Rogol cucu: Lelaki 89 tahun dibenar ikat jamin – Utusan Malaysia


Rogol cucu: Lelaki 89 tahun dibenar ikat jamin

KOTA BHARU 10 Mei – Seorang datuk berusia 89 tahun yang menghadapi tuduhan merogol cucunya berumur 10 tahun dalam sebuah kandang lembu pada tahun lalu, hari ini dibebaskan dengan jaminan RM8,000 beserta seorang penjamin.

Mahkamah Sesyen di sini membenarkan warga emas tersebut diikat jamin setelah tertuduh berjaya melantik peguam Mohd. Marwalis Mahmud mewakilinya.

Wang jaminan tertuduh dibayar oleh anak lelaki bongsunya daripada tujuh beradik.

Mahkamah sebelum ini telah menangguhkan dua kali perbicaraan kes tersebut berikutan kegagalan tertuduh melantik peguam bela. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari.

Tertuduh yang berbaju T warna merah dan berseluar kelabu, dilihat hanya mendiamkan diri apabila Hakim Rofiah Mohamed membacakan beberapa syarat jaminan yang perlu dipatuhi tertuduh sebelum menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Julai ini.

Antara syarat itu ialah tertuduh dilarang menghampiri mangsa dalam jarak 500 meter, melaporkan diri di balai polis berhampiran tempat tinggalnya iaitu di Pasir Mas setiap Ahad pertama setiap bulan dan tidak tinggal di rumah ibu bapa mangsa.

Tertuduh didakwa merogol cucunya itu dalam kandang lembu berhampiran sebuah rumah tanpa nombor di Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 9 malam, 25 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang ditangkap pada 15 September 2010 sebelum dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali pada 10 Februari lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dikemukakan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali.

Bapa maut dihempap lori – Utusan Malaysia


Bapa maut dihempap lori

Oleh KAMARUDIN HAMZAH
pengarang@utusan.com.my
Lori membawa muatan kayu terbalik dan menghempap pemandunya di Kampung Batu 13, Besut, semalam.

BESUT 10 Mei – Seorang kanak-kanak meraung sambil meminta bantuan orang ramai untuk segera menyelamatkan bapanya yang kaku selepas dihempap lori dipandunya yang terbalik di Kampung Batu 13, Hulu Besut dekat sini malam tadi.

Mohd. Ikmal Hakim Zuraimi, 7, tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit ‘Tolong ayah, tolong ayah! apabila melihat bahagian pinggang bapanya, Zuraimi Jusoh, 40, ditindih kepala lori itu.

Sambil menangis, Mohd. Ikmal memeluk erat betis seorang penduduk, Azmi Saari, 34, yang tiba di tempat kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu.

Ketika kejadian, Mohd. Ikmal bersama adiknya, Amirul Hamdi, 5, mengikut bapa mereka menaiki lori itu membawa muatan ke sebuah kilang kayu mini tidak jauh dari situ.

Azmi memberitahu, dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar satu bunyi kuat dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia kemudian terus dipeluk oleh Mohd. Ikmal yang meminta bantuan untuk menyelamatkan bapanya yang dihempap lori tersebut.

Katanya, dia kemudian memanggil jiran dan rakan-rakan untuk membantu mengeluarkan mangsa dari bawah kepala lori muatan satu tan itu.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori yang dipandu mangsa mendaki kawasan berbukit namun ia tidak dapat dikawal setelah mengalami kerosakan brek.

Kenderaan itu dikatakan berundur sejauh 50 meter dan dalam keadaan cemas itu, mangsa dikatakan membuka pintu untuk melihat laluan tetapi bahagian belakang sebelah kiri lorinya terlanggar tiang konkrit Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Akibatnya, bapa kepada lima anak itu tercampak keluar sebelum dihempap oleh lorinya pada bahagian pinggang menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd. Akmal dan adiknya yang duduk di sebelah pemandu tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar sebelum orang ramai datang membantu mereka.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapan Kotak dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Rapatkan jurang untuk tingkat kerjasama sektor industri – akademik – Utusan Malaysia


Rapatkan jurang untuk tingkat kerjasama sektor industri – akademik

COPENHAGEN 10 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor industri dan ahli akademik perlu mencari pendekatan sesuai untuk menentukan bentuk kerjasama yang boleh dijalin dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial dengan matlamat memastikan kedua-dua pihak mendapat faedah daripada kerjasama itu.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, bagi menjayakan kerjasama ini, kedua-dua pihak terlebih dahulu perlu mengurangkan jurang atau halangan yang dihadapi, memandangkan pihak industri dan akademik mempunyai keutamaan serta minat yang berbeza.

Dalam hal ini, jelas beliau, pihak universiti mengutamakan peranan institusi untuk mewujudkan pengetahuan baru dan usaha-usaha membangunkan bidang pendidikan, sedangkan pihak industri dan perniagaan lebih memfokuskan kepada mendapatkan pengetahuan untuk lebih berdaya saing.

