Bapa mangsa buli buat laporan – Harian Metro


Bapa mangsa buli buat laporan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun digunting rambut, leher dijerut dengan tali leher, selain berulang kali ditampar dua rakan sekelas dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah menengah di Jinjang, di sini, minggu lalu.

Perbuatan buli tidak berakhir di situ apabila perbuatan itu dirakam dengan telefon bimbit dan dimuat naik di laman sosial Facebook sebelum tersebar meluas di YouTube bermula kira-kira jam 10 malam, kelmarin.
Difahamkan, kejadian itu berlaku hanya kerana mangsa meminta mereka supaya tidak membuat bising berikutan ketiadaan guru di dalam kelas.

Dalam kejadian antara jam 8 hingga 10 pagi itu, semua pelajar sedang menunggu guru mata pelajaran lain selepas menamatkan sesi pembelajaran.
Rentetan tersebarnya rakaman kira-kira tiga minit di Internet, bapa mangsa berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK).

Zakaria berkata, berdasarkan keterangan mangsa kejadian buli itu berlaku seminggu lalu ketika guru tiada di dalam kelas.
“Mangsa dan dua pelajar yang membulinya belajar dalam kelas yang sama. Mangsa mendakwa ditampar beberapa kali di kepala, rambutnya digunting dan lehernya dijerut menggunakan tali leher.

“Tiada kecederaan serius dialami mangsa, namun polis mengarahkan rujukan dilakukan di hospital untuk keselamatannya selain bagi memudahkan siasatan,” katanya.
Zakaria berkata, mangsa pada mulanya sudah mengabaikan kejadian itu, malah cuba melupakannya, namun kecewa apabila mengesan klip video dia dibuli dimuat naik di laman sosial Facebook pada 6 Mei lalu sebelum tersebar di Internet mulai kelmarin.
Dalam rakaman video berkenaan, terdapat kelibat dua pelajar perempuan bergilir-gilir membuli mangsa sambil disaksikan beberapa pelajar lain.
Mangsa yang ditampar menangis sambil merayu dikasihani. Namun, rayuannya tidak diendahkan sebelum seorang daripada pelajar perempuan itu mengambil tali leher dan menjerut lehernya.
Rakan sekelasnya turut menggunting rambutnya sebelum mereka menghentikan perbuatan itu selepas menyedari kehadiran guru kelas.
Semalam, rakaman kedua adegan buli berkenaan yang selama 3.09 minit sekali lagi dimuat naik di YouTube kira-kira jam 4 petang yang turut menyiarkan sari kata serta muzik latar.

Kerajaan kaji hantar guru Bahasa Melayu ke luar negara: TPM – Berita Harian


Kerajaan kaji hantar guru Bahasa Melayu ke luar negara: TPM
Daripada Misiah Taib

2011/05/09

COPENHAGEN: Kerajaan bersetuju meneliti cadangan untuk menghantar guru Bahasa Melayu bagi mengajar kanak-kanak warga Malaysia di luar negara dalam usaha arah memartabatkan bahasa itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan sama pernah disuarakan warga Malaysia yang menetap di London sebelum ini.

“Kita boleh mengkaji perkara ini kerana ia sesuatu yang baru. Kita perlu teliti kerana ada implikasi kos. Kita kena teliti berapa ramai anak Malaysia di luar negara perlu diajar bahasa Melayu dan di mana kelas kita nak adakan?

“Kita juga perlu kaji bolehkah Kementerian Pelajaran menghantar guru ke sini, atau kita bawa orang kita di sini ke Malaysia untuk dilatih dan mereka boleh balik semula ke sini untuk menjadi tenaga pengajar, kerana mereka menetap di Denmark,” katanya pada sesi dialog selepas makan malam bersama lebih 100 rakyat Malaysia di Denmark di sini.

Perkara ini dibangkitkan Malaysian Danish Association (MDA) yang kebanyakan ahlinya bekerja serta menetap di Denmark dan bimbang anak mereka tidak tahu langsung berbahasa Melayu dan tidak mengenali budaya negara asal.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran ASEM (ASEMME3).

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta MDA mengemukakan butiran terperinci dan beliau akan kaji sama ada kementerian boleh menghantar tenaga pengajar ke sini.
“Dari segi buku teks, kementerian bersedia menghantar buku Bahasa Melayu secara percuma dari Malaysia untuk kemudahan kanak-kanak Malaysia di luar negara,” katanya.

IPD Sentul ambil 2 ‘sekolah angkat’ – Bernama


IPD Sentul ambil 2 ‘sekolah angkat’

2011/05/09

KUALA LUMPUR: Dua sekolah menengah di daerah Sentul dijadikan “sekolah angkat” oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dalam usaha merapatkan lagi hubungan pelajar sekolah dengan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata dua sekolah itu ialah Sekolah Menengah Datuk Ibrahim Yaacob dan Sekolah Menengah Raja Ali.

“Kedua-dua sekolah itu dipilih kerana pelajarnya berpotensi untuk dibentuk menjadi pelajar yang berdisiplin sehingga tamat persekolahan selain aktif dengan pelbagai aktiviti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program anak angkat di Sekolah Menengah Datuk Ibrahim Yaacob di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan utama program itu ialah untuk membantu mendidik dan membentuk karakter yang baik dengan menerapkan nilai serta peribadi yang mematuhi undang-undang di kalangan pelajar.

“Kita akan memberi pengetahuan kepada pelajar ini maklumat pencegahan jenayah dan keselamatan jalan raya selain menerapkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk santai dan juga melalui kelas tambahan,” katanya.

