3,000 penjawat awam diisytihar bankrap tahun lalu – Bernama


3,000 penjawat awam diisytihar bankrap tahun lalu

2011/05/04

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 penjawat awam diisytiharkan bankrap pada tahun lalu, meningkat dari 2009 yang mencatat jumlah 1,086 orang, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman hari ini.
Beliau berkata paling ramai dari kumpulan ini datang dari kategori Gred 1 hingga Gred 40, dimana hampir 80 peratus terlibat adalah lelaki.
“Kebanyakannya sebab mereka buat pinjaman kenderaan…Mungkin gaji dah kecil dan sudahpun buat banyak pinjaman, tetapi pinjam lagi untuk beli kenderaan lepas tu tak boleh bayar, timbul masalah dan berhutang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena Hari Pekerja anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

erdahulu Omar dalam ucapannya berkata, walaupun pihaknya terus berusaha membuat tuntutan baru untuk memastikan kebajikan dan keselesaan penjawat awam terjaga, tabiat sesetengah warga penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan juga perlu ditegur. Jelasnya, jika keadaan sebegini berlarutan, penjawat awam tersebut tidak akan berpuas hati dengan apa-apa pun penambahan atau kenaikan kerana ini sentiasa tidak akan cukup bagi mereka. Namun beliau turut menegaskan bahawa kenaikan harga barangan pada masa ini semakin membebankan penjawat awam, sebab itu Cuepacs memohon kerajaan untuk melakukan pelarasan gaji pada tahun ini, termasuk penambahbaikan faedah-faedah lain.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak juga mengalami perkara yang sama, dimana harga barang dan kos hidup di sini turut meningkat seperti di Semenanjung. – BERNAMA

P. Pinang didakwa tak adil beri peruntukan sekolah – ADUN BN – Bernama


P. Pinang didakwa tak adil beri peruntukan sekolah – ADUN BN

04/05/2011 5:39pm

GEORGETOWN 4 Mei – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional hari ini mendakwa kerajaan negeri tidak adil dalam pembahagian peruntukan untuk sekolah-sekolah di negeri ini.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) mendakwa sekolah agama rakyat hanya menerima peruntukan sebanyak RM1.8 juta tahun lepas.

Beliau berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina menerima peruntukan sebanyak RM3.8 juta, SJK Tamil (RM1.7 juta) dan Sekolah Mubaligh (RM850,000).

“Saya lihat peruntukan yang disediakan tidak adil,” katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas ucapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri hanya menambah RM50 sebulan dalam pemberian elaun untuk guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

“Sebaliknya kerajaan pusat memberikan sebanyak RM800 sebulan,” katanya. – Bernama

Cabul budak lelaki: Warga Bangladesh dipenjara 3 tahun – Utusan Malaysia


Cabul budak lelaki: Warga Bangladesh dipenjara 3 tahun

04/05/2011 5:11pm

KOTA BHARU 4 Mei – Seorang buruh warga Bangladesh dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pilihan iaitu mencabul seorang budak lelaki berusia sembilan tahun pada Jun tahun lalu.

Md. Hauann Padhn, 31, yang bekerja di Pasir Mas mengangguk tanda faham ketika pertuduhan terhadapnya yang dibacakan oleh jurubahasa, Manoj Kumar di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Rofiah memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 30 Jun tahun lalu. – Utusan

Mahkamah tangguh hukuman pelajar tumbuk guru – Bernama


Mahkamah tangguh hukuman pelajar tumbuk guru

2011/05/04

KANGAR: Mahkamah Juvana hari ini menangguhkan hukuman terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mengaku bersalah menumbuk seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Jaafar Hassan, Bukit Keteri, dekat sini April lalu.

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menetapkan 1 Jun ini bagi menjatuhi hukuman itu berikutan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan laporan perubatan guru berkenaan.

Pada 11 April lalu, pelajar tingkatan dua itu mengaku bersalah atas tuduhan menumbuk guru mata pelajaran Sejarah, Mariati Mat Ail, 37, sehingga menyebabkan kecederaan di hidungnya kira-kira 12.45 tengah hari, 7 April lalu di sekolah terbabit.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan hukuman.

Pendakwaan kes itu dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sabry, mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Pelajar itu yang diiringi aHLI keluarganya bergegas meninggalkan mahkamah sebaik hukuman ditangguhkan. – BERNAMA

2 beradik pukul, maki, halau ibu – Harian Metro


2 beradik pukul, maki, halau ibu

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang ibu bukan saja dipukul dua anaknya, malah dihalau dari rumah ekoran tidak memberi wang yang diminta dalam kejadian di Kampung Pandan Dalam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, ibu berusia 41 tahun terbabit mengalami lebam di muka dan badan selepas dipukul anak lelaki dan perempuannya.

