Juvana belasah pelajar sekolah agama – Bernama


Juvana belasah pelajar sekolah agama

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARANG: Lapan pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun hari ini, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kawasan sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama pada 7 April lalu.

Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menceroboh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu.
Perbuatan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Calon SPM sakit jantung tersumbat – Berita Harian


Calon SPM sakit jantung tersumbat
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

2011/05/01

SITI BASHAH menemani Siti Nor Haleeda  mengulang kaji pelajaran di rumah mereka di Kampung Madrasah, Kuala Kedah. - Foto Syaharim Abidin

SITI BASHAH menemani Siti Nor Haleeda mengulang kaji pelajaran di rumah mereka di Kampung Madrasah, Kuala Kedah. – Foto Syaharim Abidin

Keluarga mohon sumbangan biaya rawatan

ALOR SETAR: Ketika rakan sebaya sibuk mengulang kaji pelajaran, termasuk ke kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November depan, keadaan berbeza bagi Siti Nor Haleeda Abdul Razak, 17, kerana penyakit jantung tersumbat yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu semakin kritikal.

Siti Nor Haleeda yang juga pelajar Sekolah Menengah Sri Pantai, Kuala Kedah, dekat sini kerap pengsan di rumahnya kerana denyutan jantung lebih laju sehingga pernafasannya terganggu.

Remaja yang kerap pucat dan tidak bermaya itu sudah empat kali melakukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan doktor mengesahkan ada urat berlebihan pada jantungnya yang perlu dibuang untuk melancarkan pernafasan.

Siti yang ditemui di rumahnya di Kampung Madrasah Lama, Kuala Kedah, baru-baru ini, bersyukur kerana ada pihak sudi hulurkan bantuan untuk menampung kos pembedahan RM3,000 di IJN pada 1 Jun ini.

Anak kelima daripada tujuh beradik yang bercita-cita menjadi pegawai polis itu berkata, dia sudah sedia menjalani pembedahan walaupun dihantui perasaan takut kerana tidak sanggup lagi terus menanggung derita.

“Sudah 10 tahun saya menderita kerana penyakit ini dan sejak itu saya sering ketinggalan dalam pelajaran dan terpaksa meninggalkan sukan balapan yang menjadi kegemaran.

“Inilah harapan saya dan berdoa semoga pembedahan ini berjaya. Tambahan pula saya bakal menduduki SPM tahun ini. Saya berharap pembedahan ini berjaya supaya saya boleh mengulang kaji pelajaran dan ke sekolah seperti rakan lain. Saya tidak mahu lagi menghabiskan masa di katil hospital dan bergantung kepada ubat,” katanya.
Difahamkan kos pembedahan ialah RM45,000, namun ia dikurangkan kepada RM3,000. Baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) menyumbangkan RM3,000 untuk membolehkan gadis berkenaan menjalani pembedahan.

Sementara itu, ibunya, Siti Bashah Ismail, 57, berkata, kesempitan hidup termasuk pendapatan tidak menentu suaminya, Abdul Razak Awang Kechik, 54, tidak mencukupi untuk menanggung rawatan dan pembedahan anak gadisnya itu.

“Saya juga bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM600 sebulan demi membantu suami menyara keluarga. Sejak Siti menghidap penyakit jantung kami banyak menghabiskan wang membayar kos rawatan susulan dan pengangkutan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini dan IJN.

“Saya berdoa siang dan malam memohon Allah menyembuhkan penyakitnya kerana sudah lama anak saya menderita kerana penyakit ini dan sebagai ibu saya sedih melihat keadaannya begitu,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Abdul Razak di 013-5374395 atau menerusi akaun Agro Bank 1-00-5071-00004003-3-3.

Gangguan misteri landa warga SMKBBU – Berita Harian


Gangguan misteri landa warga SMKBBU
Oleh Mohd Yusoff Ahmad

2011/05/01

PELAJAR SM Bandar Baru Uda menunjukkan bangunan sekolah yang sering diganggu histeria. - Foto Mohd Yusoff Ahmad

PELAJAR SM Bandar Baru Uda menunjukkan bangunan sekolah yang sering diganggu histeria. – Foto Mohd Yusoff Ahmad

JOHOR BAHRU: Sejak lebih dua minggu lalu, warga Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), di sini diselubungi kebimbangan setiap kali melangkah masuk ke kawasan sekolah berkenaan angkara gangguan misteri yang dialami.

