Bunuh ustazah, anak: Tukang paip ke tali gantung


Bunuh ustazah, anak: Tukang paip ke tali gantung

12/05/2011 6:31pm

SEREMBAN 12 Mei — Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas pemasang paip kerana membunuh seorang ustazah dan anak lelakinya berusia 10 tahun pada tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Ahmad Nasfy Yasin mendapati Ali Tan Abdullah, 35 tahun bersalah kerana membunuh jiran sebelah rumahnya ustazah Norliza Ishak, 35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusoff di B5-1-09B, Flat Win Min, Pasar Baru Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 Sept tahun lepas.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata, Ali Tan memberi keterangan bahawa dia hanya memasuki rumah mangsa untuk mengambil barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dan alat permainan Playstation tetapi tidak membunuh mangsa dan anaknya.

Dia kemudian telah menggadai barang kemas itu dan menghantar komputer riba tersebut ke sebuah kedai untuk diformatkan. Selepas kejadian itu, Ali Tan tidak pulang ke rumah sebaliknya bermalam di sebuah hotel, katanya.

“Selepas kejadian, rumah mangsa dikunci dengan baik dan tidak ada kesan pecah masuk. Ini menunjukkan bahawa tertuduh adalah orang terakhir yang bertemu mangsa. Semua keterangan tertuduh adalah satu bentuk penafian semata-mata tanpa sokongan daripada sesiapa,” kata beliau.

Ali Tan yang dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, diwakili peguam Philip Yeow Boon dan S. Gobind dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya Mahmud Abdullah. — Bernama

CEUPACS: timbang sekali lagi naik usia persaraan – Bernama


CEUPACS: timbang sekali lagi naik usia persaraan

12/05/2011 6:58pm

KUALA TERENGGANU 12 Mei — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi menggesa kerajaan melanjutkan umur persaraan pekerja dalam perkhidmatan awam daripada 58 kepada 60 tahun.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, cadangan itu wajar ditimbang semula oleh kerajaan kerana beliau yakin golongan ini mampu menyumbangkan perkhidmatan dengan lebih efisyen bersandarkan pengalaman yang mereka miliki.

“Seperti negara maju yang lain, umur persaraan penjawat awam mereka antara 60 hingga 62 tahun dan kita hanya sembilan tahun lagi hendak mencapai sasaran negara maju pada tahun 2020. Jadi wajarlah kerajaan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kesihatan pekerja berkenaan iaitu mestilah mempunyai penglihatan, pendengaran, pemikiran serta fizikal yang baik untuk dipertimbangkan dilanjutkan umur persaraan mereka. — Bernama

Shahrizat cadang pusat temuduga kanak-kanak diwujudkan di semua negeri – Bernama


Shahrizat cadang pusat temuduga kanak-kanak diwujudkan di semua negeri

2011/05/12

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan pusat temu duga kanak-kanak (CIC) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ketika ini, hanya terdapat tiga CIC saja iaitu di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengambil keterangan kanak-kanak yang menjadi mangsa kes jenayah seperti rogol dan penderaan.

Shahrizat berkata, bilangan pusat itu perlu ditambah memandangkan kes membabitkan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun dan kementerian amat memandang berat mengenai kes jenayah melibatkan kanak-kanak dan wanita.

“Saya akan bincang dengan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bagaimana untuk wujudkan CIC di kesemua negeri, mungkin KDN boleh usulkan cadangan dalam bajet akan datang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-kanak di Jalan Persiaran Sultan Salahuddin di sini hari ini.

Menurut statistik polis berhubung kes jenayah seksual, kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan penderaan pembantu rumah sejak 2006 hingga 2010, rogol mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,595 kes pada tahun lepas diikuti keganasan rumah tangga (3,173) dan mencabul kehormatan (2,054).

Shahrizat turut melahirkan kebimbangan mengenai jenayah terhadap kanak-kanak dan wanita seperti kes simbah asid, penderaan dan menjadi keldai dadah yang semakin menjadi-jadi.
Turut hadir, Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Sementara itu, Ismail berkata, polis memberi jaminan untuk memberikan perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak kerana golongan itu turut memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Mengulas CIC, beliau berkata, PDRM akan menambah bilangan dan meningkatkan kemahiran pegawainya kerana tugas menemuduga kanak-kanak yang trauma bukanlah mudah kerana ia antara lain memerlukan kesabaran. – BERNAMA

Masyarakat perlu ubah fahaman terhadap kanak-kanak HIV – Berita Harian


Masyarakat perlu ubah fahaman terhadap kanak-kanak HIV

2011/05/12

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meminta masyarakat mengubah fahaman dengan menentang diskriminasi terhadap kanak-kanak yang dijangkiti HIV dengan memberi sokongan yang diperlukan.

