Guru maut kereta terbabas rempuh bas – Berita Harian


Guru maut kereta terbabas rempuh bas

2011/05/17

PORT DICKSON: Seorang guru lelaki berusia 56 tahun maut selepas keretanya terbabas dan merempuh sebuah bas sekolah ketika dalam perjalanan pulang menghadiri sambutan Hari Guru di Kilometer 23 Jalan Sua Betong-Air Kuning di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Md Nordin Md Daud, memandu Proton Iswara seorang diri untuk pulang ke rumahnya di Taman Seri Rembau, Rembau dekat sini, selepas diraikan di Sekolah Kebangsaan Si Rusa di sini.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta mangsa hilang kawalan ketika melalui satu selekoh dalam keadaan hujan lebat.

Dua guru mati lemas di Pantai Kijal – Bernama


Dua guru mati lemas di Pantai Kijal

2011/05/17

KEMAMAN: Dua guru lelaki dari Sekolah Kebangsaan Kijal, di sini lemas ketika mandi di Pantai Kijal di sini dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Anuar Harun, 28, yang berasal dari Marang, Terengganu dan rakannya Md Iskandar Mat Arif, 26, dari Muar, Johor cuba diselamatkan orang awam yang berada di pantai itu namun kedua-duanya meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, dua guru itu dipercayai ke pantai berkenaan untuk mandi bagaimanapun salah seorang daripada mereka lemas 15 minit kemudian.

“Rakannya cuba membantu untuk menyelamatkan mangsa tetapi arus deras menghanyutkan kedua-dua guru muda ini.

“Orang awam yang berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan mangsa dan berjaya menarik mangsa ke tepi pantai dan memberi bantuan kecemasan kepada kedua-duanya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdullah berkata bagaimanapun Anuar yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan manakala Md Iskandar yang mengajar subjek Agama Islam di sekolah itu gagal diselamatkan.

Mayat kedua-dua guru itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Saksi kejadian, Mohd Azlizan Othman, 23, berkata, beliau sedang berkelah di pantai itu bersama keluarga apabila diberitahu mengenai kejadian lemas oleh seorang lelaki yang sedang mengutip sampah di pantai itu.

“Saya bergegas ke situ dan cuba membantu orang awam menyelamatkan mangsa untuk dibawa ke tepi pantai dan cuba memberikan pernafasan mulut ke mulut kepada salah seorang mangsa itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua guru itu meninggal dunia. – BERNAMA

Dakwa dipukau sebelum dinoda – Harian Metro


Dakwa dipukau sebelum dinoda

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang gadis bukan saja dipukau lelaki yang baru dikenalinya, malah turut dirogol dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, pertengahan April lalu.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku tanpa disedari gadis berusia 18 tahun berkenaan apabila mendakwa dipukau lelaki terbabit yang melihat kedua-dua matanya sambil membaca sesuatu.

Sumber polis berkata, dalam perkenalan singkat itu, mangsa hanya mengikut arahan lelaki berusia 20-an itu supaya keluar berehat bersama untuk makan tengah hari.

Katanya, mangsa yang dipukau hanya membonceng motosikal menghala ke rumah lelaki itu di Taman Bukit Permai sebelum dirogol tanpa sedar.

 “Selepas beberapa jam, lelaki itu menghantar mangsa ke tempat kerja dan pada masa itu, mangsa masih dalam keadaan tidak sedar.

adu@metro: Remaja buat perkara sumbang di taman permainan – Harian Metro


adu@metro: Remaja buat perkara sumbang di taman permainan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA menetap di Taman Sri Watan, Ampang, bersama keluarga sejak kecil. Saya ingin berkongsi masalah yang dihadapi baru-baru ini.

Untuk makluman, terdapat sebuah taman permainan di kawasan kejiranan ini yang sering menjadi kawasan tumpuan remaja terutama pada waktu malam untuk melakukan aktiviti maksiat.

Ketiadaan lampu di kawasan itu membuatkan mereka tidak segan silu melakukan perkara tidak senonoh.

Diharap pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), dapat menyediakan kemudahan lampu di padang berkenaan bagi mengelakkan masalah ini berlarutan.

MAN
Taman Sri Watan

>TERIMA kasih atas aduan berkenaan. Untuk makluman pengadu, sememangnya tiada peruntukan disediakan oleh pihak majlis untuk pemasangan lampu di taman permainan.

Namun begitu, pengadu diminta menghantar permohonan kepada MPAJ sama ada melalui surat ataupun datang sendiri ke pejabat.

Pihak majlis akan membuat pertimbangan sama ada lokasi berkenaan sesuai atau tidak untuk menyediakan lampu selepas lawatan tapak dilakukan.

