Muhyiddin tiba di Copenhagen untuk hadiri ASEMME3 – Berita Harian


Muhyiddin tiba di Copenhagen untuk hadiri ASEMME3

Daripada Misiah Taib

2011/05/08

COPENHAGEN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiba di Lapangan Terbang Kastrup di sini untuk menghadiri Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (ASEMME3) di Axelborg Hall.

Menteri Pelajaran itu disambut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang tiba sehari lebih awal, Duta Malaysia ke Sweden, Datuk Kamarudin Mustafa serta pegawai kedutaan Malaysia di Sweden.

Selain Khaled, turut menyertai Timbalan Perdana Menteri ke mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah Pengajian tinggi, Prof Dr Rujhan Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Syed Ahmad Hussein; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Norsaadah Ismail; Presiden Universiti Terbuka Malaysia, Tan Sri Anuwar Ali dan Presiden Taylors University, Datuk Dr Hassan Said.

Muhyiddin diberi pengiktirafan mewakili Asia untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno pertama mesyuarat berkenaan hari ini dengan ucaptama bertajuk “Penggabungan Perniagaan dan Industri Dalam Pendidikan”.

Pada sebelah malamnya, Timbalan Perdana Menteri menghadiri majlis makan malam bersama rakyat dan pelajar Malaysia di sini.

Ketika ini terdapat 157 rakyat Malaysia di Denmark yang berdaftar dengan kedutaan. Selain belajar ada yang bekerja dalam bidang cari gali minyak dan gas serta perkapalan.

Selepas menyampai ucaptama di persidangan ASEMME3 di sini hari ini, Timbalan Perdana Menteri akan ke Paris bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-186.
Di Paris, Muhyiddin akan menyampaikan ucapan dasar/intervensi pada sesi Debat Umum mesyuarat itu Selasa ini dan pada hari berikutnya beliau akan melawat sekolah dan institusi pendidikan di Paris.

Gaji: CUEPACS akur kekangan kewangan kerajaan – Bernama


Gaji: CUEPACS akur kekangan kewangan kerajaan

2011/05/08

KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap akur jika masalah kewangan dijadikan faktor kerajaan tidak dapat melaksanakan pelarasan gaji kepada lebih sejuta penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata pada masa sama kerajaan perlu melihat keperluan untuk berbuat demikian kerana kepentingan kakitangan berjawatan rendah yang terpaksa membuat kerja sampingan.

“Apa pun kita akur dengan kekangan kewangan kerajaan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat dan membantu kakitangan yang berjawatan rendah ini untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Kira-kira 20 peratus daripada lebih 700,000 yang berjawatan rendah dilaporkan mula membuat kerja sampingan kerana masalah kewangan yang mereka hadapi,” katanya selepas Majlis Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di sini, hari ini.

Perasmian seminar itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Omar berkata, CUEPACS sememangnya tidak bersetuju dengan langkah penjawat awam yang mahu membuat kerja sampingan kerana khuatir mereka hilang tumpuan ketika melakukan pekerjaan hakiki itu.

“CUEPACS memang tidak bersetuju mereka mahu membuat kerja luar ini kerana bimbang kerja hakiki mereka akan diabaikan tetapi pada masa yang sama juga kita simpati mereka terpaksa membuat kerja luar ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata penjawat awam perlu membuktikan komitmen mereka dalam membantu transformasi kerajaan sebelum memikirkan soal pelarasan dan kenaikan gaji itu.

Sementara itu, beliau berkata pertemuan ketiga antara kongres itu dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi akan memuktamadkan sistem kompetensi baru bagi menggantikan PTK yang dijadual dilaksana pada Julai ini.

“Sekarang sudah 90 peratus selesai dan CUEPACS berpuas hati dengan kerjasama JPA ini dan yakin sistem baru itu nanti benar-benar dapat melahirkan pekerja yang dapat membangunkan negara menjadi sebuah negara maju.

