Upin, Ipin meriahkan promosi ReadMalaysia’11 – Utusan Malaysia


Upin, Ipin meriahkan promosi ReadMalaysia’11

KUALA LUMPUR 11 Mei – Kegembiraan pada wajah hampir 700 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang jelas kelihatan apabila mereka berpeluang beramah-mesra dengan watak animasi Upin dan Ipin yang mempromosikan pameran buku, ReadMalaysia’11 di sekolah itu hari ini.

Fenomena Upin dan Ipin menyebabkan murid-murid berkenaan berebut-rebut untuk bersalaman dengan watak animasi tersebut di samping menyertai beberapa aktiviti permainan yang dianjurkan pada kempen galakan membaca itu.

Pengurus Penolong Acara, Mines Event Management Sdn. Bhd., Ryan Mak berkata, Upin dan Ipin dilantik menjadi duta ReadMalaysia’11 dan dijadual membuat penampilan khas pada pameran 27 Mei hingga 5 Jun ini.

“Kami menjangkakan 400,000 pengunjung akan hadir pada pameran di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC) tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ryan, pelbagai aktiviti dan permainan yang menghiburkan disediakan bersama hadiah-hadiah menarik sepanjang pameran ReadMalaysia’11 yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka itu.

MIECC juga akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Stesen LRT Bukit Jalil dan KTM Serdang ke tapak pameran yang dibuka dari pukul 11 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Sementara itu, Guru Besar SK Sri Serdang, Asma Mokhtar berharap program sebegini diteruskan bagi menarik minat murid-murid untuk membaca dan mengunjungi pameran buku.

“Murid-murid begitu teruja apabila melihat kehadiran Upin dan Ipin yang mempromosikan pameran buku tersebut serta turut menasihati mereka supaya rajin membaca,” jelasnya

Maklumat lanjut mengenai pameran buku itu boleh didapati dengan melayari laman webhttp://www.readmalaysia.my atau menghubungi talian 03-89495566.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s