Rosmah puji langkah berani Melaka tubuh Seolah Harapan – Bernama


Rosmah puji langkah berani Melaka tubuh Seolah Harapan

2011/04/21

MELAKA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini memuji usaha kerajaan Melaka menubuhkan Sekolah Harapan yang disifatkannya sebagai pendekatan berani.

Beliau berkata, walaupun mendapat bantahan, penubuhan sekolah itu yang dicetuskan Ketua Menteri Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, membuktikan keikhlasan kerajaan negeri membantu remaja yang menghadapi masalah.

“Walaupun kami teruk kena hentam, apa yang mustahaknya, kami ikhlas dan sedia menolong remaja belasan tahun ini yang telah terlanjur dan tersalah langkah,” katanya.

Berucap ketika melawat Pusat Intervensi Autisme dan merasmikan Kelas Vokasional di pusat itu di sini, Rosmah berkata beliau pernah melawat sekolah seperti Sekolah Harapan di Brussels, Belgium pada Oktober lalu.

Dikenali “Centrum voor Ingrale Gezinszorg” (CIG), pusat itu menempatkan ibu muda yang dihantar oleh mahkamah juvana dan juga ibu bapa.

Rosmah yang dalam lawatan sehari ke sini sebelum itu merasmikan sekolah tersebut yang terletak di Jasin. Sejak beroperasi pada September lalu, Sekolah Harapan telah memberi penempatan kepada 49 remaja hamil.

Mengenai pusat Intervensi Autisme yang di bawah naungan Pertubuhan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Rosmah mencadangkan agar kenak-kanak di pusat tersebut didedahkan dengan pembelajaran dalam bidang muzik.
“Kanak-kanak autisme ini mempunyai bakat dalam bidang muzik, oleh itu dedahkan mereka dengan naluri muzik ini,” katanya yang turut mengunjurkan supaya lebih banyak penyelidikan dilakukan mengenai autisme.

Pusat Intervensi Autisme Melaka itu yang diasaskan pada Mac 2000 bermula dengan dua guru dan lima murid kini mempunyai 32 orang murid dengan tujuh guru.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM20,000. – BERNAMA

Program bendung kes buang bayi di sekolah Ogos depan – Bernama


Program bendung kes buang bayi di sekolah Ogos depan

2011/04/21

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan satu program baru membabitkan semua sekolah di negara ini bertujuan membendung gejala sosial di kalangan pelajar termasuk kes buang bayi.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata jika semuanya berjalan lancar, program itu dijangka dilaksanakan pada Ogos ini.

“Pihak kementerian rasa terpanggil untuk lebih proaktif dalam menangani masalah gejala sosial di kalangan generasi muda dan berharap semua pihak terutamanya pelajar, ibu bapa dan golongan remaja memberikan kerjasama.

“Kita rancang buat program ini dan secara tidak langsung akan membabitkan reproduktif sains yang berkait rapat dengan usaha kita untuk membendung gejala sosial,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang SMK Perempuan Likas, dekat sini hari ini.

Rosnah berkata, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat terutama dalam kes buang bayi.

“Di peringkat kementerian, kita perkasakan program pencegahan…bukan sahaja menumpukan kepada penyakit berjangkit tetapi juga aspek sosial yang membabitkan kelahiran luar nikah, kerana dari segi kesihatan kita bimbang fenomena yang berlaku,” katanya. – BERNAMA

Garis panduan makan sihat untuk kantin sekolah bulan depan – Bernama


Garis panduan makan sihat untuk kantin sekolah bulan depan

2011/04/21

PETALING JAYA: Garis panduan makanan sihat di sekolah yang dikemaskini dengan memberi tumpuan kepada beberapa perkara baru termasuk kekerapan sesuatu makanan itu dijual, dijangka diedarkan bulan depan untuk dilaksanakan di kantin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pematuhan garis panduan terbaru itu dapat memastikan amalan pemakanan sihat di kalangan murid dan menangani masalah kesihatan mereka seperti berat badan berlebihan.

