Kurung saksi – Harian Metro


Kurung saksi

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang guru yoga yang pernah menghadapi tuduhan rogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan melarikan dan mengurung dua saksi kes rogolnya itu, tiga minggu lalu.

Abdul Malik Abdullah, 54, yang memakai baju lokap itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Malik yang bercerai dua kali itu dan mempunyai enam anak didakwa melarikan dan mengurung dua remaja perempuan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun dengan niat menghalang dan mempengaruhi mangsa untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung kes rogol tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No G-1-5, Jalan Desa Batu Caves 1/7, Taman Desa Batu Caves, Gombak pada jam 3.45 petang antara 7 sehingga 12 April 2011.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4, Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947 (Akta 191) yang membawa hukuman penjara tidak lebih empat belas tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Dr A Vasu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Roszianayati menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula dan tidak benarkan jaminan terhadap tertuduh.
“Dalam kes ini, kamu dituduh mengganggu dan mengurung saksi pendakwaan, kamu boleh bagi keterangan ketika perbicaraan nanti, oleh itu mahkamah tidak benarkan jaminan,” katanya.

Pada 21 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan merogol pelajarnya yang berusia 15 tahun ketika itu, di dua lokasi berasingan di Hulu Selangor, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja itu di Kampung Dato’ Harun, Serendah, Hulu Selangor dekat sini, kira-kira jam 8 malam, pada Februari tahun lalu.
Dia yang ditahan pada 2 Januari lalu turut didakwa merogol mangsa sama di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, antara jam 5 petang dan 6 petang pada November tahun sama. Bagi setiap pertuduhan, dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 31 Disember lalu, Harian Metro melaporkan seorang guru yoga di Kuala Kubu Baru dekat sini mengurung tiga remaja perempuan dan menjadikan mereka hamba seks selama sebulan.
Ketika serbuan di rumah guru yoga itu, polis menemui beberapa peralatan seks dan dua paket dadah dipercayai syabu.
Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy dilaporkan berkata pihaknya percaya sepanjang sebulan dikurung, mangsa dirogol berulang kali, selain didera secara seksual termasuk diikat dan dirantai pada katil.
Penahanan lelaki itu berdasarkan laporan keluarga mangsa selepas anak mereka tidak pulang selepas mengikuti kelas yoga di rumah guru itu pada hujung November tahun lalu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s