“Saya meminta sektor korporat dan individu prihatin tampil memberi sumbangan dari segi kewangan, perkhidmatan dalam membantu kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika berucap semasa lawatan rasmi ke Rumah Perlindungan Pertubuhan Wanita dan Kesihatan (WAKE 1), di sini, sebentar tadi.

Statistik AIDS di Malaysia melaporkan 15,124 kes jangkitan HIV dicatat sehingga 2010.

Kanak-kanak akan cemerlang guna bahasa ibunda – Bernama


Kanak-kanak akan cemerlang guna bahasa ibunda

2011/05/12

PARIS: Kanak-kanak akan cemerlang jika didedahkan dengan pelajaran menggunakan bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah, kata Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.

Beliau berkata, terdapat bukti menunjukkan kanak-kanak di seluruh dunia seperti di Mexico dan Peru yang mendapat pendidikan peringkat rendah dalam bahasa ibunda akan cemerlang di bilik darjah.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di ibu pejabat UNESCO di sini hari ini, Bokova berkata, bahawa sebagai satu dasar, pertubuhan itu sentiasa menggalakkan pengajaran dalam bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah dan bagi mata pelajaran yang sukar.

“Saya tahu ianya memerlukan sedikit belanja dan sukar untuk dikendalikan kerana kita perlukan buku teks dan yang lain-lain tetapi mutu pelajaran akan meningkat jika terdapat pembelajaran dalam bahasa ibunda,” katanya.

Bokova memuji kerajaan Malaysia kerana menetapkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

Sambil menyifatkan ini sebagai satu perkembangan positif, beliau berkata, NKRA itu akan membantu menjayakan program “pendidikan untuk semua” di Malaysia.

Katanya, ukuran seperti Indeks Prestasi Utama (KPI) amat penting bagi menjamin kecekapan dan kebertanggungjawaban dalam bidang pendidikan.
Bokova berkata, UNESCO sedang membantu beberapa negara menetapkan kaedah pengurusan yang baik bagi bidang pendidikan. – BERNAMA

Kanak-kanak cemerlang jika belajar guna bahasa ibunda: UNESCO – Bernama


Kanak-kanak cemerlang jika belajar guna bahasa ibunda: UNESCO

2011/05/12

PARIS: Kanak-kanak akan cemerlang jika didedahkan dengan pelajaran menggunakan bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah, kata Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova.

Beliau berkata, terdapat bukti menunjukkan kanak-kanak di seluruh dunia seperti di Mexico dan Peru yang mendapat pendidikan peringkat rendah dalam bahasa ibunda akan cemerlang di bilik darjah.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di ibu pejabat UNESCO di sini, hari ini, Bokova berkata, sebagai satu dasar, pertubuhan itu sentiasa menggalakkan pengajaran dalam bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah dan bagi mata pelajaran yang sukar.

“Saya tahu ianya memerlukan sedikit belanja dan sukar untuk dikendalikan kerana kita perlukan buku teks dan yang lain-lain tetapi mutu pelajaran akan meningkat jika terdapat pembelajaran dalam bahasa ibunda,” katanya.

Bokova memuji kerajaan Malaysia kerana menetapkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu perkembangan positif, beliau berkata, NKRA itu akan membantu menjayakan program “pendidikan untuk semua” di Malaysia.

Katanya, ukuran seperti Indeks Prestasi Utama (KPI) amat penting bagi menjamin kecekapan dan kebertanggungjawaban dalam bidang pendidikan.
Bokova berkata, UNESCO sedang membantu beberapa negara menetapkan kaedah pengurusan yang baik bagi bidang pendidikan. – BERNAMA

Pesara tentera didakwa cabul, cedera anak – Utusan Malaysia


Pesara tentera didakwa cabul, cedera anak

MELAKA 11 Mei – Seorang pesara tentera, Azleen Ahmad (gambar) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan mencabul dan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia 14 tahun.

Bagi tuduhan pertama di hadapan Hakim Abu Bakar Katar, lelaki berusia 44 tahun itu didakwa mencabul kehormatan anaknya itu di bilik belajar rumahnya di Taman Terendak Permai, Sungai Udang pada pukul 8 malam, 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripadanya.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, kerana mendatangkan kecederaan ke atas mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Di mahkamah berasingan, tertuduh dihadapkan di hadapan Hakim Zaharah Hussain atas tiga pertuduhan mencabul mangsa di rumah yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu masing-masing didakwa dilakukan di ruang tamu, di bilik tidur dan di ruang makan antara pukul 11.30 pagi, Mac 2010 hingga 7 malam, 4 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin awalnya mencadangkan tertuduh tidak dibenar ikat jamin memandangkan mangsa ialah anak kandungnya.