NORHAYATI AHMAD
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ

Guna van sekolah edar dadah – Harian Metro


Guna van sekolah edar dadah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang pemandu van sekolah dipercayai pengedar dadah amatur berselindung di sebalik pekerjaannya itu untuk membawa barang terlarang berkenaan yang difahamkan untuk diedar ketika suspek bertugas.

Dalam kejadian 12 Mei lalu, polis menemui 110 peket lutsinar berisi heroin di tepi tempat pemijak pemandu dalam van sekolah yang dipandu pemuda berusia 28 tahun itu ketika suspek menunggu kanak-kanak tamat sesi belajar di tadika di Jalan Kastam, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata pada hari kejadian suspek warga tempatan itu ditahan dalam serbuan jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati setiap peket dadah itu dipercayai dijual sekurang-kurangnya pada harga RM80 dan ujian air kencing juga mendapati lelaki itu positif dadah.
“Siasatan awal turut mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau itu juga adalah anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
“Apa yang berbahaya ialah lelaki itu membawa van sekolah untuk menghantar dan mengambil kanak-kanak prasekolah ketika ditemui bersama dadah dengan berat keseluruhan 172.8 gram itu,” katanya pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kini direman hingga 19 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SMS sindiket peralat budak didapati palsu – Harian Metro


SMS sindiket peralat budak didapati palsu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Penyebaran meluas satu khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak dua bulan lalu berhubung kumpulan atau sindiket menggunakan memperalatkan kanak-kanak bagi tujuan merompak, menculik dan merogol dikesan palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, siasatan dijalankan polis mendapati tiada kumpulan atau sindiket yang menggunakan taktik sedemikian.
Menurutnya, pegawai polis iaitu Asisten Superintendan, Suman Kumar dari Bahagian D9, Bukit Aman yang dinyatakan dalam SMS terbabit juga tidak wujud dan ia menguatkan lagi bukti bahawa SMS itu palsu.

“Siasatan sudah dibuat dan kita mendapati tiada kumpulan menjalankan kegiatan jenayah menggunakan kanak-kanak seperti didakwa.
“Pegawai yang didakwa menyebarkan SMS itu juga tidak wujud dan jelas sekali ia SMS palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Namun katanya, dalam menjalani kehidupan seharian masyarakat hendaklah sentiasa berwaspada terhadap individu atau kumpulan yang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi melaksanakan kegiatan jenayah mereka.

“Sekiranya berdepan situasi atau keadaan mencurigakan, mereka hendaklah segera menghubungi balai polis berhampiran.
“Jangan mudah percaya atau terpedaya dengan pelbagai taktik yang bertujuan menjadikan mereka mangsa jenayah,” katanya.

Nor Daim Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 – Utusan Malaysia


Nor Daim Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011

KUCHING 16 Mei – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Nor Daim dinobat sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2011, manakala empat lagi warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru 2011 sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-40.

Penerima Tokoh Guru 2011 antaranya ialah bekas Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Siva Subramaniam, 64, dan pensyarah Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof. Datuk Dr. Ab. Rahim Selamat, 66.

Turut menerima penghormatan yang sama ialah bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan, Hamedah Wok Awang, 63, dan bekas pengetua Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Datuk Rita T. Jaafar.

Mereka menerima pingat, piala, sijil dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran perayaan tersebut di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Nor yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelajaran Sarawak ketika ditemui berkata, pengiktirafan tersebut mampu menjadi pendorong kepada seluruh warga pendidik untuk terus berbakti dalam melahirkan modal insan yang berkualiti di negara ini.

“Terima kasih kepada semua guru kerana mempunyai semangat untuk meneruskan perjuangan masing-masing. Saya yakin pendidikan adalah mekanisme terpenting bagi kita bergerak ke depan menjadi sebuah negara yang maju,” katanya.

Subramaniam yang juga bekas Presiden Kongres Persatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pula berkata, anugerah itu merupakan pencapaian yang paling istimewa sepanjang beliau berkecimpung dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Ab. Rahim berkata, kejayaan yang dikecapinya tidak sedikit pun membuat beliau leka dan lupa asal-usulnya yang pernah berkhidmat sebagai seorang guru di dalam bilik darjah.

“Walaupun kini saya seorang pensyarah, saya lebih suka dipanggil cikgu kerana gelaran itu membawa makna tersendiri. Saya juga tetap berpegang kepada prinsip seorang guru akan tetap menjadi guru selama-lamanya,” katanya.

Rita pula berpendapat pengiktirafan yang diberikan merupakan sesuatu yang tidak pernah dimimpikannya selama ini kerana beliau berkhidmat atas dasar menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Saya rasa diri begitu kerdil apabila menerima anugerah yang cukup besar ertinya kepada warga pendidik ini,” katanya.