“Kalau dulu kita hanya katakan (makanan dalam) senarai ini boleh dijual di sekolah tapi (dalam garis panduan yang dikemaskini), kita kata kena ada kekerapan (yang perlu diikuti), contoh nasi lemak, berapa kali boleh dijual seminggu…mee goreng, berapa kali boleh dijual di sekolah.

“Itu semua kita akan beri garis panduan yang teliti. Bukan garis panduan secara orang kata am…bahawa terpulang kepada kantin sekolah membuatnya. Oleh itu banyak kantin sekolah tidak menjual makanan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Kembara Riang Ria Pemakanan di Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Wawasan USJ 15, Subang Jaya, hari ini.

Liow berkata, garis panduan itu wajib dipatuhi oleh pengendali kantin dan kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak mereka ditamatkan Kementerian Pelajaran.

Katanya, senarai makanan dalam garis panduan itu meliputi kira-kira 70 makanan utama, telah siap dan akan dibentang dalam mesyuarat bersama dengan Kementerian Pelajaran sedikit masa lagi.
“Senarai itu akan diumumkan kepada semua kantin sekolah selepas dipersetujui Kementerian Pelajaran. Sekarang memang ada senarai dan garis panduan. (Kita) mengemaskini untuk memastikan garis panduan adalah mengikuti masa dan keadaan sekarang.

“Kini banyak makanan proses yang dulu tiada, sekarang ada vending machine yang dulu tak popular. Sekarang (kita mahu) makanan dan minuman yang berkhasiat sahaja dijual di sekolah,” katanya.

Liow berkata, berdasarkan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan kira-kira 86.6 peratus pelajar membeli makanan dan minuman di kantin sekolah, maka adalah perlu kantin sekolah menyediakan makanan yang sihat.

“Kalau kantin sekolah tidak menyediakan makanan yang sihat, sebilangan besar pelajar akan terjejas,” katanya.

Kajian UKM itu juga menunjukkan bahawa kegemaran pelajar adalah nasi lemak, mee goreng dan nasi ayam manakala makanan segera paling digemari adalah burger, ayam goreng dan pizza.

Liow berkata, penjaja makanan di luar perkarangan sekolah juga perlu mematuhi garis panduan tersebut.

Beliau berkata, walaupun obesiti di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berumur enam hingga 12 tahun telah meningkat daripada 9.7 peratus pada 2001 kepada 13.7 peratus pada 2007 mengikut kajian, namun keadaan belum sampai ke tahap tidak terkawal.

Katanya, peningkatan ini berkemungkinan besar disebabkan oleh amalan pemakanan tidak sihat dan kurangnya aktiviti fizikal yang mana kajian itu juga menunjukkan 76 peratus kanak-kanak menjalani kehidupan yang tidak aktif iaitu menghabiskan sebahagian besar masa dengan menonton televisyen atau duduk di hadapan komputer.

Kajian UKM juga menunjukkan bahawa hanya 70 peratus kanak-kanak sekolah rendah mengambil sarapan pagi setiap hari sementara 10 peratus kanak-kanak langsung tidak pernah mengambil sarapan.

Justeru itu, katanya, Kementerian Kesihatan yang kini diberi ruang di sekolah untuk memberi pengetahuan mengenai kesihatan gigi, akan turut memasukkan aspek cara pemakanan sihat dalam penyampaian mesej kesihatan mereka. – BERNAMA

23 pelajar bergasak – Harian Metro


23 pelajar bergasak

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seramai 23 pelajar lelaki ditahan polis selepas terbabit pergaduhan di sebuah sekolah menengah di Seksyen 25, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob, berkata polis menerima panggilan daripada pihak sekolah kira-kira jam 10 pagi selepas kekecohan gagal dikawal.
Beliau berkata, ketika polis tiba di sekolah terbabit, semua pelajar berusia 16 hingga 17 tahun terbabit dikumpulkan dalam bilik kaunseling.

