16,500 netbook 1Malaysia untuk masyarakat, pelajar – Berita Harian


16,500 netbook 1Malaysia untuk masyarakat, pelajar
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my
2011/04/24

RAIS memukul Geduk Besar Wat Chonprachumthat sambil diperhatikan Datin Seri Maznah Rais (tengah) ketika merasmikan seminar di Kampung Dalam, Tumpat,  semalam.

RAIS memukul Geduk Besar Wat Chonprachumthat sambil diperhatikan Datin Seri Maznah Rais (tengah) ketika merasmikan seminar di Kampung Dalam, Tumpat, semalam.

Cadangan wujud kampung WiFi rapat jurang ICT penduduk bandar, luar bandar 

TUMPAT: Sebanyak 16,500 netbook 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di daerah ini melalui fasa kedua tahun 2011 dalam usaha kerajaan merapatkan jurang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Usaha berkenaan akan disokong dengan inisiatif Kampung Tanpa Wayar (Kampung WiFi) yang akan diwujudkan di Kampung Dalam, dekat sini sebelum diperluaskan ke kawasan perkampungan lain di seluruh Kelantan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata usaha berkenaan dijayakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

“Kita anggarkan 16,000 hingga 16,500 unit netbook diedarkan kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di Tumpat melalui fasa kedua tahun ini. Bagi perkampungan tanpa wayar pula, kita mulakan di sini kerana kecerdasan pelajar dan pemimpin masyarakatnya yang memerlukan hubungan segera seperti itu.

“Selepas ini, kita akan wujudkan lebih banyak kampung tanpa wayar di sini,” katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya, Pelancaran Kampung Tanpa Wayar dan Komuniti 1Malaysia berhampiran Wat Chonpraachumthat Chanaram, Kampung Dalam, di sini semalam.

Rais turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk kerja pemuliharaan beberapa artifak dan bangunan tradisi berkaitan masyarakat Siam di kampung itu selain meminta pengurus seni budaya dan seni kreatif memanfaatkan dana yang masih berbaki RM140 juta daripada jumlah keseluruhan RM200 juta untuk tujuan itu.
“Pinjaman boleh dibuat mana-mana pihak asalkan ia berkaitan industri kreatif. Setakat ini, RM60 juta digunakan, jadi ada lagi baki RM140 juta. Saya harap pengurus seni budaya dan seni kreatif boleh memanfaatkan kemudahan itu.
“Kegiatan seni terutama membabitkan industri kreatif sepatutnya perlu digalakkan, banyak yang boleh diasah.

“Jadi saya minta SKMM beri peluang lebih luas kepada anak Kelantan dan Terengganu mencerna kreativiti seni yang kemudian dapat dipasarkan sama ada dalam bentuk animasi atau cerita tempatan,” katanya.

‘Jangan salahkan nasi lemak sahaja’ – Bernama


‘Jangan salahkan nasi lemak sahaja’

KUALA LUMPUR 23 April — Nasi lemak bukan punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah kerana ia boleh berlaku menerusi pengambilan makanan harian berkalori tinggi yang tidak terkawal, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia Dr. Tee E Siong.

“Kita tidak boleh menyalahkan nasi lemak sahaja sebagai punca utama, sebenarnya banyak masalah atau faktor lain yang menyebabkan masalah ini berlaku.

“Salah satu faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah mengambil makanan yang banyak kalori setiap hari. Seperti yang kita tahu, setiap makanan mempunyai kalori, jadi kita perlu bijak mengawal makanan harian yang diambil,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) 2011 bertemakan ‘Kanak-Kanak Sihat, Negara Lebih Sihat-Mulakan Awal’ di sini hari ini.

Beliau berkata ibu bapa perlu menanamkan tabiat makanan secara sihat dalam diri anak masing-masing kerana usaha itu akan menjadi lebih sukar apabila mereka meningkat remaja.

“Kami percaya bahawa mesej tentang makanan secara sihat perlu disampaikan kepada kanak-kanak sejak usia muda seawal tiga tahun lagi,” katanya yang menggesa ibu bapa meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan.

Dr. Tee berkata kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah merupakan golongan paling berisiko terhadap kesan malnutrisi kerana mereka sedang membesar secara fizikal, selain mengalami perkembangan mental, emosi dan sosial pada peringkat ini.

“Berlebihan dan kekurangan pemakanan bukan sahaja boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan kesihatan anak-anak, malah berlebihan berat badan akan membawa kesan kesihatan yang tidak diingini di masa hadapan,” katanya. — BERNAMA