Seorang lagi penerima, Hamedah pula diwakili adiknya memandangkan beliau tidak dapat hadir kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Kaedah baru kenaikan pangkat bantu jati diri guru – Utusan Malaysia


Kaedah baru kenaikan pangkat bantu jati diri guru

KUALA LUMPUR 16 Mei – Kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan Hari Guru hari ini diharap dapat meningkatkan lagi jati diri guru sebenar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, peluang peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan mereka bagaimanapun perlu dinilai melalui kriteria menyeluruh iaitu bukan sahaja bersandarkan pencapaian akademik.

Katanya, antara kriteria lain yang boleh diambil kira adalah kepimpinan membimbing murid dalam bidang kokurikulum, sukan termasuk akhlak dan disiplin murid.

“Kita harap pencapaian guru juga dinilai melalui pembabitan guru dengan masyarakat setempat, kita tidak mahu guru mengasingkan diri dengan masyarakat atau berada dalam dunia mereka sahaja.

“Sekiranya guru sanggup turun padang berjumpa dengan ibu bapa atau penjaga murid jika ada masalah, kita mahu semangat seperti itu akan wujud dalam diri guru,” katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.

Kaedah baru kenaikan pangkat yang diumumkan itu adalah mengikut kategori empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Empat lapisan jawatan itu akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata, hal-hal berkaitan integriti di kalangan guru perlu dititik beratkan dengan memberikan satu pengiktirafan jika tidak pernah terlibat dengan kegiatan rasuah.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan pangkat dan tangga gaji yang dicadangkan harus ditawarkan kepada mereka yang mempunyai semangat dan minat mendalam dalam profesion perguruan.

”Para guru harus bersikap profesional untuk meningkatkan standard mereka, sentiasa proaktif dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mengambil kira keperluan 2,000 guru besar di sekolah kurang murid yang tidak mengalami kenaikan pangkat.

”Mereka memegang jawatan selama 15 tahun dan tidak ada kenaikan pangkat apa-apa, sekurang- kurangnya dinaikkan ke DGA34 daripada DGA32 sekarang ini, iaitu hanya mengalami kenaikan gaji sebanyak RM90,” katanya.

Guru harus kental perkasa bidang pendidikan – Utusan Malaysia


Guru harus kental perkasa bidang pendidikan

KUCHING 16 Mei – Para guru harus mempunyai semangat kental dalam menghadapi perubahan global yang semakin mencabar pada hari ini bagi memperkasakan bidang pendidikan serta generasi muda negara ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, mereka tidak patut mudah hilang semangat dalam memastikan usaha menyalurkan ilmu kepada generasi muda dapat dijayakan sepenuhnya.

Menurutnya, tugas seorang pendidik kini semakin mencabar kerana generasi muda tidak lagi merasai kepayahan untuk menimba ilmu pengetahuan kerana mereka sudah dibuai dengan kesenangan.

”Tidak seperti zaman dulu, generasi muda hari ini mendapat kemudahan dalam proses menimba ilmu pengetahuan serta memperoleh maklumat.

”Justeru, para guru perlu berani menempuh cabaran baru dalam tugas memberi pendidikan kepada generasi muda hari ini,” katanya ketika berucap pada Malam Berambeh Majlis Pelancaran Hari Guru Ke-40 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam tadi.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; dua Timbalan Menteri Pelajaran iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi serta Pengarah Pelajaran negeri, Abdillah Adam.

Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, untuk menjayakan negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi, generasi muda perlu diberi pendidikan yang mantap khususnya dalam bidang teknikal bagi memenuhi keperluan Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SCORE).

Katanya, keperluan tenaga kerja telah berubah dengan wujudnya SCORE apabila 50 peratus daripadanya melibatkan sektor pekerjaan yang memerlukan mereka mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal.

Pada masa sama, beliau memuji golongan pendidik kerana hasil usaha gigih mereka selama ini dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan dari semasa ke semasa.

”Pendidik bukan sahaja memberi perkhidmatan di kawasan bandar, malah turut ditempatkan di kawasan-kawasan terpencil dan ini salah satu cabaran perit yang perlu diharungi oleh guru-guru,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Abdul Taib turut menyampaikan sijil dan hadiah kepada guru-guru yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang.

Terima kasih Perdana Menteri – Utusan Malaysia


Terima kasih Perdana Menteri

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUCHING 16 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili warga guru hari ini mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesion perguruan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pengumuman mengenai nafas baru sistem kenaikan pangkat yang diumumkan hari ini membuktikan Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang berkenaan

“Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, Perdana Menteri masih bersedia menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred khususnya secara time-based.

“Insya Allah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini,” katanya ketika berucap sewaktu melancarkan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha memartabatkan profesion perguruan adalah satu proses yang berterusan antaranya penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD).

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru bagi melihat isu yang berkaitan dengan profesion perguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan kerjaya itu supaya setara dengan darjat kemuliaannya.

“Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian kementerian sebelum ini,” katanya.