Pelajar Tingkatan Empat Hilang Selepas Ke Sekolah – Bernama


Pelajar Tingkatan Empat Hilang Selepas Ke Sekolah

PUTRAJAYA: Seorang pelajar perempuan, Nur Atiqah Tajuddin, 16, yang ke sekolah pada petang Jumaat lepas untuk menghias kelas tidak pulang ke rumahnya di Presint 9 sehingga hari ini.

Ibunya Roslinda Karim, 46, berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya, ketika beliau pulang ke rumah pada waktu rehat hari yang sama sebelum kembali ke tempat kerja di sebuah kementerian di sini pada pukul 2 petang.

“Selepas Nur Atiqah tidak pulang ke rumah petang itu, saya hubungi rakannya yang sama-sama ke sekolah dan diberitahu anak saya sudah keluar dari sekolah dan ke perhentian bas berhampiran untuk bertemu seorang lagi rakan perempuannya berusia 12 tahun yang dilaporkan turut hilang,” katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Roslinda berkata, Nur Atiqah, anak keempat daripada enam beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (1) tidak membawa telefon bimbit dan sebarang dokumen pengenalan diri.

Cubaan beliau menghubungi rakan Nur Atiqah yang dilaporkan hilang bersamanya juga gagal apabila telefon bimbit itu dijawab oleh invidividu tidak dikenali.

Roslinda berkata tiada perselisihan faham berlaku antara Nur Atiqah dengan anggota keluarganya.

“Anak saya berkulit hitam manis, tinggi 170cm, badan sederhana kurus, berambut pendek dan lurus berwarna perang. Saya merayu sesiapa yang menemuinya supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya yang membuat laporan polis pada Sabtu lepas. -BERNAMA

 

PIBG SMK Keningau mohon peruntukan bina dewan sekolah – New Sabah Times


PIBG SMK Keningau mohon peruntukan bina dewan sekolah

13th April, 2011KENINGAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau akan berusaha memohon peruntukan untuk membina dewan sekolah ini yang belum mempunyai dewan sehingga kini.

Yang Dipertua PIBG SMK Keningau Ahuar Rasam berkata, pihaknya akan menyatakan masalah itu kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Kita yakin Muhiyiddin dengan kapasitinya sebagai Menteri Pelajaran akan mempertimbangkan masalah itu kerana ia adalah keperluan yang mendesak bagi warga sekolah” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Anugearah Kecemerlangan Akademik 2010, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah itu kelmarin.

Pada masa ini katanya, sekolah terpaksa menggunakan gelanggang bola keranjang sebagai tempat perhimpunan semasa menjalankan aktiviti sekolah.

Ahuar yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pensiangan berkata SMK Keningau adalah satu-satunya sekolah menengah yang tidak mempunyai dewan di daerah ini.

Justeru itu katanya, PIBG sekolah ini meletakkan keperluan dewan sekolah sebagai keutamaan yang perlu diminta kepada pihak kementerian.

Dalam masa yang sama PIBG sekolah juga akan mengambil perhatian terhadap kekurangan kelas tingkatan enam di sekolah ini.

“Kita akan cuba kemukakan masalah ini kepada pihak kementerian untuk perhatian Menteri” katanya.

Terdahulu Ahuar menyampaikan anugerah kepada kepada pelajar-pelajar cemerlang PMR, SPM dan STPM 2010.

Penerima anugerah cemerlang PMR 2010 terdiri dari Nurul Nadiah Binti Samuin 8A, Deecruz Cladius 7A, Julita Johnny 6A,1B, Lily Yong 6A,1B, Malcolm Dexter Lunginus 6A,1B.

Sementara itu penerima anugerah SPM 2010 terdiri dari Muhajidah Binti Mujin, Cynt Marie Bonnie, Norwijaya Binti Gusra, Mohamad Nasuthion Makkasau, Elna Xavereen Micheal, Enna Mestika Binti Masinin dan Razilah Binti Maidin.

Manakala penerima anugerah STPM 2010 terdiri dari Adela Just, Izzawandy Dualis, Suzana Jinus, Suzienah Justine, Christoper Bush Singki dan Hassan.

Selain itu, sembilan pelajar PMR 2010 yang mendapat gred A dalam bahasa Inggeris turut menerima anugerah terdiri dari Nurul Nadiah Binti Samuin, Deecruz Cladius, Lily Yong, Malcolm Dexter Lunginus, Esteve Vahan Edwin, Ericster Ignatius, Nor Iffah Izyan Binti Zulkifle, Casey Gatinol dan Easter Gotuoh @ Agustine.

Sempena majlis itu Muhajidah Binti Mujin dan Adela Just masing-masing diumumkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan SPM danSTPM 2010 yang masing-masing menerima sebuah komputer riba.

Berucap sama di majlis itu, Pengetua SMK Keningau Puan Jemira Ekong yang menjelaskan kejayaan dan pencapaian sekolah dalam bidang kokurikulum.

