolah.

“Oleh itu saya berharap insentif yang diterima guru besar dan pengetua sekolah terpilih itu dapat dikongsi bersama dengan warga pendidik dan staf bukan pendidik supaya masalah ketidakpuasan hati di kalangan mereka tidak timbul,” katanya kepada Bernama.

Hashim diminta mengulas tentang keputusan kerajaan memberikan ganjaran Tawaran Baru kepada guru besar yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah yang merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu baru-baru ini berkata seramai 586 guru besar atau pengetua sekolah di seluruh negara akan menerima ganjaran Tawaran baru tersebut.

Di bawah tawaran berkenaan, setiap guru besar yang terpilih menerima insentif sebanyak RM7,500 diikuti lima peratus guru terbaik yang menerima RM1,800 manakala sebanyak RM900 untuk guru-guru lain sebanyak 12,141 orang.

Hashim yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Ramai di Air Tawar, Perak berkata pemberian insentif itu dilihat diberi mengikut gred walaupun setiap warga pendidik di sekolah turut memainkan peranan dalam memantapkan prestasi sekolah mereka.

“Ia sepatutnya diberikan secara sama banyak kerana semua guru mengajar di sekolah yang sama. Jika insentif diberikan kepada guru tertentu sahaja mungkin ada guru lain yang sakit hati,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyarankan Kementerian Pelajaran mewujudkan satu garis panduan berhubung cara agihan insentif itu supaya dapat diagihkan secara adil kepada semua warga pendidik di sekolah berkenaan termasuk staf bukan pendidik.

Seorang guru sebuah Sekolah Kebangsaan yang enggan dikenali turut bersetuju dengan pendapat Hashim bahawa pemberian Insentif Tawaran Baru itu harus dikongsi bersama dan bukan dinikmati secara individu.

“Tidak berbaloi jika ganjaran ini diberikan kepada guru besar dan pengetua sahaja kerana mereka hanya terlibat di bahagian pentadbiran sebaliknya guru-guru yang memainkan peranan mendidik pelajar.

“Sepatutnya pemberian insentif ini harus dikongsi satu sekolah dan bukannya untuk individu,” katanya. -BERNAMA

 

Dua remaja maut motosikal bertembung – Berita Harian


Dua remaja maut motosikal bertembung

2011/04/12

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut apabila motosikal mereka berlanggar antara satu sama lain di Jalan Kampung Padang Nanas, Bukit Rakit dekat sini malam tadi.

Mereka ialah Muhammad Arieff Hamzah, 17, dari Kampung Buluh Gading dan Mohd Azmizi Aziz, 24, dari Kampung Padang Nanas.

Muhammad Arieff adalah pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Tengku Mizan di Batu Rakit.Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin, berkata dalam kemalangan jam 10.40 malam itu, Mohd Azmizi dikatakan secara tiba-tiba menunggang keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Padang Nanas lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Arieff.

“Ketika itu Muhammad Arieff dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit setelah selesai menghadiri kelas tuisyen di Kampung Wakaf Tengah. Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

 

Suspek culik dua gadis sunti direman seminggu – Harian Metro


Suspek culik dua gadis sunti direman seminggu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengeluarkan perintah reman selama seminggu terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa menculik dua beradik perempuan termasuk mengadakan hubungan seks dengan seorang daripada mereka yang berusia 14 tahun.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Datin Chan Lee Fong bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah dengan kenderaan polis kira-kira jam 10 pagi, sebelum dibawa masuk ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintah reman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

 

“Suspek juga didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
“Kes ini akan disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan IPD Pendang kerana kejadian melarikan kedua-dua gadis itu berlaku di sini, manakala perbuatan rogol itu didakwa berlaku di Pendang.
“Polis akan melengkapkan kertas siasatan kes ini sebelum mengemukakannya kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut,’’ katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

 

 

Semalam Harian Metro melaporkan dua beradik perempuan berumur 13 dan 12 tahun bukan saja melalui detik mencemaskan apabila dilarikan seorang lelaki lebih 17 jam, malah seorang daripada mangsa dipercayai dirogol sebelum diselamatkan bapa mereka keesokan harinya.
Sebelum kejadian culik itu, kedua-dua mangsa berjalan untuk pergi ke sebuah kedai berhampiran rumah mereka di Kampung Perepet, Kota Sarang Semut, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin apabila didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna perak.

Lelaki itu menarik tangan kedua-dua mangsa masuk ke dalam keretanya dan melarikan mereka ke Yan untuk menemui rakan suspek.
Mangsa merayu suspek supaya menghantar mereka pulang, bagaimanapun suspek enggan berbuat demikian sebaliknya suspek membawa mangsa meronda-ronda sekitar pantai di Kuala Sala dan Pendang.
Difahamkan seorang daripada mangsa dirogol suspek ketika mereka berhenti tidur di dalam kereta di Tokai, Pendang.
Bagaimanapun, dua beradik itu diselamatkan bapa mereka yang melihat kelibat dua anaknya dalam kereta dipandu suspek di Simpang Empat, Kuala Sala pada jam 10 pagi kelmarin, ketika mencari mereka dengan menunggang motosikal.

 

 

125 sekolah dapat Didik percuma – Berita Harian


125 sekolah dapat Didik percuma
Oleh Halina Mohd Noor

2011/04/12

Program NSTP-Dutch Lady bantu tingkat pendidikan murid luar bandar

RAWANG: Sejumlah 300,000 akhbar sisipan Didik diedarkan ke 125 sekolah luar bandar di seluruh negara setiap minggu dari April hingga November ini sebagai kaedah pembelajaran lebih interaktif dan ceria.

Pengedaran itu ditaja peneraju pengeluar susu utama negara, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) sebagai satu daripada program NSTP-Dutch Lady@School yang dijalankan dengan kerjasama The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Program dikelolakan dalam bahasa Melayu itu turut merangkumi aktiviti Kem Gaya Hidup Sihat Milk Camp separuh hari di lapan lokasi dan dua peraduan yang dianjurkan menerusi Didik bermula April dan September ini yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.Pengurus Jualan Dutch Lady Malaysia, Sharon Tan, berkata sekolah terpilih menerima 50 naskhah Didik setiap minggu yang turut dimuatkan segmen Dutch Lady dengan pembaca didedahkan kebaikan khasiat susu dan tip menarik bagi setiap mata pelajaran.

“Ada juga peraduan dan aktiviti pendidikan supaya pembaca boleh mengambil bahagian dalam projek usaha sama ini. Apa yang menarik, pembaca Didik berpeluang menyertai kem pendidikan cuti sekolah anjuran Berita Harian bersama Dutch Lady.

“Sekolah yang menang peraduan berpeluang melawat sambil belajar ke ladang ternakan terpilih Dutch Lady. Selain itu, pertandingan antara sekolah, Who’s The Genius? National Challenge 2011 turut dianjurkan di seluruh negara,” katanya pada majlis penyerahan Didik di Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya di sini, semalam.

Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainur Said; Penolong Pengarah Daerah Bahasa Melayu, Ketua Sektor Akademik, Hamidah Abdul Samad; Pengarah Perhubungan Korporat Dutch Lady Milk Industries Berhad, Francis Huang dan guru besar sekolah berkenaan, Hasim Saleh.
Sharon berkata, kerjasama Dutch Lady Malaysia bersama Didik, akhbar sisipan pendidikan di Berita Harian yang dikeluarkan Kumpulan NSTP adalah tindakan terbaik dan sesuai dalam usaha dua syarikat besar menyumbang kepada pembangunan kanak-kanak khususnya di luar bandar.