”Sehubungan itu, adalah penting untuk pihak akademik dan industri mengurangkan halangan itu bagi mewujudkan kerjasama yang tulen dan dapat memberi faedah bersama dengan memfokus kepada soal kepercayaan dan memperluaskan interaksi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) ketika (ASEMME3) di sini hari ini.

Muhyiddin percaya, gabungan kerjasama pihak industri dan akademik boleh dibentuk, dikekalkan malah, dipertahankan sekiranya wujud budaya kerjasama yang antara lain memerlukan kedua-dua pihak saling memahami dan mempunyai komitmen yang jelas tentang usahasama yang dilakukan itu.

Selain itu, jelas beliau, perlu juga ada pengurusan yang mantap di pihak universiti, pemahaman yang jelas tentang objektif yang ingin dicapai dan matlamat kerjasama tersebut bagi kedua-dua pihak.

Dalam hubungan ini, jelas beliau, matlamatnya antara lain untuk membantu institusi pendidikan tinggi berkembang lebih maju bagi melahirkan modal insan yang bukan setakat dapat memenuhi tuntutan industri tetapi dapat membangunkan ilmu pengetahuan.

Sementara itu, Muhyiddin pada sidang akhbarnya memberitahu, ucapan beliau itu antara lain bagi menyatakan komitmen Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan lebih rapat dalam bidang pendidikan antara Asia dan Eropah.

”Saya percaya kita boleh menimba banyak pengalaman menerusi pencapaian negara-negara Eropah melalui perkongsian bijak dalam bidang pendidikan antara Timur dan Barat, pada Malaysia ia agak penting dan dalam beberapa hal kita telah mendepani kemajuan dalam bidang pendidikan,” katanya.

Jelasnya, antara bidang yang Malaysia agak ke hadapan adalah dalam soal jaminan kualiti justeru ia boleh menjadi penghubung untuk membantu memajukan institusi pendidikan di negara yang sedang membangun terutama di kalangan negara-negara Islam.

Dalam konteks itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) jelas beliau, mungkin boleh berperanan bersama-sama dengan badan lain di peringkat Eropah untuk memajukan bidang tersebut dengan membantu proses mobiliti antara pelajar dan tenaga pengajar di benua Asia dan Eropah.

Selain itu, kata beliau, soal pembelajaran sepanjang hayat juga menjadi tumpuan dan dalam hal ini Malaysia sudah pun memulakannya melalui penubuhan kolej-kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Malaysia tuan rumah ASEMME4 – Utusan Malaysia


Malaysia tuan rumah ASEMME4

COPENHAGEN 10 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (Asem) Keempat (ASEMME4) yang akan diadakan pada 2013.

Selepas Malaysia, mesyuarat dua tahun sekali itu dijadual diadakan di Latvia pada 2015 diikuti Korea Selatan pada 2017.

Peluang menjadi tuan rumah bagi acara antarabangsa itu jelasnya, memberi kesempatan kepada Malaysia mengembangkan pandangan dan menentukan tajuk perbincangan yang sekali gus dapat memberi banyak faedah kepada negara.

”Kita perlu memainkan peranan di peringkat global, kita sudah bersedia dalam banyak hal termasuk di peringkat pengajian tinggi, sebab itu kita bersedia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah persidangan itu,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. – Utusan

Tukar nama sekolah vokasional jadi kolej – Utusan Malaysia


Tukar nama sekolah vokasional jadi kolej

COPENHAGEN 10 Mei – Nama sekolah vokasional akan ditukar kepada kolej vokasional sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.

Perubahan itu, jelas beliau, sedang dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kurikulum, tempoh pembelajaran di kolej serta kursus lanjutan yang boleh ditawarkan.

Menurutnya, ia dilakukan antara lain bagi menghapuskan tanggapan bahawa hanya pelajar yang tidak memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik akan disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.

”Kebiasaannya pelajar akan disalurkan untuk mengambil bidang vokasional dan teknikal kalau mereka tak memperoleh pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, maka itulah peluang mereka yang kedua, kalau tak ada peluang lain.

”Ini satu pendekatan yang tidak tepat kerana di negara maju sekalipun aspek vokasional diletakkan sebagai pilihan sama dengan bidang akademik,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, prestasi setiap pelajar akan dinilai dan jika di peringkat awal lagi seperti ketika di sekolah menengah rendah kecenderungan mereka adalah dalam hal yang tidak terlalu akademik, maka pelajar terbabit akan terus disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.

Jelasnya, kalau pun tidak disalurkan ke sekolah vokasional sepenuhnya, mereka boleh mengikuti kursus pra vokasional dalam sistem pendidikan biasa supaya di peringkat awal lagi mereka dapat mengikuti bidang vokasional dan teknikal yang diminati.

Ditanya kemungkinan kolej-kolej vokasional itu menjalin kerjasama dengan institusi lain, Muhyiddin berkata, ia boleh dilakukan dengan institusi pengajian di negara-negara maju termasuk Eropah menerusi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar. – utusan