Katanya, sekolah ini bukan sahaja mencipta nama dalam bidang kokurikulum di peringkat daerah tetapi ia turut melakar nama di peringkat negeri dan kebangsaan termasuk kejayaan merangkul johan seni silat peringkat negeri 2010 dan tempat ketiga silambamSUKMA XIII 2010 di Melaka.

 

Anak bongsu lesap – Harian Metro


Anak bongsu lesap

Oleh Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BOTA: “Su pergi mana? Pulanglah ke rumah… kami sekeluarga merindui Su,” rayu Mariam Isa, 54, kepada anak perempuan bongsunya, Suraidah Mokhtar, 16, yang dilaporkan hilang sejak Mac lalu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Datuk Abdul Rahman Yaacob itu menghilangkan diri sejak keluar dari rumah keluarganya di Kampung Lambor Kanan Pasir Sena, dekat sini, pada 23 Mac lalu.
Mariam berkata, beliau menyedari perubahan sikap Suraidah ketika cuti persekolahan selama seminggu, tapi tidak sangka anaknya bertindak demikian pada hari ketiga sesi persekolahan bersambung.

 

Katanya, Suraidah menjadi malas dan tidak berminat pergi ke sekolah berbanding sebelumnya sentiasa ceria serta suka ke sekolah.
“Saya ada bertanya sama ada dia mempunyai masalah peribadi atau di sekolah, tapi dia nafikan. Pada hari kejadian dia tidak pergi ke sekolah dan memberitahu mahu pergi ke Taiping.
“Tapi, dia tidak nyatakan tujuan pergi ke sana. Saya berasa tidak sedap hati dan melarangnya pergi. Namun dia berkeras untuk keluar rumah dan tidak pulang hingga kini,” katanya.

Mariam berkata, dia dan semua ahli keluarga tidak lena tidur dan gelisah memikirkan keselamatan diri Suraidah yang langsung tidak menghubungi mereka sejak keluar dari rumah.
Sehubungan itu, dia merayu kepada Suraidah supaya pulang ke pangkuan keluarga dan membantu melakukan persediaan perkahwinan kakaknya pada 23 April ini.

ariam meminta orang ramai yang mengenali dan mengetahui di mana Suraidah berada supaya menghubungi kakaknya, Rosnani di talian 013-4269100 ataupun abang iparnya, Anuar di talian 012-5500376.

 

 

Bomoh didakwa rogol pesakit – Utusan Malaysia


Bomoh didakwa rogol pesakit

KLANG 12 April – Seorang bomoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga tuduhan rogol dan dua tuduhan melakukan persetubuhan dengan memperdaya pesakit-pesakitnya, sejak tiga tahun lalu.

Meswan Tujut, 42, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut yang dibacakan kepadanya secara berasingan di hadapan Hakim Sharidah Awang dan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Dia didakwa merogol wanita berusia 21 tahun di sebuah rumah di Sungai Nibong, Sekinchan dekat sini pada pukul 8 malam, September tahun lalu.

Dia juga didakwa merogol dua mangsa lain, masing-masing berusia 13 dan 15 tahun di sebuah rumah di Sungai Udang, Klang di sini antara pukul 1 petang dan 3 petang, antara April dan Oktober 2008.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas dua tuduhan melakukan persetubuhan atas dasar kepercayaan terhadap wanita berusia 22 tahun dengan memperdayakan mangsa bahawa dia seorang bomoh.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 8.10 malam, 8 Mac dan 15 Mac lalu di dua tempat iaitu di sebuah rumah di Sungai Nibong, Sekinchan dan sebuah rumah lagi di Sungai Udang.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(f) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh mungkin boleh menggugat keselamatan mangsa dan memperdaya wanita-wanita lain.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dia dibenarkan jaminan.

Kedua-dua hakim tersebut tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 18 Mei ini.

 

Tiga bilik sekolah terbakar


Tiga bilik sekolah terbakar

 

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI
utusanperlis@utusan.com.my

 

KANGAR 12 April – Tiga buah bilik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, di sini rosak dalam kejadian kebakaran yang berlaku hari ini.

Kejadian berlaku sewaktu 120 pelajar sedang belajar bersebelahan dengan bilik yang terbakar itu pada pukul 1.50 petang.

Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah bilik stor sebelum ia merebak ke dua bilik lagi di tingkat satu sebuah blok sekolah yang menempatkan empat kelas untuk pelajar Tingkatan Tiga.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Nuzrin Nuiman berkata, stor yang terbakar itu dijadikan tempat penyimpanan peralatan sukan manakala dua lagi bilik digunakan untuk pengurusan sukan.

“Pelajar ternampak kepulan asap pada siling kelas mereka disebabkan kebakaran di bilik bersebelahan dan mereka memaklumkan kepada guru,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kesemua pelajar di tingkat satu sekolah tersebut diarahkan mengosongkan kelas masing-masing dan tiada kemalangan dilaporkan.

Nuzrin menjelaskan, hampir kesemua peralatan sukan seperti baju dan jersi sukan, kayu hoki dan barangan bantuan banjir yang disimpan di stor tersebut hangus manakala dua bilik pengurusan sukan itu mengalami kebakaran pada bahagian syiling.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Fadzil Haroon memberitahu, anggotanya dapat mengawal kebakaran di tiga buah bilik tersebut dalam tempoh 15 minit.

