CUEPACS mahu bincang pelarasan gaji dengan PM – Bernama


CUEPACS mahu bincang pelarasan gaji dengan PM

10/05/2011 4:15pm

PUTRAJAYA 10 Mei — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan soal pelarasan gaji bagi kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat kongres pada 26 dan 27 Mei di Lumut, Perak.

“Selepas mesyuarat kongres, kita akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Katanya, selain soal pelarasan gaji, kongres juga bercadang berbincang dengan kerajaan mengenai soal bantuan sara hidup (COLA) dan elaun tetap perumahan. — Bernama

Pengganti PTK dijangka lebih baik – CUEPACS – Bernama


Pengganti PTK dijangka lebih baik – CUEPACS

10/05/2011 4:34pm

PUTRAJAYA 10 Mei — Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dijangka lebih baik, kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam di sini hari ini, beliau berkata, terdapat perubahan yang akan dilaksanakan dalam sistem baru itu seperti yang diharapkan oleh kesatuan dan nama sistem itu juga akan berubah.

Bagaimanapun, katanya, hasil mesyuarat hari ini perlu dikemukakan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah sebelum pengumuman rasmi dibuat.

“Kita berpuas hati kerana mesyuarat hari ini berjalan dengan baik. Cadangan CUEPACS dan cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam dapat digabungkan dan berjaya mencapai satu kata sepakat yang baik.

“Jika perkara ini dapat persetujuan daripada pihak atasan, daripada apa yang dibincangkan hari ini, ia merupakan satu sistem yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya. — Bernama

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


Lirik : Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Bersatu kita menuju
Paradigma yang baharu
Satu tekad dan harapan
Menyahut cabaran dunia
Pendidik berkualiti
Demi mencapai visi
Dengan azam yang murni
Membentuk akhlak terpuji

#Corus
Guru…
Pendidik insan dengan setulus hati
Membimbing generasi
Masa depan
Guru…
Penjana transformasi pendidikan Negara
Menjayakan hasrat yang murni
1Malaysia

Pendidik berinovasi
Menghasilkan kreativiti
Bersedia hadapi cabaran
Arus tanpa sempadan
Pendidik yang berkualiti
Membentuk akhlak terpuji
Mengimbangkan rohani
Jati diri dan jasmani

Cadangan hantar guru Bahasa Melayu ke luar negara – Utusan Malaysia


Cadangan hantar guru Bahasa Melayu ke luar negara

Rosni Hassan
Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar Malaysia pada majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di Copenhagen, Denmark, semalam. – Bernama

COPENHAGEN 9 Mei – Kerajaan bersedia meneliti cadangan untuk melatih dan menghantar guru Bahasa Melayu mengajar anak-anak warga Malaysia yang berada di luar negara bagi membantu mereka mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, pelbagai aspek perlu dikaji terlebih dahulu termasuk dari segi penyediaan tenaga pengajar, buku teks serta silibus pengajaran dan pembelajaran.

Bahasa Melayu jelas beliau, tidak sukar untuk dipelajari justeru, mungkin boleh diwujudkan kelas untuk mengajar bahasa itu selama satu atau dua jam sehari.

‘‘Kita boleh hantar guru ke sini atau rakyat Malaysia yang berada di sini boleh ke Malaysia untuk belajar bahasa Melayu dan kembali ke Denmark untuk mengajar, kita perlu teliti mana yang sesuai.

‘‘Kita juga sedia hantar buku teks serta teliti silibus yang perlu diikuti untuk belajar bahasa Melayu selain melatih tenaga pengajar,” katanya ketika menjawab soalan Pengerusi Persatuan Rakyat Malaysia-Danish, Poo Chu Chua pada sesi dialog dengan rakyat Malaysia di Denmark pada majlis makan malam di sini malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran kini berada di Denmark bagi menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) Ketiga dan akan menyampaikan ucaptama pada sesi pertama sidang pleno persidangan itu.

