Kali ketiga guru yoga ke mahkamah – Berita Harian


Kali ketiga guru yoga ke mahkamah 
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2011/04/30

Dituduh kurung 2 saksi, mangsa kes rogol

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga yang juga bapa enam anak dengan dua bekas isteri semalam didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, di sini atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua remaja perempuan bawah umur yang juga saksi kes rogol membabitkannya di sebuah rumah di Taman Desa Batu Caves, antara 7 hingga 12 April lalu.

Ini kali ketiga lelaki itu dihadapkan ke mahkamah selepas tiga bulan lalu, didakwa merogol seorang daripada remaja terbabit dan sebelum itu turut dihadapkan ke mahkamah berasingan atas tuduhan memiliki syabu.

Bagi kes terbaru, Abdul Malik Abdullah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan pertama melarikan dan mengurung seorang pelajar berusia 17 tahun dengan niat untuk menghalang perjalanan satu kes rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Lelaki itu juga dituduh melarikan dan cuba mempengaruhi mangsa yang juga saksi mahkamah di sebuah rumah di Taman Desa Batu Caves pada jam 3.45 pagi antara 7 dan 12 April lalu.

Tertuduh menjadi guru yoga sejak 1990 juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan kedua melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pelajar berusia 15 tahun di tempat dan hari yang sama.

Bagi setiap tuduhan itu, Abdul Malik dari Taman Sri Gombak, Batu Caves didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Roszianayati Ahmad menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan kes dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Pada 21 Januari lalu, Abdul Malik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun yang juga murid kelas yoganya dalam kejadian antara Februari dan November 2010.

Lelaki itu dituduh merogol mangsa di sebuah rumah di Jalan Dato’ Harun, Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor pada jam 8 malam, Februari 2010.
Dia juga dituduh merogol mangsa sama di Jalan Kolam Air, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor antara jam 5 dan 6 petang, November 2010.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s