Ramai guru ingkar peraturan
utusanjohor@utusan.com.my
BATU PAHAT 22 April – Ramai guru siswazah didapati mengingkari peraturan yang menetapkan mereka hanya boleh memegang jawatan dalam parti politik setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hanya 16 guru di seluruh negara memohon untuk memegang jawatan dalam parti politik, sejak kelonggaran itu diberikan kepada guru siswazah gred DG41 hingga DG48 bermula tahun lalu.
“Apa yang saya difahamkan, yang memohon baru 16 orang sahaja sedangkan kita tahu ramai guru siswazah ini ada jawatan (dalam parti politik) sebenarnya.
“Daripada 16 yang memohon itu, enam sahaja yang layak sebab antara syaratnya, dia (pemohon) tidak boleh ada jawatan seperti pengetua ataupun pegawai pelajaran daerah.
“Maksudnya kalau ada jawatan, tidak boleh sebab takut akan menyebabkan berat sebelah,” katanya kepada pemberita di Institut Pendidikan Perguruan Kampus Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Mohd. Puad berkata, tidak timbul persoalan pemohon akan disenarai hitam sekiranya berhasrat memegang jawatan dalam parti politik pembangkang kerana peraturan ditetapkan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.
“Mungkin ramai masih takut. Katalah kalau dia mohon pegang jawatan sebagai ketua Pas kawasan, nanti dia ingat orang sudah tahu dia Pas, maka dia takut kena senarai hitam.
“Tidak timbul soal tersebut. Yang penting memohon dan patuhi peraturan ditetapkan iaitu jangan guna waktu sekolah, waktu pejabat, kemudahan pejabat untuk berpolitik. Di luar boleh, itu hak anda,” katanya.
Mohd. Puad memberitahu, sekiranya melibatkan waktu pejabat, guru tersebut perlu bersikap jujur dengan memohon cuti tanpa rekod dan kegagalan mematuhi syarat ditetapkan boleh menyebabkan kebenaran berpolitik ditarik balik.
Katanya, kebenaran berpolitik diberikan kepada guru kerana kepimpinan golongan itu amat diperlukan untuk membela nasib dan membangunkan masyarakat.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menerima alasan mengambil cuti sakit selama 21 hari kerana tertekan yang dikemukakan seorang guru, Maarof Abd. Mutalib yang juga suami kepada calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari lalu.
“Difahamkan, dia ambil cuti sakit sebab tertekan. Kita boleh terima kalau dia duduk di rumah, tetapi dia berkempen. Kita rasa dia berbohong,” katanya.
Maarof dikenakan tindakan bertukar dari sebuah sekolah di Tenang ke sekolah lain di Tanjung Pengelih, Pengerang berkuat kuasa 1 April lalu setelah didapati bersalah menyalahgunakan cuti sakit dan berkempen untuk isterinya, Normala Sudirman tanpa kebenaran.