Polis tahan dua budak giat curi motosikal – Bernama


Polis tahan dua budak giat curi motosikal


2011/04/28

BALIK PULAU: Seorang budak lelaki berumur 11 tahun dan rakan perempuannya berumur 12 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di sekitar kawasan Teluk Kumbar di sini sejak sebulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Far Hin berkata, kedua-dua mereka dipercayai giat menjalankan kegiatan mencuri motosikal bagi tujuan berseronok dan bersiar-siar.

“Polis menahan kedua-duanya pada petang semalam ketika mereka sedang meronda (bersiar-siar) di kawasan flat di Teluk Kumbar dan siasatan mendapati motosikal yang ditunggang itu dilaporkan hilang pada Selasa lepas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui tiga buah motosikal yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah mereka tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Beliau berkata, mereka dipercayai akan menyembunyikan motosikal yang dicuri setelah kehabisan minyak selepas bersiar-siar.

Lai berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua budak itu akan merayau-rayau di sekitar kawasan flat berkenaan selepas waktu persekolahan dan melakukan kegiatan mencuri dengan menggunakan pisau kecil bagi menghidupkan enjin motosikal.

Katanya, kedua-dua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam kes berlainan, katanya, polis menahan tiga lelaki yang dipercayai memecah masuk sebuah pejabat dan mencuri 23 unit komputer riba dianggarkan bernilai RM35,000 di Krsytal Point di Bayan Baru dekat sini pada Isnin lalu.

Lai berkata, ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 tahun itu ditahan pada kira-kira jam 2 pagi di rumah masing-masing di George Town selepas polis menerima maklumat daripada pemilik pejabat itu berhubung kes kecurian terbabit.

“Setelah mengeledah rumah salah seorang daripada lelaki terbabit, polis menemui semula sebanyak 11 unit komputer riba berbagai jenama dan peralatan pecah rumah,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu yang bekerja sebagai mekanik audio kereta, tukang paip dan penjual aksesori telefon bimbit di pasar malam telah menjual 12 buah komputer riba dengan harga RM200 hingga RM500 seunit. – BERNAMA

Muhyiddin temui wakil guru bincang isu pendidikan – Bernama


Muhyiddin temui wakil guru bincang isu pendidikan 

2011/04/28

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perjumpaan dengan Kongres Kesatuan Guru-Guru Malaysia di pejabat beliau di Bangunan Perdana Putra di sini.

Seramai 52 wakil daripada 26 kesatuan dari seluruh negara menghadiri perjumpaan itu, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Perjumpaan yang biasanya diadakan dua kali setahun itu diadakan bagi membincangkan isu-isu mengenai perguruan dan pendidikan. Muhyiddin adalah juga Menteri Pelajaran.

Ini adalah perjumpaan yang pertama seumpamanya untuk tahun ini. – BERNAMA

Guru cederakan guru besar didenda – Utusan Malaysia


Guru cederakan guru besar didenda


ALOR SETAR 27 April – “Guru adalah tugas yang mulia. Kamu seharusnya menunjukkan teladan kepada anak murid dan orang awam. Sepatutnya kamu mengawal kemarahan kamu itu”.

Demikian teguran seorang majistret sebelum menjatuhkan hukuman denda maksimum RM2,000 ke atas seorang guru yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan guru besar, lima tahun lalu.

Majistret Norazah Idris turut memerintah Norazman Abdul Wahab (gambar), 43, dari Jalan Datuk Kumbar di sini dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Beliau memutuskan demikian setelah mendapati pihak pembelaan yang diwakili oleh peguam G. Ravinsankar gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

Norazman disabitkan bersalah atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Halim Saad, 52, dengan menumbuk muka dan menyepak pahanya di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis Jalan Langgar di sini kira-kira pukul 8.30 pagi, 20 Disember 2006.

Dakwaan terhadap guru itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Dalam keputusannya, Norazah mengetepikan hujahan pihak pembelaan bahawa mangsa cedera akibat terjatuh secara tidak sengaja manakala isu-isu yang ditimbulkan di saat-saat akhir pula disifatkan sebagai difikirkan kemudian.

“Ini termasuk isu bahawa mangsa cedera kerana jatuh akibat gelabah kerana menyangka akan dipukul oleh tertuduh. Persoalannya, kenapa isu ini tidak ditimbulkan di awal pendakwaan yang membolehkan mangsa disoal?,” katanya.

Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh memohon dia dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah digantung tugas sejak tiga tahun lalu dan menanggung empat anak yang masih belajar termasuk dua orang yang akan meneruskan pengajian di universiti.

Ana Rozana pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal demi kepentingan awam dengan mengambil kira tertuduh merupakan seorang guru.

Ubah cara bekerja – Muhyiddin – Utusan


Ubah cara bekerja – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin bermesra dengan sebahagian pesara Kementerian Pelajaran pada Majlis Jasamu Dikenang di Putrajaya, malam tadi.

PUTRAJAYA 27 April – Cara kerja lama warga Kementerian Pelajaran perlu diubah kepada yang lebih produktif dan berkualiti untuk menjayakan dasar baru seperti Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta 1Murid 1Sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan dasar dan inisiatif itu memerlukan warga berkenaan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, bersikap terbuka serta mengutamakan inovasi dan kreativiti.

Di samping itu, kata beliau, warga kementerian tersebut perlu sentiasa berfikir dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan terhadap kerja yang dilakukan.

”Inilah cabaran besar untuk kita memastikan setiap sasaran dan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai dengan sempurna dan memuaskan hati pelanggan kita.

”Namun saya yakin dengan kesungguhan dan komitmen tinggi seperti ditunjukkan oleh bekas pegawai-pegawai kanan kementerian yang diraikan pada malam ini, kita pasti akan dapat menggalas amanah besar ini dan memastikan setiap dasar dan program dilaksanakan baik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada majlis persaraan ketua-ketua bahagian dan jabatan Kementerian Pelajaran di sini malam ini.

Antara pegawai kementerian yang diraikan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Fatimah Md. Deni dan Datuk Badaruddin Abdul Rahaman serta bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Tambah Muhyiddin, beliau berharap bekas-bekas pegawai Kementerian Pelajaran akan terus memberi sumbangan idea dan tenaga dalam bidang pendidikan.

”Banyak pengalaman yang boleh dicurahkan dan dikongsi bersama dengan generasi baru, sama ada di kementerian atau di sekolah.

”Perkongsian pengalaman ini sudah tentunya berguna untuk kita mengorak langkah ke depan secara teratur dengan berpandukan pengalaman lalu,” katanya.