“Polis tiba di sekolah itu pada jam 11 pagi dan membawa semua pelajar terbabit ke Balai Polis Seksyen 15 untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Mereka di bawa ke balai hanya untuk direkodkan percakapan selain mengelakkan gangguan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, keterangan semua pelajar itu diambil enam anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini kami belum dapat sahkan punca pergaduhan termasuk penjenisan kertas siasatan yang akan dibuka. Bagaimanapun, siasatan menjurus pelbagai aspek sudah dimulakan,” katanya.
Zahedi berkata, semua pelajar itu dilepaskan secara berperingkat sebaik polis selesai merakamkan keterangan mereka.

Beliau berkata, setakat semalam, pihaknya menerima tiga laporan kejadian, masing-masing, dua daripada anggota polis dan seorang daripada 23 pelajar terbabit.

45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh – Harian Metro


45,000 murid cemerlang UPSR gagal ke asrama penuh

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negara menjadikan sekolah berhampiran kawasan masing-masing sebagai anak angkat bagi menyelesaikan masalah murid cemerlang yang tidak mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 45,000 murid cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun malangnya mereka tidak dapat memasuki sekolah berasrama penuh berikutan tempat terhad.
Beliau berkata, keadaan itu sudah pasti tidak adil kepada pelajar berkenaan yang tidak dapat memasuki asrama penuh sedangkan rakan mereka yang sama cemerlang diterima ke sekolah berasrama.

Katanya, sebagai alternatif, PPD boleh mengambil langkah dengan menjadikan sekolah sedia ada di daerah mereka sebagai sekolah angkat dan menyediakan kualiti pendidikan setaraf asrama penuh kepada pelajar cemerlang UPSR, tanpa pelajar terbabit perlu tinggal di asrama, sebaliknya duduk bersama keluarga masing-masing.
“Cadangan terbaik bagi memberi tempat kepada semua pelajar cemerlang ini adalah setiap PPD di seluruh negara perlu mengambil pendekatan mengambil sekolah sedia ada sebagai sekolah angkat dan menjadikan kualiti pendidikannya sama seperti asrama penuh,” katanya.
Hashim berkata, sekiranya di sesuatu daerah terdapat jumlah pelajar cemerlang yang ramai, pihak kementerian boleh menyediakan blok khas menempatkan kumpulan pelajar berkenaan di sekolah yang dipilih manakala bagi jumlah yang kecil, hanya kelas di blok sedia ada boleh disediakan.

Beliau berkata, langkah yang diambil itu bukan saja memberi peluang kepada semua pelajar cemerlang menerima kualiti pendidikan berasrama penuh, malah ia dapat menjimatkan kos kementerian kerana tidak perlu menyediakan bajet bagi membangunkan sekolah baru atau memproses semula pengambilan guru.
“Ia juga boleh diwujudkan dalam tempoh singkat kerana bangunan baru tidak perlu dibina sebaliknya hanya menggunakan prasarana sedia ada termasuk guru yang sama di sekolah angkat berkenaan.

“Secara tidak langsung, penempatan pelajar cemerlang di sekolah biasa terbabit akan mewujudkan persaingan sihat serta menjadi model kepada pelajar lain untuk turut sama berjaya,” katanya.
Keputusan UPSR pada November 2010 adalah yang terbaik dalam sejarah peperiksaan kerana pertama kali melebihi 10 peratus apabila 48,327 calon memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Daripada jumlah itu, calon memperoleh keputusan cemerlang semua A meningkat kepada 10.02 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.
Seramai 482,334 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini di 8,192 pusat peperiksaan di seluruh negara dari 21 September hingga 23 September tahun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Pelajaran tidak bercadang menambah tempat di 54 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun 48,400 calon UPSR mendapat keputusan 5A, sebaliknya Ketua Pengarahnya, Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, jumlah 6,000 tempat di SBP kekal dan pihaknya mahu ibu bapa dan murid menukar tanggapan pencapaian cemerlang dalam UPSR adalah tiket ke SBP.