Zakaria berharap dengan adanya program seperti ini pelajar dapat memahami tugas sebagai seorang polis dan timbul rasa takut apabila hendak melakukan sebarang kegiatan jenayah.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembabitan remaja sekolah dalam kes jenayah di kawasan Sentul, beliau berkata jumlah yang terbabit tidak begitu besar dan masih mampu dikawal.
“Kebiasaan kes yang mereka lakukan ialah curi motosikal,” katanya. – BERNAMA

336 perokok remaja dikompaun – Bernama


336 perokok remaja dikompaun

2011/05/09

KUALA LUMPUR: Seramai 336 perokok di bawah umur 18 tahun dikompaun RM50 setiap seorang dalam operasi di seluruh negara kerana merokok atau memiliki hasil tembakau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hassan Abdul Rahman, berkata surat amaran juga akan dihantar kepada ibu bapa atau penjaga bagi tujuan memaklumkan kesalahan tingkah laku anak mereka.

Katanya, seorang pekedai runcit juga telah dikompaun di bawah peraturan 8(1) akta larangan penjualan hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang menyebabkan dia dikenakan kompaun bernilai RM500.

“Di bawah Peraturan 14(1) Gagal Mempamerkan Tanda Larangan Jualan Hasil Tembakau kepada Orang di Bawah Umur 18 tahun, 24 orang pekedai lagi dikenakan kompaun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 2,101 tempat diperiksa di bawah “Ops OBD” di mana 1,600 tempat yang diperiksa adalah tempat penjualan hasil tembakau seperti gerai runcit, kedai runcit, pasaraya, kedai makan dan sebagainya.

“Manakala 501 lagi adalah tempat di mana OBD didapati merokok seperti di kawasan sekolah, hentian bas, pasaraya, kedai makan kedai minyak dan sebagainya,” katanya.

Keseluruhannya, 361 kompuan bernilai RM29,300 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 peringkat kebangsaan kali keempat tahun ini yang berakhir pada 26 April lalu.
Beliau berkata, mereka yang gagal menjelaskan kompaun dalam masa yang ditetapkan boleh didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Kementerian akan meneruskan operasi penguatkuasaan bagi melindungi orang ramai daripada bahaya rokok dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peruntukan undang-undang di bawah PPKHT 2004,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin berhenti merokok untuk mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan atau menghubungi infoline di 03-8883 4400. – BERNAMA

Guru disyaki rogol murid ditahan – Bernama


Guru disyaki rogol murid ditahan

2011/05/09

KUANTAN: Polis menahan seorang guru sekolah menengah di sebuah tanah rancangan FELDA di Jengka, Jerantut, semalam kerana dipercayai merogol seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Khamis lalu.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, guru lelaki berusia 33 tahun itu didakwa merogol pelajar berusia 15 tahun itu di sebuah kuarters guru di tanah rancangan itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud, berkata guru berkenaan menghubungi keluarga mangsa untuk mengajar mangsa di kuarters berkenaan.

“Mangsa dan seorang rakan sekolahnya pergi ke rumah guru berkenaan bagi menyiapkan kerja sekolah. Bagaimanapun, tidak berapa lama kemudian rakan mangsa beredar dari rumah itu.

“Selepas rakan mangsa keluar, guru berkenaan bertindak memeluk mangsa secara paksa dan merogolnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Haris berkata, guru berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak tetapi keluarganya tinggal di Kedah.

Katanya, mangsa yang mengalami kemurungan menceritakan perkara itu kepada seorang guru di sekolahnya sehari selepas kejadian sebelum dimaklumkan kepada keluarga.
Beliau berkata keluarga mangsa membuat laporan polis semalam. – BERNAMA

Malaysia perlu hubungan strategik pendidikan dengan Eropah: TPM – Berita Harian


Malaysia perlu hubungan strategik pendidikan dengan Eropah: TPM
Daripada Misiah Taib

2011/05/09

COPENHAGEN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata amat penting untuk Malaysia mengadakan hubungan strategik di bidang pendidikan dengan negara Eropah yang mempunyai banyak kelebihan serta kepakaran di bidang berkaitan.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau memanfaatkan kehadirannya di Mesyuarat Ketiga Menteri-Menteri Pelajaran ASEM (ASEMME3) di sini untuk merapatkan hubungan dengan rakan sejawatan di Eropah.

“Bagi saya, soal pendidikan tidak seharusnya terbatas dalam ruang lingkup kita di Asia saja. Amat penting bagi kita mengadakan hubungan strategik dengan rakan sejawatan di Eropah,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama lebih 100 warga Malaysia di Denmark di sini.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Malaysia ke Sweden, Datuk Kamarudin Mustafa.

Timbalan Perdana Menteri turut berkongsi beberapa perkembangan di Malaysia, khususnya mengenai kemajuan ekonomi dan keperluan pembangunan modal insan.

Antaranya ialah inisiatif yang dilaksanakan secara komprehensif oleh kerajaan Malaysia ketika ini termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau juga menjelaskan penekanan kerajaan terhadap kepentingan pendidikan bermula dari pra sekolah dan langkah kerajaan memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 100 sekolah SBT pada 2012, selepas 23 sekolah SBT diumumkan tahun ini dan 20 sekolah SBT tahun lalu.
Selepas menyampaikan ucaptama pada ASEMME3 petang ini, Muhyiddin akan ke Paris menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-186.

Esok, Muhyiddin akan menyampaikan ucapan dasar/intervensi pada sesi Debat Umum mesyuarat UNESCO.