“Selama lapan tahun kita tidak berpuas hati dengan PTK itu tetapi kini kita yakin semua penjawat awam yang ada akan berpuas hati dengan pelaksanaan sistem baru itu nanti,” katanya.

Omar berkata, antara kaedah sistem itu nanti, semua penjawat awam perlu menghadiri kursus dan mereka kemudiannya akan dinilai untuk proses kenaikan pangkat dan sebagainya. – BERNAMA

NUTP cadang tugas rekod BMI pelajar dilakukan jururawat – Bernama


NUTP cadang tugas rekod BMI pelajar dilakukan jururawat

2011/05/08

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Kesihatan mengendalikan masalah obesiti di kalangan pelajar dengan menghantar jururawat secara berkala ke sekolah untuk merekod indeks jisim badan (BMI) pelajar.

Presidennya, Hashim Adnan berkata tugas merekod BMI seharusnya diserah kepada jururawat kerana mereka lebih berpengetahuan dalam bidang kesihatan.

“Kami mencadangkan agar jururawat dibenar datang ke sekolah secara berkala supaya mereka sendiri yang menerangkan mengenai kesihatan kepada pelajar serta merekodkan BMI,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco ke-9 di Hotel Vistana di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng.

Hashim berkata, sekiranya tugas merekod BMI pelajar sekolah dilakukan oleh jururawat, ia dapat meringankan beban guru.

Sementara itu, Lok berkata NUTP tidak bersetuju jika ada sekolah terutama yang mengamalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menambah waktu pembelajaran dari 46 waktu kepada 52 waktu seminggu (1,380 minit).

“Jika waktu pembelajaran ditambah, ia dibimbangi memberi masalah kepada pelajar kerana kurangnya masa berehat di rumah dan masa untuk bermain kerana terpaksa berada lebih lama di sekolah,” katanya.
Lok berharap pihak sekolah tidak menambah waktu tanpa kebenaran pihak tertentu agar pelajar dapat melalui proses pembesaran yang sihat, kreatif, boleh berfikir dan inovatif.

Mengenai sistem penilaian pelajar, beliau berkata pihaknya menerima rungutan guru yang terpaksa menyediakan borang penilaian pelajar secara manual kerana program di dalam komputer khusus untuk menilai pelajar belum siap.

“Guru terpaksa menyediakan 18 helai borang penilaian bagi setiap subjek kerana program itu belum siap. Ini telah mengganggu tugas guru dan membebankan mereka kerana terpaksa melakukan perkara itu pula,” katanya.

Lok berharap Kementerian Pelajaran khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia mempercepatkan proses pemantapan ICT untuk digunakan guru di sekolah bagi memudahkan mereka membuat penilaian terhadap pelajar. – BERNAMA

Murid tahun lima lemas – Utusan Malaysia


Murid tahun lima lemas

ANGGOTA penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dibantu orang ramai mengusung jenazah Mohd. Nor Aiman Hasan yang ditemui lemas di Sungai Belat, Kuantan, Pahang, semalam. – BERNAMA

KUANTAN 7 Mei – Keriangan seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Mat Kilau di sini yang mandi-manda bersama rakannya berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui lemas di Sungai Belat, hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, mangsa, Mohd. Nor Aiman Hasan, 11, mandi bersama seorang rakannya yang berusia lapan tahun.

Menurut seorang saksi, Khairul Nizam Kamal, 16, dia sedang berjalan ke sungai berkenaan untuk melihat orang memancing tetapi terkejut apabila melihat dua kanak-kanak sedang terkapai-kapai.

“Tanpa berlengah, saya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka berdua.

“Bagaimanapun, selepas menarik seorang mangsa, saya cuba terjun untuk menyelamatkan seorang lagi tetapi dengan sekelip mata dia hilang daripada pandangan,” katanya yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini.

Berikutan itu, katanya, dia segera memaklumkan kepada beberapa pemancing yang berada di situ sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Mohd. Lazim Jaafar, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian tersebut pada pukul 2.44 petang.