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapannya menekankan pentingnya rakyat Malaysia memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan walau di mana mereka berada.

Beliau kagum dengan sikap rakyat Denmark yang kebanyakannya boleh bercakap bahasa Inggeris tetapi mengutamakan bahasa Danish dalam percakapan dan urusan harian mereka.

Di Malaysia jelas beliau, bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan tetapi kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tetap diberi perhatian.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kehadirannya pada persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asem penting bagi menjalin hubungan strategik dalam bidang pendidikan dengan negara-negara Eropah.

Sehubungan itu, katanya, sempena persidangan kali ini, beliau akan bertemu rakan-rakan sejawatnya untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan pelbagai aspek melibatkan bidang pendidikan bagi faedah bersama.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia khususnya para profesional yang berada di luar negara supaya pulang bekerja di tanah air dan Talent Corporation (Talent Corp) memperkenalkan program untuk membawa balik profesional dari luar negara.

Katanya, pelbagai insentif disediakan seperti insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun diberikan bagi menggalakkan mereka pulang ke tanah air untuk menjayakan program transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan. – UTUSAN

BabyTV bantu pendidikan kanak-kanak – Shahrizat – Utusan Malaysia


BabyTV bantu pendidikan kanak-kanak – Shahrizat

Shahrizat Abdul Jalil merasmikan saluran baru, BabyTV terbitan Astro di Taska Penyayang ( Bakti ) di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Mei – Kaedah pengajaran melalui televisyen boleh digunakan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada aspek pendidikan sebelum memasuki alam persekolahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, menerusi program yang disiarkan, kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun akan menerima pendedahan awal tentang perkara asas sebelum memulakan sesi persekolahan.

Beliau memberi contoh saluran terbaru Astro, BabyTV yang menyediakan pendekatan terbaik ke arah itu apabila membantu kanak-kanak mengenali abjad dan nombor.

“Masa telah berubah, jika dahulu kita marah anak-anak tengok televisyen terlalu lama, tetapi kini tidak lagi kerana televisyen juga menjadi sumber ilmu serta pembelajaran kepada kanak-kanak. Cuma, kita perlu kawal dari segi program yang ditonton.

“Kita kena mengikut perubahan teknologi, negara lain telah lama menggunakan kaedah pengajaran menerusi televisyen dan kita juga perlu melakukan perkara yang sama supaya tidak ketinggalan,” katanya selepas melancarkan saluran pendidikan BabyTV di sini hari ini.

BabyTV boleh ditonton di saluran Astro 618 bermula hari ini.

Shahrizat yakin BabyTV mampu melahirkan golongan kanak-kanak yang cepat belajar kerana pendedahan kepada perkara asas seperti abjad serta nombor akan membantu mempercepatkan perkembangan minda mereka.

Bagaimanapun menurutnya, peranan ibu bapa masih lagi penting dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak.

“Saya tidak menafikan kecanggihan teknologi dan pelancaran saluran seperti BabyTV ini sedikit sebanyak membantu proses perkembangan serta pembelajaran kanak-kanak.

“Bagaimanapun, pendidikan tidak formal di rumah oleh ibu bapa masih lagi penting. Mereka (ibu bapa) masih perlu memainkan peranan dengan memberikan pendidikan sewajarnya supaya perkembangan minda anak-anak mereka berterusan,” jelasnya.

CUEPACS mahu bincang pelarasan gaji dengan PM – Bernama


CUEPACS mahu bincang pelarasan gaji dengan PM

10/05/2011 4:15pm

PUTRAJAYA 10 Mei — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bercadang untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan soal pelarasan gaji bagi kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selepas mesyuarat kongres pada 26 dan 27 Mei di Lumut, Perak.

“Selepas mesyuarat kongres, kita akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Dialog Cadangan Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Katanya, selain soal pelarasan gaji, kongres juga bercadang berbincang dengan kerajaan mengenai soal bantuan sara hidup (COLA) dan elaun tetap perumahan. — Bernama