Kejadian dikatakan bermula apabila anak lelaki mangsa yang berusia 19 tahun dan baru balik dari berjumpa rakannya tiba-tiba meminta wang, namun mangsa memberi alasan tiada wang menyebabkan anaknya itu bertindak kejam memukul mangsa selama beberapa minit.

Sumber polis berkata, mangsa turut dicekik anaknya selain kepalanya dihentak pada dinding.

Katanya, pertelingkahan dua beranak itu bertambah parah apabila anak perempuan mangsa yang berusia 20 tahun pula campur tangan dengan turut bertindak memarahi dan memukul ibu mereka tanpa belas kasihan.

“Anak perempuan mangsa turut menghalau mangsa keluar dari rumah dengan memaki hamun menggunakan perkataan tidak sepatutnya termasuk menggunakan panggilan ‘babi’.

Elak anak cacat kekal – Harian Metro


Elak anak cacat kekal

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Sikap ambil mudah ibu bapa terhadap serangan demam panas pada anak-anak mereka adalah antara punca utama ramai kanak-kanak Malaysia mengalami kecacatan kekal akibat serangan virus pada otak.

Berikutan itu, ibu bapa disaran mendapatkan maklumat asas pencegahan kecacatan kanak-kanak di peringkat awal bagi membolehkan masalah itu segera dirawat, sekali gus mengelakkan risiko penyakit berkenaan.
Perkara itu disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika melancarkan Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kanak-kanak di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan laman web kempen berkenaan, siri dokumentari 13 kisah kanak-kanak autisme bertajuk ‘Jika Itu Takdirnya’ yang akan disiarkan di TV1 dan penerbitan buku ‘Manual Pencegahan Kecacatan Kanak-kanak’.
Kempen itu adalah sebahagian program Semai Bakti anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Pemimpin Barisan Nasional (Bakti) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.
Najib berkata, setiap ibu bapa perlu mengetahui risiko tinggi yang boleh dihadapi sekiranya mereka tidak memberi rawatan segera kepada anak masing-masing.

Beliau berkata, kegagalan memberi rawatan segera menyebabkan kanak-kanak akan mengalami kecacatan kekal sepanjang hayat.
“Rawatan awal mudah yang boleh diberikan termasuk meletakkan ais pada dahi anak yang demam panas bagi menurunkan suhu. Langkah mudah itu penting kerana sekiranya lambat bertindak ia boleh memberi kesan kepada otak kanak-kanak berkenaan.

“Selain itu, pencegahan awal atau intervensi awal maknanya pencegahan jangan berlaku sesuatu yang boleh membuat seseorang itu menjadi cacat,” katanya ketika berucap merasmikan kempen berkenaan di sini semalam.
Hadir sama, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Yang Dipertuanya, Puan Seri Noraini Abdul Rahman; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Perak (Baiduri), Datin Seri Saripah Zulkifli serta Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Heng Seai Kie.
Katanya, sekiranya kecacatan seseorang kanak-kanak itu tidak dapat dielakkan, ibu bapa perlu mengambil inisiatif mengenal pasti bakat dan kebolehan mereka dengan bantuan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus membela dan membantu kanak-kanak cacat dan Orang Kurang Upaya (OKU) selaras dengan usaha untuk terus membantu rakyat Malaysia berdasarkan kepada Gagasan 1Malaysia.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, kementeriannya bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran bagi mengadakan program intervensi awal dalam mencegah kecacatan di kalangan pelajar sekolah.
Beliau berkata, golongan pakar dari kementeriannya boleh dihantar ke sekolah untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai masalah bagi membolehkan bantuan diberikan dengan lebih berkesan.

Jawatankuasa khas kaji kurikulum Sejarah ditubuh – Berita Harian


Jawatankuasa khas kaji kurikulum Sejarah ditubuh

2011/05/04

MUHYIDDIN mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah di Putrajaya, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud (kiri) dan Omar (kanan).

MUHYIDDIN mengadakan perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah di Putrajaya, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud (kiri) dan Omar (kanan).

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menemui 10 anggota Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah, yang dilantik berkuat kuasa semalam bagi memastikan kandungannya dapat memupuk semangat menjiwai 1Malaysia di kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, dalam kenyataan semalam, berkata jawatankuasa khas itu dipengerusikan oleh Datuk Omar Mohd Hashim yang juga Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, manakala timbalannya ialah Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datin Paduka Prof Dr Ramlah Adam.

“Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013. Justeru, kita mahu mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah.

“Matlamatnya, kurikulum Sejarah yang mahu diperkenalkan ini harus mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cinta tanah air, sekali gus memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warga Malaysia,” katanya yang juga Menteri Pelajaran.

Ahli lain ialah Pakar Sejarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; Pakar Prasejarah Akademi Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman; Pensyarah Jabatan Sejarah UM, Prof Dr Danny Wong Tze Ken dan Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ranjit Singh Darshan Singh.

