Cadangan tambah sekolah satu sesi bergantung kemampuan kewangan – Bernama


Cadangan tambah sekolah satu sesi bergantung kemampuan kewangan

2011/05/31

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran berhasrat untuk memperbanyakkan sekolah satu sesi dalam usaha memperkasakan mutu pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, usaha bagaimanapun tidak mudah dicapai kerana ia melibatkan pelbagai faktor seperti kemampuan kewangan.

“Pertambahan penduduk menuntut lebih banyak sekolah dibina, dan semakin banyak sekolah yang dibina, bermakna lebih banyak kos yang perlu dibelanjakan.

“Antaranya kos yang melibatkan pertambahan guru, pembelian peralatan dan penyediaan prasarana di sekolah,” katanya dalam program “Kerusi Panas” terbitan Bernama Radio24.

Puad berkata, ketika ini, kekangan untuk melaksanakan sekolah satu sesi juga berpunca daripada kesukaran mendapatkan tanah membina sekolah baru serta bilangan sekolah yang dibina tidak mencukupi untuk menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah. – BERNAMA

Cabul gadis depan ibu – Harian Metro


Cabul gadis depan ibu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang remaja lelaki layak digelar ‘gila seks’ apabila mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di hadapan ibu gadis terbabit, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah, di sini dikatakan bersama ibunya berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan dari rumahnya di sebuah rumah pangsa di Taman Nirwana, di sini untuk membeli sarapan di kawasan berhampiran.

Menurut sumber, ketika mangsa dan ibunya itu menuruni tangga, seorang remaja lelaki yang tidak dikenali sedang menaiki tangga sebelum berselisih dengan mereka.

“Ketika itu ibu mangsa berada di depan manakala mangsa mengikut ibunya di belakang kerana tangga yang sempit berselisih dengan suspek.

 
“Remaja itu dikatakan berpura-pura seperti penghuni rumah pangsa berkenaan sebelum tiba-tiba meraba kemaluan mangsa,” katanya.

adu@metro: Jual arak pada pelajar – Harian Metro


adu@metro: Jual arak pada pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA sering mengunjungi restoran di Jalan Chantek berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya.

Saya menyedari kedai arak menjalankan perniagaan di lot kedai di jalan berkenaan dan dimaklumkan segelintir pelajar sekolah berdekatan pernah mendapatkan bekalan minuman keras di premis itu.

Lebih malang lagi, pengusahanya seolah-olah tidak ambil peduli apabila sanggup menjual minuman terbabit kepada remaja berusia bawah umur yang juga pelajar sekolah.

Apakah tindakan yang boleh diambil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menyelesaikan masalah ini?

 
RAJ


Pelajar maahad tahfiz dakwa diliwat – Utusan Malaysia


Pelajar maahad tahfiz dakwa diliwat

KUALA KRAI 29 Mei – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah maahad tahfiz berusia 13 tahun, mendakwa diliwat oleh senior dalam satu kejadian di asrama sekolah persendirian itu di sini, baru-baru ini.

Selain menjadi mangsa liwat, pelajar terbabit turut mendakwa dibuli dan diugut dengan senjata tajam oleh beberapa orang seniornya sehingga dia nekad melarikan diri dari asrama sekolah itu.

Berikutan kejadian itu, ibu bapa pelajar terlibat membuat laporan di Balai Polis Lakloh dekat sini, Selasa lalu.

Ibu pelajar berkenaan yang mahu dikenali sebagai Yah, 48, mendakwa, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam 10 Mei lalu, ketika anaknya tidur di asrama sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Krai.

Semasa memberitahu pemberita di sini, hari ini, Yah menyatakan, anaknya diliwat ketika tidur meniarap dan tidak dapat bertindak kerana badannya ditindih dari belakang.

Puad nafi laporan 80,000 guru Semenanjung ke Sarawak – Bernama


Puad nafi laporan 80,000 guru Semenanjung ke Sarawak

30/05/2011 6:37pm

 

PETALING JAYA 30 Mei – Kementerian Pelajaran hari ini menafikan laporan kononnya ia akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke Sarawak tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, sehingga 11 Mei tahun ini, terdapat seramai 80,382 guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Sabah dan Sarawak di mana 15,641 daripada jumlah itu terdiri daripada guru yang berasal dari Semenanjung.