Pada pandangan mata kasar, gangguan itu dianggap histeria yang berlaku hampir setiap hari persekolahan, namun yang peliknya ia turut membabitkan pelajar lelaki dengan waktu kejadian biasanya antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari sebelum bersambung pula selepas jam 5 petang.

Akibatnya, rata-rata pelajar tidak dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran, malah ada yang lari ketakutan sejurus melihat rakan terkena gangguan.

Pelajar Tingkatan Tiga, Erra Natasya Mohd Asri, 15, berkata hampir setiap hari sejak dua minggu lalu, ada pelajar yang diserang histeria di sekolah berkenaan.

“Malah pada satu pagi, sekurang-kurangnya tiga pelajar perempuan dan dua pelajar lelaki diserang histeria mulai 9.30 pagi. Sebaik terkena gangguan, ustaz membantu dengan membacakan ayat al-Quran.

“Sebelum ini, histeria pernah membabitkan antara 15 hingga 20 pelajar, menyebabkan guru sibuk membantu mereka yang mengalami serangan itu,” katanya.

Rakannya, Noor Fazila Mohd Jais, 15, berkata kejadian histeria yang dialami di sekolah itu boleh dikatakan berlaku setiap tahun, cuma berbeza masa dan bulan.
“Sejak saya bersekolah di sini dari Tingkatan Satu, setiap tahun pasti ada kejadian histeria. Biasanya ia mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk berakhir.

“Tahun lalu, kejadian sama berlaku di Blok E. Pengurusan sekolah menggunakan lada hitam dijampi yang ditabur di sekeliling sekolah sebelum gangguan itu reda.

“Sejak dua minggu lalu pula, kejadian berulang lagi tetapi kali ini bermula dari tandas pelajar perempuan di Blok A. Selain ustaz, ada kala imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda turut dipanggil untuk membantu,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Najiha Ramli, 15, berkata setiap kali berlaku serangan histeria, pelajar yang menjadi mangsa akan menjerit, menangis serta meracau sebelum merebak kepada rakan lain.

“Keadaan itu membuatkan kami ketakutan melihat rakan yang mengalami gangguan berkenaan kerana selalunya mereka ambil masa lama untuk pulih,” katanya.

Bapa seorang pelajar ketika tampil mengadu kejadian itu, menggesa pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengambil langkah segera menangani kejadian terbabit bagi mengelakkannya berulang.

Istilah ‘Remaja Dua Roda’ Ganti ‘Mat Rempit’ – Bernama


Sabtu April 30, 2011
Istilah ‘Remaja Dua Roda’ Ganti ‘Mat Rempit’

ALOR SETAR: Bagi mengelak persepsi negatif terhadap penunggang motosikal, penggunaan istilah ‘mat rempit’ disaran diganti dengan ‘remaja dua roda’.

Ketua Pegawai Eksekutif Ride It Right Management (Malaysia) Sdn Bhd, Suhaimi Abd Jalil berkata label mat rempit yang diberi kepada penunggang motosikal akan menyebabkan mereka mungkin bertindak seperti golongan berkenaan dan bagi mengelak perkara itu berlaku, istilah tersebut perlu ditukar.

“Kenapa perkara-perkara negatif itu harus kita uar-uarkan dan banggakan, sedangkan kita boleh menggunakan perkataan yang lebih baik daripada merempit? “Bila kita menguar-uarkan perkataan merempit, Malaysia akan sinonim dengan perkataan itu, dan kerana itulah hari ini kita menguar-uarkan tentang penggunaan istilah remaja dua roda yang nampak lebih positif, dan mungkin suatu hari nanti, perkataan rempit itu akan hilang,” katanya selepas pelancaran ‘Karnival dan Kempen Ride It Right: Tunggang, Jangan Tunggang Langgang’, Sabtu.

Beliau berkata walaupun perkataan merempit mungkin mustahil untuk ditukar, namun sebagai langkah awal, penggunaannya dapat diminimumkan.

“Meminimumkan perkataan merempit itu sudah cukup baik bagi kami kerana melalui pendekatan itu juga kita dapat mengurangkan gejala Mat Rempit yang lebih cenderung ke arah aktiviti negatif,” katanya.

Suhaimi berkata kempen Ride It Right itu akan menjadi platform kepada golongan remaja dua roda untuk menjadi profesional dalam bidang permotoran.

“Di sini kita memberi pendekatan kepada mereka supaya mereka tidak menunggang motosikal dengan cara yang salah.

“Jadi, kita akan ketengahkan bakat mereka di saluran yang betul dan mereka akan dilatih oleh golongan yang profesional dalam bidang ini,” katanya.

