Pelakon Mokhtaruddin didakwa cabul remaja


Pelakon Mokhtaruddin didakwa cabul remaja

KUALA LUMPUR 6 Mei – ”Dituduh cium! Dituduh cium! Dituduh cium!”. Itu merupakan satu-satunya kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pelakon popular era 70-an dan 80-an, Mokhtaruddin Mohd. Saaid, 56, hari ini sambil bergaya dan tersenyum di hadapan jurugambar apabila menyedari kehadiran pihak media sebaik saja dia turun dari trak polis.

Pelakon yang pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi filem Pasung Puaka dan Pertentangan pada 1980 dan 1984 terus mengulangi kata-kata tersebut sehingga dibawa masuk ke dalam lokap Kompleks Mahkamah Selayang, dekat sini.

Kira-kira 15 minit selepas itu, Mokhtaruddin yang hilang penglihatan akibat katarak sejak hampir sembilan tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun 11 bulan dengan cara mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa.

Dia yang tidak diwakili peguam bela didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2.30 petang, 1 Mei lalu di Asrama Raudhah, Batu 11 Gombak, dekat sini.

Mangsa merupakan salah seorang penghuni Pondok Penyayang Raudhah yang mana tertuduh merupakan pengasas kepada rumah perlindungan remaja bermasalah itu.

Pertuduhan terhadap bekas jurulatih silat itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 sementara anak sulung pelakon itu, Datuk Mohd. Bismi Adira memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan dia hanya membawa RM3,000 pada ketika itu.

Majistret Muhammad Najib Ismail kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 17 Julai ini.

Anak lelaki Mokhtaruddin itu yang diberi pelepasan oleh Hospital Ampang Puteri selepas dimasukkan ke wad semalam kerana penyakit gastrik, membayar wang jaminan kira-kira pukul 11.45 pagi ini sebelum kesemua mereka dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah.

Kerani, guru menang Siri 1 – Utusan Malaysia


Kerani, guru menang Siri 1

HASSAN Mohd. Noor (tengah) mengetuai panel juri bagi memilih pemenang Peraduan Kumpul dan Menang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 6 Mei — Seramai 17 pembaca setia Utusan Malaysiadan Mingguan Malaysia diumumkan sebagai pemenang Peraduan Kumpul dan Menang siri pertama anjuran akhbar ini hari ini.

Dua daripada mereka merangkul hadiah utama berupa wang tunai RM500 setiap seorang, manakala selebihnya akan menerima hadiah misteri daripada penganjur.

Dua pemenang hadiah utama itu ialah ketua kerani, Siti Aishah Abdul Rahman, 48, dari Mersing, Johor manakala seorang lagi, Fauziah Zakaria, 33, dari Parit Buntar, Perak.

Pemilihan itu dilakukan oleh tiga panel hakim iaitu Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor; wakil Unit Jurufoto, Jaffri A. Rahman dan wakil Jabatan Pemasaran, Kumpulan Utusan, Zafari Mohd. Noor.

Hassan berkata, Peraduan Kumpul dan Menang yang bermula pada 24 April lalu akan menguji pembaca meneka gambar termasuk tokoh, selebriti dan tempat pelancongan.

“Siri pertama kali ini menampilkan gambar gandingan pelakon dan pengacara jelita Maya Karin bersama pelakon kacak Remy Ishak,” katanya selepas memilih para pemenang di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kesemua pemenang akan dihubungi sama ada melalui surat atau telefon dalam masa terdekat.

“Penyertaan kali ini amat memberangsangkan apabila kita mendapat penyertaan dari pelbagai peringkat umur dan pekerjaan termasuk kakitangan awam, swasta, pesara, suri rumah dan pelajar,” katanya.

Hassan berkata, setiap siri peraduan memerlukan pembaca mengumpul keratan yang disiarkan mulai Ahad hingga Jumaat manakala borang disiarkan pada hari Sabtu.

Peraduan mudah itu kini memasuki siri kedua.

Pelajar dapat 6A, 7A patut diberi biasiswa – Utusan Malaysia


Pelajar dapat 6A, 7A patut diberi biasiswa

KOTA BHARU 6 Mei – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) meminta kerajaan supaya turut memberi biasiswa kepada pelajar bumiputera yang mendapat 6A dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, bantuan itu penting untuk memastikan lebih ramai pelajar bumiputera berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.

Katanya, bantuan itu juga perlu diberi bagi memenuhi hak dan keistimewaan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jika pelajar-pelajar ini menepati syarat A dalam empat subjek asas (Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik) itu maka mereka berhak diberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM25,600 kepada 164 pelajar Parlimen Pasir Mas yang mencapai keputusan 7A ke atas dalam SPM 2010.

Kabinet kelmarin memutuskan semua pelajar SPM 2010 tanpa mengira kaum yang mencatat keputusan 8A dan ke atas akan diberikan biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Ibrahim ketika mengulas keputusan tersebut menyifatkan ia sebagai satu bukti bahawa kerajaan Pusat menitikberatkan pembangunan modal insan di Malaysia.