Anggota lain termasuk Ketua Jabatan Sejarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Ismail Ali; Penolong Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Neilson Ilan Mersat dan wakil Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Dr Benedict Topin.

Perjumpaan pertama jawatankuasa khas itu berlangsung di Kementerian Pelajaran, semalam dan akan mengadakan perbincangan selama setahun untuk menyumbang pendapat atau memberi cadangan dalam empat aspek utama bagi menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan SPM mulai 2013.
Ia termasuk mengkaji kesesuaian kandungan kurikulum subjek Sejarah dan buku teks Sejarah sedia ada dengan hasil pembelajaran Sejarah yang menekankan penghayatan dan pengalaman perpaduan serta patriotisme selain mengkaji ketepatan fakta.

Cegah kecacatan anak peringkat awal – Berita Harian


Cegah kecacatan anak peringkat awal
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amarudin

2011/05/04

NAJIB bertanyakan sesuatu kepada G Muniswaran, 5 tahun    yang mengalami kecacatan tulang belakang   pada majlis pelancaran Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan   Kanak-Kanak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

NAJIB bertanyakan sesuatu kepada G Muniswaran, 5 tahun yang mengalami kecacatan tulang belakang pada majlis pelancaran Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kanak-Kanak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Najib mahu maklumat faktor risiko disebar

IPOH: Datuk Seri Najib Razak berkata pengetahuan mencegah kecacatan kanak-kanak di peringkat awal perlu disebar luas ke seluruh anggota masyarakat, terutama ibu bapa bagi membolehkan masalah itu dirawat segera, sekali gus mengelak anak mengalami cacat sepanjang hayat sehingga mengorbankan masa depan mereka yang cerah.

Perdana Menteri berkata, ibu bapa perlu mengetahui faktor risiko yang boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kecacatan. Sebagai contoh, kegagalan memberi rawatan awal mudah dengan meletakkan ais pada dahi anak yang demam panas bagi menurunkan suhu, boleh mengakibatkan kesan kepada otak kanak-kanak berkenaan.

“Pencegahan awal atau intervensi awal maknanya pencegahan jangan berlaku sesuatu yang boleh membuat seseorang itu menjadi cacat.

“Peringkat kedua pula, Kementerian Kesihatan boleh hantar pakar ke sekolah mengesan sama ada seorang pelajar ada tanda-tanda awal menjadi autistik atau sindrom down atau apapun yang mungkin ibu bapanya menafikan (kecacatan), tetapi (jika) doktor dapat kesan dan kenal pasti (kecacatan), ibu bapa kenalah terima hakikat yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan serentak Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kanak-Kanak, laman web kempen berkenaan, siri dokumentari 13 siri kisah kanak-kanak autisme bertajuk Jika Itu Takdirnya di TV1 bermula malam tadi serta penerbitan buku Manual Pencegahan Kecacatan Kanak-kanak di Stadium Indera Mulia di sini, semalam.

Kempen berkenaan adalah sebahagian program Semai Bakti anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Yang Dipertua BAKTI, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Terdahulu, Rosmah menasihatkan ibu bapa supaya mengelak daripada sindrom penafian semata-mata kerana tidak dapat menerima hakikat kecacatan atau abnormaliti yang berlaku kepada anak mereka, sebaliknya mereka harus menerima kenyataan itu dan menganggap ia sebagai fitrah daripada Allah.

Katanya, apa yang penting ibu bapa seharusnya membawa anak untuk pemeriksaan awal kerana semakin lewat mereka dirawati, semakin sukar masalah itu diatasi.

Beliau berkata, pengalaman dari serata dunia menunjukkan program intervensi awal mampu membantu kanak-kanak autisme memaksimumkan potensi mereka dalam bidang tertentu seperti seni lukis, matematik, muzik dan seni.

Pelajar, remaja maut dirempuh lori – Bernama


Pelajar, remaja maut dirempuh lori

2011/05/04

IPOH: Seorang pelajar terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Banjar, Teluk Intan, 100 kilometer dari sini semalam.

Mangsa, Mohamad Firdaus Che Rose, 15, berasal dari Kampung Tersusun Padang Tembak, Teluk Intan, mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan pada 8.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang, berkata nahas berlaku pada 4.55 petang ketika mangsa dikatakan membuat pusingan U di jalan berkenaan tanpa disedari sebuah lori dari arah belakang merempuhnya.

“Mangsa pelajar di sebuah sekolah di Teluk Intan yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan tetapi meninggal dunia pada 8.45 malam tadi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian di KM45.5 Jalan Ipoh-Lumut dekat Parit seorang remaja yang menunggang motosikal terbunuh selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah lori awal pagi ini.

Mangsa, Mohamad Muazam Ismail, 19, yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia ditempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Bangkong, Lambor Kiri, Bota. – BERNAMA