“Sekiranya kita hendak menghantar 80,000 orang guru dari Semenanjung ke Sarawak, siapa pula yang akan mengajar di Semenanjung?” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pertandingan mural PLUS antara sekolah-sekolah menengah peringkat kebangsaan 2011 di sini hari ini. – Bernama

Guru MRSM juga perlu diberi kenaikan pangkat – Idris Jusoh – Berita Harian


Guru MRSM juga perlu diberi kenaikan pangkat – Idris Jusoh

KUALA TERENGGANU 26 Mei – Majlis Amanah Rakyat (Mara) meminta kerajaan menimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seperti yang dinikmati mereka di bawah Kementerian Pelajaran.

Pada masa ini, terdapat lebih 3,000 guru yang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, untuk tujuan itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam waktu terdekat.

Beliau memberitahu, sekiranya kerajaan bersedia memberi kenaikan pangkat kepada guru di Kementerian Pelajaran, guru-guru di MRSM juga layak menikmati faedah yang serupa.

Jelasnya, guru-guru yang berkhidmat di MRSM turut mempunyai kelayakan serupa selain dibebani tanggungjawab yang hampir sama dengan guru Kementerian Pelajaran.

“Memang patut guru-guru MRSM dapat kenaikan (pangkat) baru tapi perkara ini kena bincang dengan JPA terlebih dahulu. Ia perlu diselaraskan oleh JPA.

“Tiada sebab bagi guru-guru di MRSM tidak dapat gaji yang sama dengan guru-guru di Kementerian Pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan Mara (Muafakat) Ketujuh di MRSM Kuala Terengganu dekat sini hari ini.

Idris memberi reaksi berhubung pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.

Menurut Idris, beliau akan memastikan kesemua guru MRSM sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya atas jasa dan sumbangan besar mereka selama ini dalam mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tenaga profesional.

“Saya akan pastikan guru-guru di MRSM tidak dianak tiri, kita akan terus bela nasib mereka,” ujarnya.

‘Baju anak penuh darah’ – Berita Harian


‘Baju anak penuh darah’
Oleh Hamid Salleh
bhkt@bharian.com.my
2011/05/27

 FATIMAH   menunjukkan baju sekolah anaknya  yang berlumuran darah.

FATIMAH menunjukkan baju sekolah anaknya yang berlumuran darah.

Telinga pelajar cedera akibat serangan dalam kelas

KUALA TERENGGANU: “Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah,” kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.

Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.

Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

“Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.
Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki.

Budak ‘tertekan’ tikam wanita – Berita Harian


Budak ‘tertekan’ tikam wanita
Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2011/05/27

TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki

TANGAN Azlina cedera akibat ditoreh budak lelaki

Suspek dipercayai alami gangguan perasaan akibat jadi mangsa buli

SHAH ALAM: Akibat sering menjadi mangsa buli, seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang dipercayai mengalami tekanan perasaan bertindak di luar jangkaan apabila menikam seorang wanita dalam kejadian di Pangsapuri Sri Era, Desa Latania, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Azlina Ahmad, 24, menerima 14 jahitan di tangan dan dagu ketika cuba menepis pisau lipat disyaki senjata yang digunakan kanak-kanak terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Difahamkan kanak-kanak terbabit turut membuat laporan polis kononnya diugut seorang lelaki yang mahu membunuh bapanya jika dia tidak membunuh mangsa.

Bagaimanapun, selepas disoal siasat, kanak-kanak itu mengakui mengalami tekanan perasaan kerana sering dibuli di sekolah.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit bergegas mengambil anak mereka di sekolah sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 15 di sini.
Difahamkan, pisau lipat yang digunakan kanak-kanak itu untuk menikam mangsa turut ditemui bapanya di semak berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Azlina berkata, ketika kejadian dia sedang memanaskan enjin kereta untuk ke tempat kerja sebelum didatangi kanak-kanak itu yang dikenali dengan nama ‘adik’ bertanyakan sama ada mengenali sesiapa yang boleh mengurut kaki ibunya yang sakit.

“Semalam (kelmarin) pun dia bertanyakan soalan sama kepada saya. Ketika itu, saya menjawab mungkin kakak saya boleh membantu mencari tukang urut. Ketika berbual, saya melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poket belakang.

“Saya terkejut apabila dia mengeluarkan pisau dan cuba menikam saya. Mujur ketika itu saya berada di dalam kereta dengan cermin pintu kereta tertutup separuh,” katanya ketika ditemui, di sini.

Azlina berkata, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius sebelum memecut kereta kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Saya kemudian menghubungi abang ipar saya, Amin Olah, 28, untuk memberitahu mengenai kejadian ini sebelum dia menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk rawatan,” katanya yang tinggal bersama kakaknya, Zuraina Ahmad, 29, sejak setahun lalu.