“Perkasa mengalu-alukan keputusan tersebut yang memberi bantuan kepada semua pelajar tidak kira kaum demi pembangunan modal insan di negara ini.

“Bagaimanapun kerajaan perlu peka bahawa pelajar yang mendapat 6A dan cukup syarat juga layak untuk diberikan bantuan itu,” tegas beliau.

Mati selepas beri bantuan CPR budak lemas – Utusan Malaysia


Mati selepas beri bantuan CPR budak lemas

TELUK KEMANG 6 Mei – Seorang lelaki tiba-tiba rebah lalu meninggal dunia sejurus selepas memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas seorang daripada tiga kanak-kanak sekolah yang hampir lemas di pantai Port Dickson, dekat sini semalam.

Mangsa, Zulkifly Hamzah, 43, bapa kepada tiga anak dari Taman Politeknik dekat sini, disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Port Dickson dalam kejadian pada pukul 5.45 petang.

Ibunya, Nyapon Jantan, 63, berkata, ketika kejadian anaknya itu duduk minum bersamanya di gerai milik mereka di tepi pantai Teluk Kemang, dekat sini.

“Ketika itulah arwah anak saya terlihat tiga kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang sedang tenggelam timbul di kawasan perairan berkenaan dan hampir lemas,” katanya di sini hari ini.

Tambah Nyapon, beberapa pengunjung yang sedang berkelah di pantai itu bergegas berenang ke dalam laut untuk menyelamatkan tiga kanak-kanak berkenaan.

“Waktu itu kesemua kanak-kanak itu berjaya dibawa naik ke pantai dan tidak sedarkan diri. Semasa itulah arwah Zulkifly bertindak pantas memberikan bantuan CPR kepada salah seorang daripada kanak-kanak itu,” ujar Nyapon kesedihan.

Tambahnya lagi, sebaik sahaja kanak-kanak yang diberikan bantuan CPR itu mula sedarkan diri, arwah anaknya secara tiba-tiba rebah lalu pengsan.

Sepupu arwah, Badiozaman Abu, 43, yang sama-sama melakukan CPR ke atas dua lagi kanak-kanak berkenaan kemudian mengangkat Zulkifly dan membawanya ke Hospital Port Dickson.

“Doktor di bilik kecemasan memaklumkan arwah telah meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital itu,” kata Badiozaman yang baru mula bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama arwah Zulkifly di syarikat keselamatan di sini, empat hari lalu.

Ketiga-tiga pelajar berkenaan kemudian dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan dengan salah seorang daripadanya dimasukkan ke wad.

Arwah Zulkifly meninggalkan seorang isteri, Norhayati Ahmad, 39, dan tiga anak, Ilyasa Zulkifly 14, Idham Syah, 9 dan Izuwan Syah, 8.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut dan mengklasifikasikan ia sebagai kematian mengejut.

Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional – Utusan Malaysia


Swasta boleh bantu pendidikan teknikal, vokasional

MELAKA 6 Mei – Kerajaan menggesa pihak swasta berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran untuk membangunkan bidang pendidikan teknikal serta vokasional bagi mengisi keperluan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui kerjasama tersebut, kerajaan dapat menggunakan segala kemudahan yang terdapat di sekolah-sekolah swasta bagi melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, tanpa kerjasama sektor swasta, hasrat kerajaan untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran tersebut daripada 10 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh lima tahun tidak akan tercapai.

”Saya bercadang untuk mengajak bukan sahaja agensi kementerian yang ada di peringkat Persekutuan tetapi sektor swasta untuk terlibat sama bagi mengisi keperluan sekolah-sekolah vokasional dan teknikal yang dibangunkan oleh mereka.

”Sebab itu, saya umumkan kita perlu tingkatkan pendidikan teknikal dan vokasional dalam tempoh lima tahun dan bukannya 10 tahun, ini merupakan cabaran besar yang perlu diharungi,” katanya berucap merasmikan Karnival Pendidikan Melaka 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Pengarah Pendidikan negeri, Juliah Leman.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pada masa ini pelajar aliran teknikal dan vokasional hanya berjumlah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Justeru katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding beberapa negara termasuk negara jiran Indonesia, Thailand dan Singapura yang mempunyai antara 40 hingga 60 peratus pelajar dalam aliran tersebut.

”Kesemua negara terbabit memberi tumpuan dalam bidang teknikal dan vokasional kerana pelajar yang mereka lahirkan dapat memenuhi tuntutan untuk memajukan ekonomi negara mereka,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang dicadangkan bersama sektor swasta itu selaras dengan tumpuan oleh Kementerian Pelajaran bagi memastikan bidang teknikal dan vokasional terus dikembangkan.

Ujarnya, peranan yang boleh dimainkan oleh sektor awam dan swasta dilihat amat penting untuk membangunkan sektor pendidikan agar menjadi lebih maju selain mengisi keperluan ekonomi negara.

Pencuri tumpang tidur dua minggu – Harian Metro?


Pencuri tumpang tidur dua minggu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TELUK INTAN: Niat baik seorang remaja yang menumpangkan dua rakan tidur di rumahnya bertukar mimpi buruk apabila kedua-dua rakannya itu tergamak mencuri barang kemas dan wang tunai milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.