Majlis yang mendapat kerjasama UMW Pennzoil Distributors Sdn Bhd dan Polis DiRaja Malaysia itu dilancarkan Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab, dan Kedah merupakan negeri keenam selepas Perak, Pahang, Melaka, Perlis serta Pulau Pinang. BERNAMA

Boria cantum budaya pelbagai kaum – Bernama


Boria cantum budaya pelbagai kaum

BAYAN LEPAS 30 April — Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menggesa penggiat boria agar mencantumkan program seni dan budaya pelbagai kaum dalam persembahan mereka.

Beliau berkata perkara itu harus dimulakan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi agar dapat dikembangkan secara meluas.

“Semua masyarakat ada budayanya, kita harus mewujudkan identiti sendiri dan cantumkan ia menjadi satu program persembahan,” katanya ketika berucap menutup Festival Boria 1Malaysia di Kampung Seronok, di sini malam ini.

Beliau berkata ini kerana persembahan kebudayaan yang menjadi produk pelancongan harus memaparkan kesemua budaya yang ada di negara ini untuk tatapan pelancong asing.

Katanya, kerajaan sudah berusaha ke arah itu menerusi persembahan kebudayaan yang dijalankan secara bersama kementeriannya dan Kementerian Pelancongan.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan netbook kepada 12 pelajar sebagai simbolik penyerahan bantuan komputer percuma kepada pelajar cemerlang di negeri ini.

Beliau juga menandatangani plak catatan rekod Malaysia Book of Records bagi penyertaan boria teramai iaitu 2,811 orang dari pelbagai kaum.

Selain itu, Rais turut menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan boria bagi tiga kategori termasuk kategori terbuka yang dimenangi Angkatan Budaya Sari Pulau Pinang. — BERNAMA

Sistem ganti PTK bermula 1 Julai – Utusan Malaysia


Sistem ganti PTK bermula 1 Julai

KUALA LUMPUR 30 April – Kerajaan dijangka melaksanakan sistem penilaian baru terhadap penjawat awam menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa Julai ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, sistem itu akan menilai tahap kompetensi golongan itu berdasarkan penguasaan pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku mereka dalam pekerjaan.

“Pada 2 Mei ini, Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) dan CUEPACS akan membuat persidangan bagi membentangkan beberapa cadangan terhadap penambahbaikan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran sempena ulang tahun ke-50 penubuhan Kesatuan Inspektor Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Pemansuhan PTK yang berkuatkuasa 1 Januari lalu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2011 pada Oktober tahun lalu.

Menurut Omar, sistem penilaian baru itu akan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

400 murid ikuti bengkel ADaP – Utusan Malaysia


400 murid ikuti bengkel ADaP

KAMARIAH Mat Rawi (kanan) bergambar bersama guru dan murid ketika menyerahkan replika langganan akhbar Utusan Malaysia kepada Mohd. Asri Jantan di Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 30 April – Lebih 400 murid di Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat di sini tidak melepaskan peluang mengikuti bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)sisipan Utusan Malaysia yang dianjurkan di sekolah berkenaan.

Program tersebut bertujuan menggalakkan para murid menggunakan bahan pendidikan di dalam akhbar Utusan Malaysiasebagai sumber rujukan dan ulang kaji Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di samping memupuk minat membaca dari usia muda.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat, Kamariah Mat Rawi, pihaknya sememangnya amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak Utusan Malaysia dalam membangkitkan lagi minat belajar di kalangan para murid.

“Bukan sahaja bahan daripada sisipan ADaP, para guru juga sering menggunakan keratan akhbar sebagai topik perbincangan dalam kelas untuk meluaskan pengetahuan dan sebagai bahan rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan langganan 10,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia menerusi program Perkongsian Pintar Langganan Tahunan 2011 kepada Eksekutif Kanan Pemasaran Zon Selatan Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Asri Jantan di sekolah tersebut di sini semalam.

Selain Bengkel ADaP, kerjasama antara Utusan Malaysia dengan pihak sekolah tersebut adalah termasuk sumbangan majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan untuk ditempatkan di sudut bacaan sekolah berkenaan.

Sementara itu, menurut Asri, pelbagai manfaat dapat diperoleh oleh pihak sekolah menerusi kerjasama dengan Utusan Malaysia memandangkan bahan pendidikan berkualiti yang disediakan.

Katanya, bagi sekolah yang berminat untuk menyertai program Bengkel ADaP boleh menghubungi pihak pemasaran Utusan Malaysia cawangan Johor melalui talian 07-3335738 atau 019-4491606.