“Dengan kekuatan enam anggota bomba dan beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), mayat mangsa ditemui pada pukul 3.35 petang.

“Mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkenaan dengan kedalaman dua meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.

Penekanan pendidikan prasekolah tepat – Utusan Malaysia


Penekanan pendidikan prasekolah tepat

BAGAN DATOH 7 Mei – Penekanan Kementerian Pelajaran terhadap pendidikan prasekolah dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai pendidikan berada di landasan tepat apabila kira-kira 78 peratus kanak-kanak mengikutinya sebelum memasuki sekolah rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelbagai usaha untuk meluaskan pendidikan prasekolah telah dilakukan termasuk melibatkan sektor swasta supaya sasaran 87 peratus kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah dapat dicapai dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Pendidikan prasekolah penting supaya sahsiah kanak-kanak dapat dibentuk sejak dari awal lagi sebelum mereka memasuki sekolah,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Selekoh, di sini hari ini.

“Semua murid akan dipastikan dapat menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira selepas tiga tahun bersekolah rendah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dewan terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak, Selekoh di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Ibu bapa mahu subjek seks diajar – Berita Harian


Ibu bapa mahu subjek seks diajar
Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my
2011/05/08

PKRS bakal diperkenal di sekolah rendah, menengah

KUALA LUMPUR: Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) diperluaskan lagi berikutan kajian mendapati antara punca gejala sosial seperti seks bebas, hamil tanpa nikah dan buang anak adalah disebabkan ramai belum memahami apa sebenarnya seks.

Berikutan itu, PKRS yang bermatlamat memberi pendedahan kepada semua golongan mengenai sistem reproduktif manusia, akan diperluaskan di sekolah rendah dan menengah hujung tahun ini, dengan tumpuan diberikan kepada pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas mereka menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata PKRS yang akan diperkenalkan itu adalah program kokurikulum di sekolah, bukannya subjek teras yang wajib diambil pelajar atau dijadikan mata pelajaran untuk peperiksaan umum.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan kejayaan projek perintis membabitkan 308 pelajar iaitu 157 lelaki dan 151 perempuan mewakili lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Kelantan; SMK LKTP Lepar Hilir, Gambang, Pahang; SMK Seberang Jaya, Pulau Pinang; SMK Taman Medan, Selangor dan SMK Sri Pantai, Kampung Kerinchi di sini yang diperkenalkan pada 2009.

“Kita perluaskan program ini selepas mendapati projek perintis itu mendapat maklum balas yang baik daripada ibu bapa dan sekolah. Ia juga sebagai kesinambungan perkenalan subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) untuk pelajar Tahun Satu yang diperkenalkan mulai Januari lalu.

“Namun, ada beberapa perkara sedang diteliti bersama dengan Kementerian Pelajaran sebelum ia dilaksana untuk pelajar yang selesai mengambil UPSR dan PMR nanti,” katanya.

Pelajar tak dengar nasihat maut – Berita Harian


Pelajar tak dengar nasihat maut

2011/05/08

MERSING: Tindakan pelajar Tingkatan Satu yang tidak mengendahkan larangan ibu saudaranya supaya tidak menunggang motosikal kerana tiada lesen, berakhir tragedi apabila remaja perempuan itu maut dalam nahas dengan kenderaan pacuan empat roda berhampiran persimpangan masuk ke FELDA Tenggaroh 2 di sini, kelmarin.

Mangsa, Nor Hafawati Radzuan, 13, dikatakan dalam perjalanan ke rumah sepupunya di FELDA berkenaan dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dari arah bertentangan, jam 5.45 petang.

Akibat pertembungan itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tenggaroh A itu tercampak daripada motosikal sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Ibu saudara mangsa, Khasida Junid, 46, berkata, sebelum kejadian beliau dan suami melarang Nor Hafawati menunggang motosikal itu kerana bimbangkan dia tiada lesen.

Malah, suaminya Md Had Mahmud, 47, bertindak merantai motosikal itu sebelum keluar ke Kota Tinggi.