300 guru pakar Bahasa Inggeris dibawa masuk: Muhyiddin – Bernama


300 guru pakar Bahasa Inggeris dibawa masuk: Muhyiddin

2011/05/06

MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan membawa masuk kira-kira 300 penutur jati bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat bagi membimbing para pelajar tempatan dalam mata pelajaran bahasa itu mulai tahun depan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pakar Bahasa Inggeris itu akan ditempatkan di sekolah-sekolah yang diletakkan dalam kategori Band 6 dan 7.
“Program itu akan mula dilaksanakan pada 2012 dengan kos hampir RM18 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan Melaka 2011, di sini, hari ini.

Beliau berkata program itu merupakan lanjutan daripada pertemuan antara Presiden Amerika, Barack Obama dan pemimpin Asean yang menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, September tahun lepas. Pada pertemuan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan agar program yang dikenali American Peace Corps, yang begitu popular sekitar 1960-an, dilaksanakan. Program itu membabitkan tiga matlamat iaitu menyediakan bantuan teknikal, membantu rakyat di luar Amerika memahami budaya negara itu dan membantu rakyat Amerika memahami budaya negara lain.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata kementerian sedang menimbang kemungkinan mengadakan kelas-kelas tambahan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris selepas waktu persekolahan bagi memperkukuhkan lagi penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.
Katanya usaha itu bagi memastikan para pelajar sekurang-kurangnya dapat berkomunikasi secara asas dalam Bahasa Inggeris. – BERNAMA

Pelakon drama ‘Langit Tidak Selalu Cerah’ didakwa cabul pelajar – Bernama


Pelakon drama ‘Langit Tidak Selalu Cerah’ didakwa cabul pelajar

2011/05/06

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon era 70-an yang membintangi drama “Langit tidak selalu cerah”, Mokhtaruddin Mohd Saad, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang terhadap pertuduhan mencabul seorang pelajar.
Mokhtaruddin, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Najib Ismail.
Tertuduh yang juga pengasas kepada pertubuhan Raudah iaitu sebuah badan kebajikan, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pelajar perempuan berusia 13 tahun, di Asrama Raudah di No 336, Batu 11, Gombak pada 2.30 petang, 1 Mei lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan. Pendakwaan yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Hamzah mencadangkan Mokhtaruddin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kemudian menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan lantik peguam.

Anak lelakinya, Datuk Mohd Bismi Adira selaku penjamin membayar jaminan itu. – BERNAMA

Bomoh dijel rogol anak tiri – Utusan Malaysia


Bomoh dijel rogol anak tiri

IPOH 5 Mei – Seorang bomoh berusia 71 tahun tergamak merogol anak tirinya yang berusia 24 tahun dengan alasan kononnya ingin menurunkan ilmu yang diamalkan kepada gadis tersebut.

Lebih menjijikkan, perbuatan tersebut dipertontonkan kepada ibu mangsa.

Tidak tahan dengan perbuatan tersebut dan ugutan lelaki itu untuk membunuh ibunya, mangsa membuat laporan polis pada 13 Februari tahun lalu menyebabkan bapa tirinya ditahan polis.

Hari ini, warga emas itu yang bekerja sebagai penoreh getah menerima pembalasan apabila dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas disabitkan kesalahan merogol anak tirinya itu.

Hakim Noor Hayati Mat menjatuhkan hukuman itu setelah lelaki tersebut didapati bersalah merogol mangsa pada pukul 1 pagi, 2 Februari 2010 di rumahnya di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang, Batu Gajah dekat sini.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Noor Hayati memutuskan demikian setelah mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai tertuduh ditahan reman pada Februari 2010.

Tertuduh diwakili peguam bela Ranjit Singh manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhaimin Aris.

‘Buktikan dengan DNA’ – Harian Metro


‘Buktikan dengan DNA’

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: “Saya tidak melakukan perbuatan itu dan jika benar saya bersalah, buktikan dengan DNA (asid deoksiribonukleik),” kata seorang pengawal keselamatan dalam rayuannya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berusia 43 tahun itu berkata demikian selepas mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan merogol anak kandungnya di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anaknya yang berusia lapan tahun sembilan bulan ketika itu di sebuah apartmen di Pandan Indah, antara 10 Mac sehingga 3 Ogos, tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan sehingga 10 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dalina Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, Roszianayati tidak membenarkan jaminan ditawarkan berikutan kes melakukan sumbang mahram adalah kes serius, namun tertuduh merayu agar jaminan diberikan.

“Jika saya tidak bekerja, bagaimana saya mahu melantik peguam bela. Jadi saya merayu agar jaminan ditawarkan,” katanya.
Tertuduh dalam rayuannya turut mendakwa isterinya curang dan dia perlu menjaga anaknya itu. Roszianayanti kemudian memaklumkan tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah akan menetapkan tarikh sebutan semula awal bagi menyelesaikan kes berkenaan dengan cepat.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, pengawal keselamatan terbabit turut dituduh bagi kesalahan mencabul kehormatan anak perempuannya itu.
Di hadapan Majistret Aida Mastura Mohamed Aman, tertuduh yang didakwa melakukan perbuatan mencabul terhadap anaknya itu di tempat dan waktu yang sama tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan.