Budak melecur dapat perhatian – Utusan Malaysia


Budak melecur dapat perhatian

KLANG 12 Mei – Penderitaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dari Taman Sentosa di sini yang melecur separuh badannya dipercayai didera mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat bersama Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO Selangor yang melawat mangsa di Wad Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini menyifatkan perbuatan tersebut adalah sesuatu yang zalim dan kejam.

”Hanya orang bertopeng haiwan sahaja yang boleh melakukan penderaan seperti itu.

”Saya mahu polis segera menangkap suspek kerana khuatir dia akan melakukan perkara yang sama terhadap kanak-kanak lain pula,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini melaporkan seorang kanak-kanak telah didera oleh penjaganya yang percayai teman wanita bapanya dengan menuangkan air mendidih pada bahagian dada pada 2 Mei lalu.

Empat hari kemudian, kanak-kanak itu didera sekali lagi dengan memasukkan sesuatu ke dalam mulutnya sehingga cedera.

Shahrizat menyeru orang ramai yang berasa bimbang untuk melaporkan kes penderaan kanak-kanak dan keganasan wanita kepada polis agar menghubungi talian Nur 15999 yang dikendalikan oleh kementeriannya.

Ini kerana katanya, sekiranya laporan awal diterima, ia dapat mengelakkan kejadian lebih serius berlaku sebagaimana yang dialami oleh kanak-kanak malang itu.

Katanya, kanak-kanak tersebut yang turut mengalami kecederaan di seluruh tubuhnya kesan daripada penderaan kini diletakkan di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tambahnya, kementerian akan cuba membantu kanak-kanak itu termasuk dari segi kos perubatan dan perlindungan selain memberikan khidmat kaunseling memandangkan trauma yang dialaminya begitu ketara.

Shahrizat berharap kes berkenaan akan diselesaikan dengan segera dan mereka yang terlibat perlu diheret ke muka pengadilan selain dikenakan hukuman maksimum.

Sementara itu, nenek mangsa, K.Leelavathy, 57, yang tinggal di Bentong, Pahang memberitahu, cucunya pernah tinggal bersamanya sebelum dibawa bapanya ke Taman Sentosa empat bulan lalu.

”Hanya tiga hari pertama sahaja cucu saya dilayan dengan baik tetapi selepas itu suspek yang mengaku sebagai ibu tiri itu mula mendera mangsa.

”Setiap kali didera, cucu saya akan diugut supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada bapanya. Cucu saya mengadu dia disiram dengan air panas dan dipukul menggunakan kayu setiap hari,” katanya.

Cadangan wujud Pusat Temuramah Kanak-Kanak semua negeri – Utusan Malaysia


Cadangan wujud Pusat Temuramah Kanak-Kanak semua negeri

KUALA LUMPUR 12 Mei – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan Pusat Temuramah Kanak-Kanak (CIC) di setiap negeri bagi membantu memudahkan siasatan dalam kes kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jenayah seksual terhadap kanak-kanak amat membimbangkan dan wajar ditangani segera.

Beliau berkata, usaha yang boleh diambil bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan menubuhkan CIC di semua negeri kerana tiga pusat sedia ada terbukti berkesan membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa.

“Saya bercadang menemui Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk meminta beliau mendapatkan peruntukan dalam bajet akan datang bagi membina CIC di setiap negeri.

“Kita memang tidak boleh bertoleransi terhadap keganasan, apatah lagi jenayah serius yang dilakukan terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya pada sidang akhbar semasa mengadakan lawatan ke CIC di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya, Datuk Khalid Abu Bakar.

CIC digunakan oleh pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah untuk menemuramah kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan seksual.

Pada masa ini, hanya tiga negeri mempunyai CIC iaitu Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Sejak ditubuhkan pada Disember 2002, CIC Kuala Lumpur yang mempunyai seorang pegawai dan tiga anggota berjaya membawa 35 kes jenayah seksual kanak-kanak untuk pendakwaan di mahkamah dan 21 orang dituduh sudah disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Ismail berkata, PDRM akan terus melindungi kepentingan rakyat daripada menjadi mangsa jenayah termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.

“Aspirasi kami (polis) hendak memastikan wanita dan kanak-kanak selaku generasi yang terlibat membangunkan negara diberi perhatian dan perlindungan secukupnya.

“Kami akan menambah jumlah keanggotaan dalam CIC dan melatih para pegawai sebab tugas menemuramah kanak-kanak tidak mudah dan perlu ada kemahiran serta kesabaran,” ujarnya.

Hantar delegasi teliti pendidikan di Eropah – Utusan Malaysia


Hantar delegasi teliti pendidikan di Eropah

PARIS 12 Mei – Malaysia akan menghantar delegasi ke beberapa negara termasuk Jerman dan Austria untuk meneliti aspek pendidikan khususnya bidang vokasional yang dilaksanakan bagi mengetahui apa yang boleh dipelajari dari negara-negara tersebut.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdasarkan perbincangan dengan pemimpin dari beberapa negara, adalah penting untuk Malaysia mempunyai hubungan strategik dalam aspek pendidikan dengan Eropah kerana mereka telah terkehadapan dalam pendidikan khususnya bidang vokasional.

”Daripada perbincangan yang diadakan, penting untuk kita adakan hubungan strategik melibatkan pertukaran pelajar, pegawai, pensyarah dan maklumat supaya kita dapat timba pengalaman baru dan sesuaikan pendidikan yang dilaksanakan di Eropah dengan Malaysia,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, dalam bidang teknikal dan vokasional, pendidikan di Malaysia sudah meningkat tetapi masih ada beberapa aspek yang masih terkebelakang, sehubungan itu, transformasi perlu dilakukan untuk mengatasi kekurangan itu.

”Pendidikan teknikal dan vokasional memang perlukan anjakan baru. Dahulu, vokasional dilihat sebagai pilihan kedua sehingga peratus kelulusan mereka dalam bidang itu agak kecil iaitu 10 peratus sahaja berbanding di Perancis, 60 peratus dan di Copenhagen, 40 hingga 50 peratus,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini. – utusan

Sehubungan itu, jelasnya rombakan perlu dilakukan dalam pendidikan vokasional supaya ia tidak lagi menjadi pilihan kedua bagi pelajar yang tidak begitu cemerlang pencapaian akademiknya. – Utusan

Sebutan semula kes bunuh guru agama ditetapkan tarikh baru – Berita Harian


Sebutan semula kes bunuh guru agama ditetapkan tarikh baru

2011/05/13

KANGAR: Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi menetapkan satu tarikh baru untuk sebutan semula kes bunuh ke atas seorang guru agama, Hanif Mohd Ali, 26, yang didakwa menyebabkan kematian pelajar berusia tujuh tahun di Jejawi, di sini, pada 31 Mac lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Nurshahida Abd Rahim untuk memberi laluan kepada pihak pendakwa menunggu laporan perubatan dan kimia.