Budak lemas di kolam tinggal – Harian Metro


Budak lemas di kolam tinggal

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: “Pada awalnya, kami menyangka Zaidi bergurau dan bersembunyi di dalam air, tetapi mula bimbang selepas dia tidak timbul,” kata Mohd Khairul Ashraf Hasni, 11, rakan kepada Mohd Zaidi Sariffudin, 12, ditemui lemas dalam kolam takungan air berhampiran Bakar Batu di sini, jam 9.22 malam, kelmarin.

Difahamkan, anak pemandu lori berkenaan yang bersekolah di Sekolah Rendah Kampung Bakar Batu di sini itu bermain di kolam berkenaan bersama dua rakannya, Khairul dan Mohd Ihsan Zulkifli, 13, pada jam 4 petang kelmarin.
Operasi mencari mayat mangsa itu dijalankan anggota unit selam skuba Balai Bomba dan Penyelamat Larkin.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Khairul berkata, kejadian berlaku dalam tempoh kurang sejam ketika dia dan rakannya bermain sambil mandi di kolam berkenaan. Menurutnya, mereka tidak menyangka keseronokan bermain di kolam yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka mengundang padah.
“Ketika itu, saya dan Zaidi bermain sementara Ihsan naik ke atas dan menunggu kami. Sebaik Zaidi hilang di dalam kolam berkenaan, kami terus berlari ke arah jalan raya meminta bantuan malangnya tiada sesiapa di situ.
“Kami tidak sangka kegembiraan mandi di kolam takungan berakhir tragedi,” katanya ketika ditemui dan masih trauma dengan kejadian berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, kakak mangsa, Nor Amira, 19, berkata, keluarganya terkejut menerima panggilan daripada pihak berkuasa memaklumkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, keluarganya pernah melarang anak ketiga daripada enam beradik itu bermain di kolam takungan air berkenaan sebelum ini.

“Pada hari kejadian, adik sulung lelaki turut menasihat dan melarangnya keluar rumah yang terletak di Blok S, Flat Taman Sri Stulang, tetapi adik (Zaidi) berdegil.
“Zaidi langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan apatah lagi dia sememangnya seorang yang periang dan suka bersiar-siar bersama rakan-rakan.
“Dia seperti biasa, tiada sebarang kelakuan ganjil yang dibuatnya,” katanya.
Amira berkata, bapanya, Sariffudin Othman, 42 dan ibu, Maznah Md Said, 40, masih bersedih dan terkejut.
“Selepas ini kami semua pasti akan merindui sikapnya yang periang dan gemar menyakat ahli keluarga,” katanya.
Jenazah Mohd Zaidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dagang, Kebun Teh di sini, pagi semalam.

49 remaja hamil di Sekolah Harapan – Bernama


49 remaja hamil di Sekolah Harapan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JASIN: Sejak dibuka pada September lepas, Sekolah Harapan memberi penempatan kepada 49 remaja hamil, kata Pengarahnya Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Beliau berkata, buat masa ini terdapat 35 remaja di rumah tersebut dengan sebahagiannya telah melahirkan anak, sementara yang lain sedang menunggu masa untuk bersalin.
“Sejak sekolah ini dibuka, seramai 28 bayi telah dilahirkan dan kesemua bayi tersebut diambil oleh keluarga kepada ibu bayi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sekolah itu oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri, Datin Seri Asmah Abdul Rahman.
Rosmah yang dalam lawatan sehari ke Melaka, tiba di sini, pukul 11 pagi dan meluangkan masa kira-kira sejam untuk mendengar taklimat serta melawat pelajar di sekolah itu, yang idea penubuhannya dicetuskan oleh Mohd Ali.
Ab Rahaman berkata, remaja terbabit yang berusia antara 14 dan 18 tahun, datang dari Johor (14 orang), Melaka (lapan), Pahang (lapan), Negeri Sembilan (lima), Kelantan (lima), Terengganu (tiga), Kuala Lumpur (dua), dan masing-masing seorang dari Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, remaja terbabit ditempatkan di sekolah itu sehingga habis tempoh berpantang sebelum kembali kepada keluarga masing-masing. -Bernama

23 pelajar SMK Sri Muda bergaduh – Utusan Malaysia


23 pelajar SMK Sri Muda bergaduh

SHAH ALAM 20 April – Polis mengambil keterangan 23 pelajar tingkatan empat dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sekolah itu, hari ini.