Katanya, punca kebakaran masih disiasat dan nilai kerugian belum diketahui.

 

Raja Zarith Sofiah lawat kanak-kanak istimewa – Berita Harian


Raja Zarith Sofiah lawat kanak-kanak istimewa

KULAIJAYA 12 April – Mereka mungkin kurang sempurna namun sebagai manusia, masih mampu merasai sentuhan dan menghargai perhatian yang diberikan.

Kunjungan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah ke Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal di Taman Saleng Indah di sini hari ini, cukup menggembirakan 207 penghuninya.

Keceriaan jelas terpancar di wajah mereka apabila baginda mencemar duli meluangkan masa beramah mesra selama kira-kira 30 minit.

Penghuni pusat berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum itu kemudiannya menerima hadiah daripada isteri Sultan Johor itu.

Dalam kunjungan itu, baginda turut menyerahkan kerusi roda sumbangan Mutiara Motors kepada Presiden Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor, V. Rajamanikam yang juga pengasas pusat tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robiah Kosai dan Pegawai Daerah Kulaijaya, Kamaruddin Abdullah.

 

Minat belajar dipupuk pada usia awal kanak-kanak – Berita Harian


Minat belajar dipupuk pada usia awal kanak-kanak

PETALING JAYA 12 April – Mewujudkan asas kukuh untuk kanak-kanak belajar dan membina kemampuan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat amat penting bagi menentukan mereka terus menjadi aset kepada negara.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, semua pihak perlu memulakannya dengan membina asas yang betul untuk menjadikan generasi akan datang mempunyai minat mendalam untuk belajar.

Menurut beliau, kewajipan membina asas pembelajaran sepanjang hayat tidak hanya dipikul oleh kerajaan malah dikongsi bersama pihak sekolah, keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Sehubungan itu, Rosmah memetik kata-kata Mahatma Gandhi, “Hidup seolah-olah kamu akan mati esok dan belajar seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya”.

“Saya percaya itu adalah falsafah yang betul untuk membina negara yang bersifat intelektual, berbudaya dan bertamadun spiritual,” katanya pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2011 Ke-15 anjuran Institut Kajian Strategi dan Kepimpinan (Asli) di sini hari ini.

Rosmah ketika menyampaikan ucaptama ‘Memupuk Fikiran Kanak-kanak – Membina Asas Untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat’ berkata, asas penting untuk pembelajaran sepanjang hayat ialah berkemampuan untuk belajar, meninggalkan tabiat lama, belajar semula serta mempunyai motivasi bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran baru.

Beliau berkata, ia hanya akan tercapai dengan kebolehan membaca, mengira, mempunyai kemahiran dalam teknologi maklumat, mencari maklumat, memberi alasan, menyelesaikan masalah, menguasai bahasa asing, bersemangat keusahawanan dan berminat untuk belajar.

Kesemua kemahiran ini ujarnya, mesti dipupuk pada usia awal kanak-kanak.

“Kanak-kanak perlu diberi peluang untuk berinteraksi dengan alam sekitar, dibenarkan mencari pengetahuan baru dan nilai-nilai berdasarkan pengalaman konkrit supaya mereka dapat membina kemahiran berfikir,” ujarnya.

Pembelajaran sepanjang hayat kata Rosmah, amat diperlukan hari ini bagi membolehkan kita mengikuti perkembangan dan perubahan teknologi yang berlaku dengan pantas.

Beliau menambah, pembelajaran sepanjang hayat turut menjadi komponen penting dalam mengatasi dan menyelesaikan isu-isu utama global seperti masalah buta huruf, kesihatan, mengurangkan kemiskinan, masalah sosial, mengekalkan pembangunan dan memartabatkan kuasa wanita.

 

13 remaja belasah perogol kena tahan – Berita Harian


13 remaja belasah perogol kena tahan
Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my
2011/04/13

Lelaki direman sebaik dibenar keluar hospital

KANGAR: Sekumpulan 13 remaja ditahan disyaki membelasah seorang lelaki sehingga cedera, selepas mangsa disyaki merogol gadis berusia 13 tahun dalam kejadian di Beseri, Padang Besar.

Kejadian dikatakan berlaku malam Ahad lalu, selepas sekumpulan remaja berusia antara 13 hingga 16 tahun itu terserempak dengan lelaki berkenaan yang berusia 20 tahun, di belakang rumah kedai di Jalan Bukit Lagi, di sini, jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua remaja terbabit, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes rogol yang dikaitkan dengan mangsa.

Beliau berkata, pihaknya hanya menerima laporan kes pukul yang dibuat mangsa di Balai Polis Kangar dan dakwaan kes rogol yang dikaitkan dengan lelaki itu disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan mereka ditahan reman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.
“Mangsa yang lebam dan cedera ringan pada badan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berasal dari Jitra, Kedah itu dipercayai suspek utama kes rogol berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditahan sejurus dibenarkan keluar daripada HTF, malam kelmarin, sebelum direman tujuh hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.