Suspek dikatakan berpura-pura menumpang tidur dan makan selama dua minggu sebelum mengambil kesempatan mencuri barang berharga.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, remaja berusia 17 tahun itu membenarkan dua rakannya masing-masing berumur 17 dan 22 tahun menumpang di rumahnya di Taman Seri Intan, Hutan Melintang, di sini, sejak 12 April lalu.

“Kedua-dua suspek menumpang tidur di rumah mangsa selama 14 hari, namun ahli keluarga remaja tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka berkelakuan sopan.
“Selepas dua minggu menumpang di rumah remaja itu, kedua-dua rakannya itu tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebarang berita,” katanya.
Menurutnya, bapa remaja itu yang curiga kemudian memeriksa rumahnya itu sebelum terkejut apabila mendapati barang kemas iaitu dua utas rantai leher emas dan sebentuk cincin emas serta wang tunai RM500 yang di simpan di dalam almari pakaian lesap.

“Bapa remaja itu yang juga seorang peniaga pisang goreng berusia 45 tahun berusaha menjejaki suspek di serata kampung selama lebih tiga hari, namun gagal.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Hutan Melintang pada 1 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Goh berkata, bertindak atas laporan diterima itu, polis menjalankan operasi mengesan kedua-dua suspek sebelum menahan mereka di sebuah rumah di sekitar Hutan Melintang.

Pelakon dituduh cabul budak – Harian Metro


Pelakon dituduh cabul budak

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SELAYANG: Pelakon veteran yang popular di era tahun 70-an, Mokhtaruddin Mohd Said, 56, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun di asrama pusat perlindungan yang diasaskannya, enam hari lalu.

Mokhtaruddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Najib Ismail.

Mengikut pertuduhan, pengasas Pondok Penyayang Raudah (PPR) itu didakwa secara jenayah mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun dengan mencium pipi dan memeluk pinggang mangsa tanpa kerelaannya di asrama itu di No 336, Batu 11, Gombak di sini pada jam 2.30 petang, 1 Mei 2011.

Difahamkan mangsa yang turut menginap di asrama berkenaan membuat laporan polis pada 2 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Guru yoga culik mangsa rogol selepas keluar penjara – Harian Metro


Guru yoga culik mangsa rogol selepas keluar penjara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang guru yoga yang kini dibicarakan di mahkamah atas tuduhan merogol dua gadis yang juga bekas pelajarnya sanggup menculik dua gadis itu sebaik dibebaskan sebelum membuat satu rakaman video dengan memaksa mereka membuat pengakuan kononnya dia tidak bersalah.

Difahamkan, guru yoga berusia 55 tahun bertindak menculik dua remaja itu berikutan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan ke atasnya.
Sumber polis berkata, guru yoga itu baru dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh selepas tiga bulan meringkuk dalam penjara sebelum bertindak mencari semula bekas pelajarnya itu.

“Sebaik dibebaskan, suspek memandu kereta dan menunggu mangsa di kawasan berhampiran sekolah mangsa di Batang Kali.
“Sebaik melihat mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun berjalan pulang ke rumah, suspek dengan segera bertindak memaksa mereka masuk ke dalam keretanya dan mengugut akan mencederakan keluarga mangsa jika enggan mengikut arahannya,” katanya.
Sumber berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke rumah suspek di Batu Caves. Sebelum ini, mangsa pernah dikurung di rumah sama.

Ibu maut selepas selamatkan anak – Harian Metro


Ibu maut selepas selamatkan anak

Oleh Siti Fatimah Hassan dan Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...
Suami mangsa, Zamri Hamat mencium Rashidah sambil memeluk Zaim, semalam. Gambar kecil, rumah mangsa.
SEDIH… Suami mangsa, Zamri Hamat mencium Rashidah sambil memeluk Zaim, semalam. Gambar kecil, rumah mangsa.

KUALA KRAI: Seorang ibu menyelamatkan tiga anaknya dalam kebakaran rumah mereka di Taman Sri Guchil di sini, semalam, sebelum maut apabila terperangkap selepas gagal membuka jeriji pintu utama.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Rafidah Ismail, 36, sempat mengeluarkan anaknya menerusi tingkap, namun gagal keluar kerana ruang antara besi yang dibengkokkan hanya muat untuk kanak-kanak. Selepas api dipadamkan bomba, mayat Rafidah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai (HKK) ditemui rentung berhampiran pintu utama rumahnya.
Tiga anaknya, Rashidah Illiana , 7, Zaim Shahrul Zamri, 6 dan Zaim Iqbal Zamri, 2, terselamat tanpa kecederaan. Ketika kejadian, bapa mereka yang bertugas sebagai tentera tiada di rumah kerana bertugas di Kem Sri Banding, Grik, Perak.

Difahamkan, selepas menyelamatkan anaknya, Rafidah cuba keluar menerusi pintu utama, tetapi ketika membuka jeriji pintu berkenaan kunci tiba-tiba terjatuh, menyebabkan mangsa panik dan lemas akibat asap tebal.
Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Azhar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 tengah hari bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dan enam anggota.