Bagaimanapun jika mahkamah cenderung memberikan ikat jamin, beliau mencadangkan jaminan RM15,000 bagi dua tuduhan di hadapan Abu Bakar dan RM20,000 bagi tiga tuduhan di hadapan Zaharah.

Peguam Markhan Singh yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mangsa tinggal bersama bapa saudaranya di Masjid Tanah yang terletak kira-kira 12 kilometer dari rumah tertuduh di Sungai Udang.

Abu Bakar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 manakala Zaharah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Kes disebut semula 15 Jun ini.

Upin, Ipin meriahkan promosi ReadMalaysia’11 – Utusan Malaysia


Upin, Ipin meriahkan promosi ReadMalaysia’11

KUALA LUMPUR 11 Mei – Kegembiraan pada wajah hampir 700 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang jelas kelihatan apabila mereka berpeluang beramah-mesra dengan watak animasi Upin dan Ipin yang mempromosikan pameran buku, ReadMalaysia’11 di sekolah itu hari ini.

Fenomena Upin dan Ipin menyebabkan murid-murid berkenaan berebut-rebut untuk bersalaman dengan watak animasi tersebut di samping menyertai beberapa aktiviti permainan yang dianjurkan pada kempen galakan membaca itu.

Pengurus Penolong Acara, Mines Event Management Sdn. Bhd., Ryan Mak berkata, Upin dan Ipin dilantik menjadi duta ReadMalaysia’11 dan dijadual membuat penampilan khas pada pameran 27 Mei hingga 5 Jun ini.

“Kami menjangkakan 400,000 pengunjung akan hadir pada pameran di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ryan, pelbagai aktiviti dan permainan yang menghiburkan disediakan bersama hadiah-hadiah menarik sepanjang pameran ReadMalaysia’11 yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

MIECC juga akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Stesen LRT Bukit Jalil dan KTM Serdang ke tapak pameran yang dibuka dari pukul 11 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Sementara itu, Guru Besar SK Sri Serdang, Asma Mokhtar berharap program sebegini diteruskan bagi menarik minat murid-murid untuk membaca dan mengunjungi pameran buku.

“Murid-murid begitu teruja apabila melihat kehadiran Upin dan Ipin yang mempromosikan pameran buku tersebut serta turut menasihati mereka supaya rajin membaca,” jelasnya

Maklumat lanjut mengenai pameran buku itu boleh didapati dengan melayari laman webhttp://www.readmalaysia.my atau menghubungi talian 03-89495566.

Mampu tingkatkan pendidikan kemahiran – Puad – Utusan Malaysia


Mampu tingkatkan pendidikan kemahiran – Puad

KUALA LUMPUR 11 Mei – Cadangan pelaksanaan pertukaran status sekolah vokasional kepada kolej vokasional bakal melibatkan rombakan sukatan pelajaran yang akan menumpukan sebanyak 70 peratus dalam bidang latihan kemahiran, manakala 30 peratus tertumpu pada akademik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, sebelum ini, hanya 45 peratus penekanan diberikan dalam bidang latihan manakala 55 peratus pada akademik.

“Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran telah melakukan kajian terperinci berhubung cadangan pelaksanaan pertukaran status sekolah vokasional kepada kolej vokasional bagi memantapkan lagi bidang berkenaan.

“Sehubungan itu, kita juga merancang untuk menambah tempoh setahun lagi bagi memastikan sijil yang diterima oleh pelajar setaraf dengan diploma atau diploma lanjutan yang dikeluarkan oleh institusi lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan kerajaan untuk menukarkan status sekolah vokasional kepada kolej vokasional sebagai sebahagian usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik.

Perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.

Katanya, sebelum ini, satu lawatan kerja ke Finland melibatkan pendidikan vokasional telah dilakukan dalam usaha melicinkan proses kajian cadangan tersebut.

“Kita mengambil contoh negara berkenaan kerana pendidikan vokasionalnya sangat maju serta telah melahirkan ramai pakar dalam bidang kemahiran.

“Justeru itu, kita perlu mengambil peluang untuk memperhebatkan sistem pendidikan vokasional negara ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan individu berpendapatan tinggi,” katanya.

Jiran temui budak didera – Berita Harian


Jiran temui budak didera

2011/05/12

TAMPIN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, ditemui jiran dengan kesan cedera di cuping telinga seperti digunting serta melecur di perut dan belakang badan, dipercayai didera ibu bapanya.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan mangsa melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berhampiran taman perumahannya.

Bagaimanapun, kehadirannya di situ disedari jirannya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang, berkata polis menerima laporan kes itu kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin dan segera menghantar polis peronda ke taman perumahan terbabit.

Katanya, kanak-kanak berkenaan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.