Kesemua pelajar terbabit dibawa ke Balai Polis Seksyen 15 di sini, kira-kira pukul 11 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Difahamkan, pergaduhan yang melibatkan dua kumpulan pelajar bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berlarutan ke padang perhimpunan sekolah.

Beberapa guru yang cuba meleraikan pergaduhan tersebut turut terkena objek yang digunakan oleh pelajar untuk membaling satu sama lain.

Akibat kejadian itu, beberapa pelajar dilaporkan cedera ringan, namun jumlahnya masih belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi terus menghantar anggota unit peronda ke sekolah tersebut.

Beliau berkata, semasa tiba di sekolah, kesemua pelajar sudah dikumpulkan di bilik kaunseling.

“Bagi mengelak pergaduhan kerana kedua-dua kumpulan ditempatkan di dalam satu bilik, anggota polis membawa kesemua 23 pelajar terbabit ke balai polis secara berperingkat.

“Tujuan kita membawa mereka ke balai polis supaya proses mengambil keterangan lebih mudah dijalankan dan bukannya untuk menahan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Selangor, Mahmud Karim berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan diambil terhadap pelajar yang terbabit.

‘Rumah penjagaan’ kanak-kanak jadi pusat penderaan seksual, fizikal? – Utusan Malaysia


‘Rumah penjagaan’ kanak-kanak jadi pusat penderaan seksual, fizikal?

KUALA LUMPUR 20 April — Berselindung di sebalik nama rumah penjagaan kanak-kanak, pemiliknya seorang lelaki berusia 60-an yang menggelar dirinya sebagai ‘bapa’ dipercayai menjadikan kanak-kanak yang kebanyakannya hilang tempat bergantung sebagai mangsa dera.

Pusat penjagaan kanak-kanak yang beroperasi secara haram di Puchong itu, dipercayai dihuni kira-kira 30 kanak-kanak, termasuk dua beradik perempuan berusia 13 dan 14 tahun.

Malang buat adik-beradik itu, kerana mereka dikatakan bukan sahaja didera secara fizikal, malah warga emas itu dikatakan menjadikan mereka sebagai pemuas nafsu lelaki-lelaki yang tidak mereka kenali.

Kanak-kanak lain pula dipercayai dipaksa menjual barang-barang seperti peralatan sembahyang dan melihat raut muka serta susuk tubuh kanak-kanak itu, orang ramai tentu mudah bersimpati dan terus menghulurkan wang tanpa berfikir panjang.

Perkara tersebut dibongkar oleh Pemuda MIC hari ini setelah mendapat aduan daripada penduduk setempat.

Setiausahanya, C. Sivarraajh berkata, selepas seminggu membuat pemantauan, beliau membawa perkara itu ke pengetahuan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dengan bantuan JKM dan polis, pusat penjagaan itu diserbu minggu lalu dan ketika itu hanya lapan kanak-kanak berada di pusat tersebut sementara yang lain ke sekolah.

“Usaha untuk memindahkan kesemua kanak-kanak itu menghadapi kesukaran apabila segelintir daripada ibu bapa kanak-kanak itu membuat kecoh, kononnya mereka menghantar anak-anak mereka secara sukarela,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MIC di sini, hari ini.

Tambah Sivarraajh lagi, hampir kesemua kanak-kanak yang ditinggalkan di pusat penjagaan tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen, termasuk sijil kelahiran.

Menurutnya, beberapa kanak-kanak di pusat penjagaan itu mendakwa, mereka dibelasah serta diperlakukan seperti binatang.

“Saya sendiri melihat kesan-kesan lebam di badan serta tangan kanak-kanak terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta JKM dan polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab, termasuk menutup pusat penjagaan itu serta-merta.