Pasukan penyelamat sedih lihat mayat kanak-kanak bertindih – Bernama


Pasukan penyelamat sedih lihat mayat kanak-kanak bertindih

2011/05/24

KAJANG: “Menitis air mata apabila melihat mayat anak-anak ini bertindih antara satu sama lain,” kata anggota bomba Khairul Rizal Hassan.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Kuala Lumpur, berkata apa yang dilihat itu akan menjadi kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya.

“Saya menyertai operasi menyelamat bermula pada hari kejadian lagi, melihat mayat kanak-kanak ini membuatkan hati saya pilu.

“Apatah lagi ada mangsa yang cedera teruk akibat dihempap batu sehingga terpaksa dipotong kakinya,” katanya ketika ditemui di lokasi tanah runtuh di FELCRA Semungkis, Hulu Langat di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian tanah runtuh ini adalah tragedi yang paling teruk dan menyayat hati sepanjang tahun ini.

“Jika sebelum ini operasi menyelamat yang saya sertai membabitkan mangsa golongan dewasa, tetapi melihat nasib kanak-kanak ini dan bilangan korban yang besar…ia satu perkara yang tidak dapat dilupakan.

“Walaupun sedih ketika itu tetapi sebagai anggota penyelamat kita perlu bersikap profesional dan perlu menjalankan tugas sehingga selesai,” katanya yang bertugas sebagai anggota bomba selama 16 tahun.
Bagi Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, Dr Che Hassandi Abdullah, perasaan sedih mengenai tragedi itu menyelubungi jiwanya sehingga hari ini.

“Walaupun tugas menyelamat dipikul oleh anggota bomba, tetapi pasukan kami turut bekerjasama dengan mereka sejak hari pertama kejadian lagi.

“Sedih sangat apabila melihat kanak-kanak menjadi korban di depan mata kita sendiri dan kejadian itu tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Sementara itu, pelakon, Tengku Sarina Tengku Muzani atau lebih dikenali sebagai Kuna, berkata tragedi yang menimpa anak-anak yatim itu membuka hatinya untuk datang dan melihat sendiri keadaan lokasi kejadian yang meragut 16 nyawa.

“Saya datang ke sini bersama rakan-rakan, saya bersimpati dengan keadaan mereka dan dengan itu saya juga datang untuk melawat anak-anak yang terselamat serta memberi sedikit sumbangan peribadi kepada mereka,” katanya yang turut berkunjung ke Lembah Azwen Resort yang menjadi tempat perlindungan sementara bagi 24 kanak-kanak yang terselamat. – BERNAMA

KWSP minta pencarum semak penyata kira-kira – Bernama


KWSP minta pencarum semak penyata kira-kira

2011/05/24

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kempen media untuk menggalakkan ahli menyemak penyata kira-kira bagi memastikan simpanan KWSP mereka berada dalam keadaan teratur.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata kempen mulai esok hingga 14 Jun itu bagi memberi kesedaran kepada ahli mengenai kepentingan menyemak penyata KWSP bagi memastikan majikan membayar caruman mengikut jadual.

“Jika terdapat sebarang keraguan, ahli perlu mendapatkan penjelasan segera daripada majikan atau membuat laporan kepada KWSP,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, baru-baru ini KWSP sudah mengedarkan lebih 6.4 juta penyata kira-kira ahli bagi tahun 2010.

“Semua penyata kira-kira dihantar kepada ahli melalui alamat kediaman seperti yang didaftarkan dalam rekod KWSP ini bagi memastikan penyata mengandungi maklumat sulit tidak jatuh kepada pihak lain.

“Oleh itu, adalah penting bagi ahli yang sudah berpindah untuk segera mengemaskini rekod alamat mereka dengan KWSP,” katanya.

Nik Affendi berkata, KWSP turut menyediakan Kios KWSP di cawangan KWSP dan premis pihak ketiga seperti Institut Jantung Negara (IJN), serta cawangan bank terpilih antaranya RHB Bank, RHB Islamic Bank, Ambank, dan CIMB Bank.
“Sebagai pilihan, ahli boleh menyemak dan mencetak penyata kira-kira dengan mendaftar di i-Akaun KWSP yang boleh diakses melalui laman web myEPF yang menyediakan kemudahan untuk menyemak butiran akaun secara dalam talian 24 jam sehari atau mengikut kehendak mereka,” katanya

Ahli juga boleh mendapatkan penyata kira-kira di setiap cawangan KWSP dengan hanya mengemukakan myKad mereka tetapi sebagai langkah keselamatan mereka tidak dibenarkan mendapatkan penyata kira-kira melalui telefon. – BERNAMA