Shahrizat cadang pusat temuduga kanak-kanak diwujudkan di semua negeri – Bernama


Shahrizat cadang pusat temuduga kanak-kanak diwujudkan di semua negeri

2011/05/12

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan pusat temu duga kanak-kanak (CIC) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata ketika ini, hanya terdapat tiga CIC saja iaitu di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengambil keterangan kanak-kanak yang menjadi mangsa kes jenayah seperti rogol dan penderaan.

Shahrizat berkata, bilangan pusat itu perlu ditambah memandangkan kes membabitkan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun dan kementerian amat memandang berat mengenai kes jenayah melibatkan kanak-kanak dan wanita.

“Saya akan bincang dengan (Menteri Dalam Negeri) Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bagaimana untuk wujudkan CIC di kesemua negeri, mungkin KDN boleh usulkan cadangan dalam bajet akan datang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Temuduga Kanak-kanak di Jalan Persiaran Sultan Salahuddin di sini hari ini.

Menurut statistik polis berhubung kes jenayah seksual, kanak-kanak, keganasan rumah tangga dan penderaan pembantu rumah sejak 2006 hingga 2010, rogol mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,595 kes pada tahun lepas diikuti keganasan rumah tangga (3,173) dan mencabul kehormatan (2,054).

Shahrizat turut melahirkan kebimbangan mengenai jenayah terhadap kanak-kanak dan wanita seperti kes simbah asid, penderaan dan menjadi keldai dadah yang semakin menjadi-jadi.
Turut hadir, Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Sementara itu, Ismail berkata, polis memberi jaminan untuk memberikan perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak kerana golongan itu turut memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Mengulas CIC, beliau berkata, PDRM akan menambah bilangan dan meningkatkan kemahiran pegawainya kerana tugas menemuduga kanak-kanak yang trauma bukanlah mudah kerana ia antara lain memerlukan kesabaran. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s